Friday, October 26, 2012

Aidiladha 1433H


Selamat Hari Raya Aidiladha 1433H buat semua umat muslimin. Semoga raya korban kali ini memberi 1001 makna dan erti pengorbanan dalam hidup setiap dari kita. Mudah-mudahan jiwa dan jasad kita terlatih untuk selalu berkorban apa jua demi mentaati perintah dan suruhanNYA sebagaimana Nabi Ibrahim a.s yang telah membuktikan akan kesabaran baginda dalam mentaati suruhanNYA. Insyaallah.

Jujurnya, diri ini akan merindui tanah syam ini. Alhamdulillah diberi kesempatan oleh Allah swt untuk menunaikan solat sunat raya terakhirku disini. Runtun jiwa ini tatkala memberi salam terakhir dalam solat sunat raya, tidak sampai 4 tahun di bumi anbiya' masa dirasakan begitu singkat sekali. Menanti dalam masa 4 bulan sahaja lagi untuk melangkah pergi keluar dari bumi untuk meneruskan perjuangan di tanah air sendiri. Ya, satu pengorbanan telah ku lakukan, berada di sini untuk menuntut ilmu yang tiada kesudahannya bersama sahabat2 handai yang lain. Suatu keputusan nekad yang pernah ku buat suatu masa dahulu untuk belajar di negara orang. Semoga Allah swt meredhoi. :)

Friday, August 24, 2012

Tuesday, August 21, 2012

Ramadhan Dan Syawal


Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, Ramadhan kali ini sangat banyak aktiviti pembinaan rohani dan jiwa terlaksana. Paling bermakna pengalaman ber'iktikaf' 10 malam terakhir di Masjid Taal. Bersyukur kepada Allah s.w.t kerana diberi peluang yang sangat bernilai. Kedua, pengalaman berbuka puasa di Wadi Rum selepas berpeluang melihat nikmat matahari terbenam. Yang paling istimewa tetamu dari Malaysia sudi untuk datang merasai puasa Ramadhan, kak Amira Radzi sungguh bertuah kerana diberi peluang berpuasa di Jordan.
Di bulan Ramadhan kami beberapa akhowat bersama Kak Amira Radzi telah merancang trip bersiar-siar selama 3 hari 2 malam mengelilingi Jordan. Meskipun dalam cuaca yang terik dan panas, kami tetap happy ^___^ sebab dapat bawa Kak Amira Radzi jalan-jalan di Bumi Jordan ini.


Berjalan di atas tanah PETRA.

Kenangan di Aqobah, Jordan.

------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Di pagi 1 Syawal 1433H, kemeriahan beraya di perantauan tetap dirasai meskipun berjauhan dengan keluarga tersayang. Kami berkampung beramai-ramai, bersama-sama membuat persiapan hari raya, dan bergembira bersama-sama. Tahun ini saya kira raya yang paling matang pernah saya rasai. Sudah lah keluarga berjauhan, segala-galanya pula perlu disiapkan sendiri. Alhamdulillah,Rendang Ayam, Kuah kacang dan Lodeh berjaya dimasak dengan lazat. Akhowat-akhowat pun ada yang rajin buat kuih raya. Ada kuih batang buruk, kuih makmur, kuih coklat cornflakes dan kuih biskut chip coklat.

Raya pertama kami dah mula buat Open House. Syukur segalanya dipermudahkan. Tengahari kami dah keluar berjalan raya. Meletihkan tapi sangat menyeronokkan. Pengalaman yang tidak dilupakan pada raya kedua kami beraya di rumah akhowat Thailand. Meriah sangat tambah-tambah lagi kami dihidangkan dengan masakan Laksa Thailand.


Bersama-sama dengan sahabat akhowat-akhowat yang disayangi di Hari Raya.^__^

Monday, August 6, 2012

Langkah itu mendahului bersama kenangan manis.

Done by Nurfadhilah Husin, 6 Ogos 2012, 12.52 pm.

Antara kepakaran saya. Membikin sesuatu didalam PS C4. Alhamdulillah siap satu poster khas untuk batch saya. Semoga kami semua berjaya membawa pulang segulung ijazah dengan cemerlang, insyaallah. Ameen.
-------------------------------------------------------------------------------
Banyak tersimpan kenangan suka dan duka sepanjang keberadaan kami semua di Bumi Anbiya' ini. Tanah Arab ini telah menjadi saksi kesungguhan, kecekalan dan ketabahan kami semua menuntut ilmu di sini. Di bawah langit biru kami berteduh saban tahun dalam cuaca sejuk dan panas, banyak perubahan luaran dan dalaman telah berlaku, masing-masing berkembang dengan revolusi dalam diri dengan cara yang tersendiri. 

Kejayaan dan kegagalan. Kegembiraan dan kesedihan. Susah dan senang. Semuanya diharungi dengan tenang, harmoni dan penuh sabar. Meskipun saya akan menghabiskan pengajian dahulu sebelum mereka semua, namun Allah itu lebih mengetahui akan betapa bahagia dan seronoknya diri saya tatkala dapat berkenalan dan hidup dengan rakan seperjuangan yang sedikit ini. 

Saya tetap sentiasa mendoakan kejayaan setiap dari kita. Semoga Allah s.w.t meredhai pengajian kita selama 4 tahun di Jordan. Semoga Allah s.w.t memberkati ilmuNYA yang ada dalam dada kita. Dan juga semoga Allah s.w.t memberi kekuatan kepada kita semua untuk terus mencari ilmu-ilmu yang lain yang ada di atas muka bumiNYA ini. 





Setelah mencuba dan ia menjadi.

Bismillah

              Hanyalah sekadar insipirasi yang cuba dizahirkan kerana ia adalah bunga-bunga persahabatan.
Hanya juga kerana setelah mencuba dan ia menjadi.

Diri saya amat gemar mencuba sesuatu. Begitulah kita apabila manusia ini dijadikan, akhirnya kita perlu cuba untuk hidup dalam dunia ini dan menjadi manusia yang begitu 'menjadi' di tengah-tengah masyarakat. Sebagaimana Allah s.w.t telah menjadikan kita dengan begitu cantik, maka seharusnya sang hamba itu juga haruslah terus mencuba untuk mentaati seluruh bentuk perintah yang telah diturunkan kepadanya.

Manusia gagal mencuba untuk berjaya. Akhirnya kecundang dengan usaha diri sendiri. Tidak ada kepercayaan dan keyakinan yang cuba diletakkan dalam minda. Segalanya sudah habis dipengaruhi dengan kata-kata negatif yang menjatuhkan dan merosakkan. Kita boleh berangan-angan untuk berjaya dan mencipta kegemilangan diri, namun usaha yang setimpal perlu seiring serta jangan lupa untuk bertawakal.

 
Tatkala apa yang dicuba itu menjadi. Alhamdulillah cantik. Frame ini saya reka khas dengan hiasan bunga rose kertas yang dibuat sendiri oleh saya. 

Saya mula berfikir apalagi kemahiran yang belum saya pelajari dan akhirnya terlintas di fikiran untuk membuat paper rose origami seperti di atas. Semua idea ini terbit kerana saya  ter'inspirasi' dengan seorang sahabat saya yang telah pun berkecimpung dalam dunia 'Sweet Craft Things' ^_^

Hakikatnya, jangan pernah berhenti untuk mencuba sesuatu yang berguna. Lagi baik jika ianya sesuatu yang berguna dan ada yang boleh dimanfaatkan demi Islam terutamanya. Selamat mencuba! 

Sunday, August 5, 2012

Pilih untuk jadi buah Citron berbanding Kurma?




ورد ذكره في حديث لرسول الله صلى الله عليه وسلم


أَخْبَرَنَا أَحْمَدُ ، حَدَّثَنَا مُحَمَّدٌ ، أَنْبَأَنَا سَهْلُ بْنُ بَّكَارٍ الدَّارِمِيُّ ، حَدَّثَنَا أَبَانٌ ، عَنْ قَتَادَةَ ، عَنْ أَنَسٍ

عَنْ أَبِي مُوسَى الأَشْعَرِيِّ ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ :


" مَثَلُ الْمُؤْمِنِ الَّذِي يَقْرَأُ الْقُرْآنَ كَمَثَلِ الأَتْرُجَّةِ طَعْمُهَا طَيِّبٌ وَرِيحُهَا طَيِّبٌ ، وَمَثَلُ الْمُؤْمِنِ الَّذِي لا يَقْرَأُ الْقُرْآنَ

كَمَثَلِ التَّمْرَةِ طَعْمُهَا طَيِّبٌ وَلا رِيحَ لَهَا ، وَمَثَلُ الْمُنَافِقِ الَّذِي يَقْرَأُ الْقُرْآنَ كَمَثَلِ الرَّيْحَانَةِ رِيحُهَا طَيِّبٌ

وَلا طَعْمَ لَهَا ،وَمَثَلُ الْمُنَافِقِ الَّذِي لا يَقْرَأُ الْقُرْآنَ كَمَثَلِ الْحَنْظَلَةِ طَعْمُهَا مُرٌّ وَلا رِيحَ لَهَا "

“Perumpamaan orang mu’min yang suka membaca al-Quran ialah seperti buah utrujjah (اَلْاُتْرُجَّة), baunya enak dan rasanya pun enak.  Dan perumpamaan orang mukmin yang tidak suka membaca al-Quran ialah seperti buah kurma, tidak ada baunya, tetapi rasanya manis.  Adapun perumpamaan orang munafik yang suka membaca al-Quran ialah seperti minyak harum, baunya enak sedang rasanya pahit.  Dan perumpamaan orang munafik yang tidak suka membaca al-Quran ialah seperti rumput hanzolah (اَلْحَنْظَلَة), tidak ada baunya dan rasanya pun pahit.”

Secara logiknya, sudah tentu buah utrujah atau buah citron [seperti lemon] yang mengeluarkan bau yang harum akan mempunyai isi buahnya yang cukup baik dan enak untuk dimakan. Ini bermakna mukmin yang suka membaca al-quran dia telah menyebarkan bau yang harum, seolah-olah ingin mengatakan bahawa ayat-ayat suci Allah itu indah untuk dihayati dan diamalkan dalam seharian hidup kita. Bau yang harum akan memanggil-manggil kita untuk mendekatinya lalu menghampirinya kerana ingin tahu apa yang terkandung didalamnya. Maka itulah tugas kita sebagai penyambung risalah Rasulullah s.a.w yang telah membawa wahyu dan ajaran Islam yang syumul kepada sekalian umat. Kita semua seharusnya menjadi pembaca al-quran yang tekun meneliti setiap kalam suciNYA. Kita lah yang menjadi halamatul quran yang senantiasa membacakan ayat-ayat suci Allah dengan penuh penghayatan. Mahukah kita menjadi mukmin yang menyebarkan haruman yang busuk. Sudah tentu tidak, bahkan ia akan menjadi fitnah kepada Islam lantas boleh membawa aib kepada agama Islam itu sendiri. 

Elakkan diri daripada menjadi mukmin yang seperti kurma. Tidak suka membaca al-quran, maka dia tidak suka dan mungkin tidak merasa 'izzah' membaca ayat-ayat quran. Mereka diumpakan seperti kurma kerana mereka tidak berjaya mengesani manusia sekeliling untuk merasakan betapa indahnya agama Allah s.w.t  melalui bacaan al-quran itu. Namun dari satu sudut sudah jelas di minda mereka akan keindahan ajaran Islam itu, tetapi masih belum cukup kekuatan yang ada dalam diri mereka untuk turut mengajak manusia   merasai kehebatan ayat-ayat Allah sepertimana mereka sudah pernah lalui.



Fokus! ^_____^

Aiskrim, Nescafe, Air masak - Study Nuqud waMakayil [12.00am]

Kenyataan benar tentang cara saya study yang tidak pernah statik dan fokus. Apabila banyak aktiviti dalam satu-satu masa, maka boleh jadi waktu study saya lebih terfokus. Sebab itu, boleh ada aiskrim, nescafe dan air masak, yang penting otak masih boleh jalan. ^_^. Betul juga bila kita fikir semula, manusia itu sememangnya perlu disibukkan dengan bermacam-macam hal dan kerja supaya dia boleh belajar tentang mengurus masanya dengan baik lantas belajar untuk fokus pada satu-satu kerja itu.

Waktu bila kita kurang fokus dalam suatu hal itu, kita akan mula fokus dengan perkara lain.Setiap hari hidup kita penuh dengan aktiviti yang perlu kan pada fokus hatta niat untuk merehatkan mata [tidur] juga perlukan fokus. Masakan seseorang itu boleh tidur dengan tidur yang main-main. 

Selesai study subjek Nuqud waMakayil.....Mula otak ini nak fokus pada aktiviti sepanjang saya di Jordan. Koreksi dan muhasabah aktiviti-aktiviti lalu boleh topup  sedikit sebanyak apa yang kita belum buat lagi setidak-tidaknya. Alhamdulillah banyak yang perlu ditambahbaikkan lagi. 

Teringat bangunan ini. Banyak masaku terluang disini. Tempat menadah ilmu. 

Kadang-kadang melihatkan diri sendiri yang sudah banyak menerima ilmu, teringat manusia yang paling awal memberikan ilmu kehidupan kepada kita. Daripada guru tadika sehinggalah kepada guru sekolah menengah dan tidak boleh dinafikan lagi guru sejak kita dalam rahim, ibu bapa kita. Ternyata, ilmu yang ada pada kita sekarang sangatlah tinggi nilainya, dan ia tidak akan jadi bermakna jika tidak diaplikasikan dalam hidup. Hanya sekadar beku, keras dan kaku jika tidak diguna pakai dalam seharian hidup kita. Memikirkan hal kita yang dahulu tidak berilmu, rasa kerdilnya apabila kita betul-betul memacukan ingatan kita kepada Allah s.w.t bahawa Dialah pencipta kita yang telah menyediakan 'guru-guru' yang mulia untuk menjadikan kita manusia yang berilmu dan bermanfaat pada orang lain.

-Dana, Tafilah, Jordan-
Satu-satunya pemandangan yang paling indah di Jordan yang tidak ada di Malaysia. Hajat dihati ingin melihat matahari terbenam, tetapi Allah s.w.t bukan sahaja mahu kita melihat keindahan matahariNya terbenam. Nah, betap cantiknya lukisan Allah s.w.t! 

Antara yang menjadi impianku, berharap dapat mendalami ilmu kedoktoran seperti mana sahabat-sahabat Medicine lain. Sehinggalah saya dapat membeli buku ini dan tinggal mencari masa untuk ber'talaqi' dengan sabahat serumah yang juga student Medicine. Ilmu Dentistry pun tak kurangnya.

Ramai yang agak terkejut saya dah pun membeli Stetoskop. 
Tidak mahal pun, tapi boleh la untuk dipinjam.^^

Naluri sejak dari dulu, minat terhadap ilmu perubatan ini tidak pernah hilang. Insyaallah, moga Allah buka luas-luas pintu rezekiNya untuk memudahkanku mempelajarinya. ^^

Semoga Allah mempermudahkan segala niat dan perancangan kita semua dalam apa jua perkara yang kita inginkan. Apa yang penting adalah keikhlasan dan tidak mengharapkan balasan dan pujian manusia. Sematkan dalam diri bahawa kita semua perlu kejar kejayaan dalam apa jua keadaan dan semestinya mengejar redho Illahi itu yang utama. Insan yang meletakkan fokus menjadi khalifah terbaik di muka bumi ini adalah insan yang paling hebat kerana dia melihat dalam persepsi dan sudut yang paling jauh. Teruskanlah merancang agenda hidup kita, bina pokok-pokok yang hidup dan suburkannya dengan hujan dan baja yang baik. Akhirnya kita bakal berjaya menghasilkan buah yang berguna, bermanfaat lagi berkhasiat kepada manusia seluruhnya. 

Thursday, August 2, 2012

Tak Balik Raya, Tapi.^__^ ada sampul duit raya

 
Done! - 1 Ogos 2012- 11.18pm [lepas terawih]

Siap 17 Ogos 2012. Lokasi : Taman Subang Perdana, Kg Melayu Subang, Shah Alam
Alhamdulillah siap dengan jayanya. ^___^

Alhamdulillah projek pertama dariku untuk ahli keluarga buat seluruh saudara-mara dan sesiapa yang bakal mendapat ang-pau duit raya dari kami. Disebabkan tahun ni [2012] tidak beraya di Malaysia, jadi inilah buahnya bila terlalu banyak sangat idea.

Pada mulanya, ia cumalah sekadar poster Salam Ramadhan yang ada gambar ahli keluargaku. Tetapi, cepat sahaja ibuku memberi buah fikirannya untuk meneruskan ideaku ini kepada membuat sampul duit raya. Akhirnya, jadilah macam ni. Semoga tahun ini Allah melimpahkan 1001 rahmat dan kasih sayangNYA buat seluruh umat Islam. Selamat meneruskan puasa Ramadhan buat semua!.

Wednesday, August 1, 2012

Cuti Bulan Jun 2012



Sewaktu kali pertama beraya di Jordan 
bersama Kak Ira ^.^ -Selingan-

Bismillah,

Tahun 3, Islamic Banking & Finance. Ku menjejakkan kaki lagi sekali ke Malaysia dengan satu tujuan yang sedikit berbeza, dan lebih matang. Pulang ke Malaysia untuk suatu misi yang besar. Maka dengan itu, jadual harianku disusun dengan begitu teliti agar kesemua perancangan dapat berjalan dengan lancar. Alhamdulillah, meskipun cuti hanyalah beberapa minggu tidak sampai sebulan, syukur kepada Allah kerana dengan masa yang singkat itu kurasakan banyak aktiviti yang telah terlaksana berbanding jika cuti yang sebelum ini.


  Alhamdulilah, diri ini yang semakin matang dan memahami hakikat kehidupan terasa lebih berat dan berasa lebih bertanggungjawab dalam memikul tugas sebagai hamba Allah s.w.t. Hari-hariku diisi dengan penuh mujahadah demi mencapai redho Allah. Bersyukur melihat ahli keluarga yang semakin sukakan pada kebaikan yang lebih tergambar 'izzah'nya pada Islam. Alhamdulillah. Impaknya, diriku harus terus laju memberikan qudwah yang lebih mantap pada ahli keluarga.

                        
                   3 adik-adikku yang mempunyai karenah yang agak unik bagiku.

  Pernah suatu ketika diriku diberi peringatan oleh seseorang yang mantap akhlaknya, beliau mengatakan bahawa pada zaman muda inilah waktu dimana kita wajib untuk menyumbang sepenuh tenaga untuk Islam, zaman dimana segala-galanya nampak mudah dan mampu dilakukan atas kapasiti tenaga pemuda itu yang cukup kuat dan penuh semangat serta azamnya yang tinggi. Zaman pemuda ini boleh disebutkan sebagai zaman keemasan kerana pada waktu ini pemuda itu boleh melakarkan sebanyak mana sejarah hidupnya yang paling hebat. Terbayang saat tulang kita sudah kita kuat dan satu badan mudah kepenatan dan penyakit banyak menyerang, sudah pasti tenaga yang ada sukar untuk disumbangkan dalam bentuk yang sebelum ini iaitu ketika zaman muda. Maka dengan itu, kita perlu sedar akan betapa besarnya peranan menjadi orang muda yang akan menggerakkan Islam dan mengajarkan agam kepada seluruh umat manusia.

 Jadual cuti yang padat? Antara aktiviti yang berjaya dilaksanakan ialah mengikuti perkembangan adik-adik junior yang bakal meneruskan pengajian ke Jordan. Memberikan pendedahan dan penerangan yang jelas tentang kehidupan mahasiswa di bumi perantauan menjadi buah besar perbincangan kami. Selain membincangkan tentang hal ehwal pengajian dan sebagainya, diriku kagum dengan sebahagian adik-adik ini yang penuh semangat bertanyakan soal wasilah tarbiyah yang wujud di Jordan. Tahniah buat mereka yang sudah berjaya meletakkan diri mereka jauh kehadapan, memikirkan kemajuan sahsiah dan akhlak diri masing-masing.

 Pelbagai program yang menyusul selepas itu, antaranya 'Road To Jordan' yang menjadi salah satu program khusus buat mahasiswa yang ingin melanjutkan pengajian atau yang ingin mengetahui serba-serbi mengenai pengajian di Jordan. Sambutan yang amat memberangsangkan. Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar.

 Balik kampung. Antara aktiviti mingguan ahli keluargaku. ^_^. Membersihkan kawasan halaman kampung yang sudah tiada berpenghuni setelah datuk dan nenekku meninggal dunia.Setiap minggu kampung halamanku akan menjadi tempat persinggahan dan tempat beristirehat ahli keluarga sebelah ibu terutamanya. Meskipun datuk dan nenek sudah tiada, hakikatnya suasana kemesraan dan ketenangan serta kehijauan sawah padi yang menyejukkan mata sudah cukup untuk membuatkan hati kami sekeluarga gembira untuk balik ke kampung. Aktiviti memancing merupakan antara akvitvit kesukaannku. Tidak sah balik kampung jika tidak pergi memancing. ^_^

Kayu pancing ibuku agak bengkok, tanda ada ikan sudah terkena umpan. ^-^

Mencari lubuk ikan di tengah sawah padi. Ikan haruan pastinya gemuk-gemuk.

  Memandikan jenazah. Tidak sangka akhirnya diriku berpeluang untuk turut sertai ibuku pergi menguruskan jenazah perempuan yang meninggal kerana sakit tua. Ini kerana sebelum ini bukan masa yang tidak mengizinkan tetapi diriku sendiri yang masih belum bersedia. Alhamdulillah cuti kali ini betul-betul membuat diriku tergerak untuk melakukan satu lagi kemajuan dalam diri dengan dibantu oleh ibuku. Aku bersama ibuku dan dua orang lagi kawan ibuku diberi keizinan Allah s.w.t untuk membantu sebuah keluarga yang kematian ibu mereka yang sudah tua. Aku diberi tugasan menggunting kain kafan bersama kawan ibuku, sementara ibuku bersama kawannya yang seorang lagi pergi memandikan jenazah. Agak kekok, namun digagahkan juga untuk berani kerana akhirnya diriku juga akan dipersiapkan sebegini sebelum bertemu tuhanku. Runtun jiwaku seketika tatkala teringatkan arwah nenekku yang mana diriku juga pernah memandikan jenazah beliau suatu ketika dahulu. Teruskan istighfar jangan berhenti. Itu pesan ibuku.

                     
 Harapan: Ingin menghabiskan kursus Pengurusan Jenazah oleh ibuku Puan Peridah Hashim.
-gambar hiasan

  Hampir dua minggu bercuti di Malaysia dipenuhi dengan aktiviti yang dikira padat bagiku. Manakan tidak, seharian sebagai anak perempuan yang sulong di rumah juga dipenuhi dengan aktiviti surirumah. Tidak dinafikan sebagai wanita yang bakal mendirikan rumah tangga, bermula sekarang segala kerja-kerja surirumah sudah semestinya menjadi aktiviti kebiasaan kita. Apatah lagi jika sibuk bekerja nanti, maka disitu kebijaksanaan wanita akan teruji, di antara ingin melunaskan tanggungjawab kerja pada masa yang sama ingin menguruskan hal rumah tangga. Insyaallah kita semua wanita yang bijak. ^_^



Tuesday, March 13, 2012

'Jangan' Dalam Agama Islam. Koreksi Diri!






JANGAN dalam Islam

- JANGAN tidur selepas solat Subuh, nanti rezeki Mahal kerana berpagi-pagi itu membuka pintu Berkat.
- JANGAN makan tanpa membaca BISMILLAH dan DOA makan. Nanti rezeki kita dikongsi syaitan.
-JANGAN tambah perhiasan di badan kerana Allah sudah jadikan Manusia Makhluk yang paling Sempurna
- JANGAN keluar rumah tanpa niat untuk membuat kebaikan.Takut-takut kita mati dalam perjalanan.
- JANGAN pakai sepatu atau selipar yang berlainan pasangan.Makruh dan mewarisi kepapaan.
- JANGAN biarkan Mata liar di perjalanan.. Nanti hati kita gelap diselaputi dosa.
- JANGAN menangguh taubat bila berbuat dosa kerana mati boleh datang bila-bila masa.
- JANGAN ego untuk meminta maaf pada ibu bapa dan sesama manusia kalau memang Kita bersalah.
- JANGAN mengumpat sesama rakan taulan. Nanti rosak persahabatan Kita hilang bahagia.
- JANGAN lupa bergantung kepada ALLAH dalam setiap kerja Kita. Nanti Kita sombong apabila berjaya.Kalau gagal kecewa pula.
- JANGAN bakhil untuk bersedekah. Sedekah itu memanjangkan umur dan memurahkan rezeki Kita.
- JANGAN banyak ketawa. Nanti mati jiwa.
- JANGAN biasakan berbohong, kerana ia adalah ciri-ciri munafik dan menghilangkan kasih orang kepada Kita.
- JANGAN suka menganiaya manusia atau haiwan.. Doa makhluk yang teraniaya cepat dimakbulkan ALLAH.
- JANGAN terlalu susah hati dengan urusan dunia. Akhirat itu lebih utama dan hidup di sana lebih lama dan kekal selamanya.
- JANGAN mempertikaikan kenapa ISLAM itu berkata JANGAN. Sebab semuanya untuk keselamatan Kita.

Tuesday, March 6, 2012

Pancaran Cahaya Senja

           
                                           Sunset di Dana, Tafilah- Jordan
 
      Suatu masa dahulu senja ini mengumpulkan dua perasaan yang aneh dan pelik. Aku gembira dan aku takut. Maha Suci Allah swt bila mata ini dibuka dan diberi penglihatan yang jelas tanpa bantuan kaca mata, aku kagum dan terkedu seketika tatkala senja itu berjaya menyedarkan aku bahawa mataku ini masih bisa melihat keagungan tuhan yang satu Allah. Aku gembira juga bilamana saat itu aku berjaya melihat betapa indahnya pemandangan itu, bagaikan hatiku dibuka seluas-luasnya, dibiarkan luas sebegitu untuk menerima cahaya dan pancaran senja yang memancar. Peluh yang mengalir dalam kesejukan ku abaikan, mata tidak mahu dibiarkan sesaat pun berkedip kerana takut akan terlepas melihatkan pemandangan itu. Meskipun masa itu sesaat dan setelah itu cahaya senja  itu berlalu pergi membiarkan malam pula menggantikan tempatnya.

    Di dunia, hidup kita mungkin tidak mampu untuk memberi sepenuh kesan yang ampuh dalam diri manusia yang pernah kita kenal. Sama ada memberi kesan terhadap perubahan diri kepada yang lebih baik mahupun perubahan daripada yang baik kepada yang bertambah baik. Sebahagian manusia pula mampu meninggalkan kesan kepada diri manusia dengan nasihat-nasihatnya, dengan perwatakannya, dengan penyampaian tazkirahnya atau dengan pengaruhnya yang baik itu sendiri.

    Seumpama senja apabila hidup kita ini digesa untuk memberikan suatu keindahan yang amat cantik kepada seluruh manusia dalam dunia yang amat sebentar ini. Bagaikan menunggu senja yang lama hanya untuk saat mentari melabukan tirainya, begitulah manusia menunggu akhirat yang dirasakan lama ketika di dunia. Akan tetapi, sesudah senja itu berlalu pergi bersama mentarinya, waktu itulah diri kita akan berkata bahawa betapa sekejapnya waktu itu berlalu pergi.


Monday, February 6, 2012

Odyssey 2012

Odyssey 2-4 Februari 2012
Aqobah, Jordan
'WHERE YOUNG SPIRIT SOAR!'

Ramai yang tertanya-tanya bilakah akan terjadinya perubahan yang besar secara menyeluruh dan global pada dunia hari ini. Namun begitu, kita lupa bahawa perubahan yang besar itu bermula dengan adanya sang perubah yang hebat dan bijak malah sentiasa hebat dalam mengimbangi kehidupannya. Sang perubah itu tidak mengira berapakah usianya, tidak mengira lelakikah dia, tidak mengira apakah jawatannya dan seterusnya. Tetapi, sang perubah itu ialah mereka yang berjiwa PEMUDA meskipun usianya tua.

Pada malam program berlangsung. Dr Zainurrashid dan PakCik Zaim berentap di pentas sebagai pemberi semangat kepada para pemuda yang hadir.


Setiap kancah kehidupan, mari kita kembali melihat realiti apa yang terjadi pada hari ini. Kita telah banyak melihat bagaimana umat islam dipijak-pijak dan diperkotak-katikkan.
Jelas sekali disitu terdapat jurang antara ISLAM dan UMATNYA. Islam itu hebat tetapi belum dapat menjamin adakah umat Islam hebat seperti ajarannya. Di usia yang muda, di mana semangat seorang pemuda itu membara dan membakar, pastinya akan ada pasang surut tahap kekuatan dalamannya atau pun istilah lain rohaninya akan menaik dan menurun. Sang Pemuda yang berjiwa muda harus peka dengan tahap keimanannya, harus ingat dimanakah tahap ketajaman akalnya, harus menoleh kemanakah arah tuju hidupnya, dan juga harus pandang kehadapan kemanakah destinasi yang ingin dituju.

Pemuda itu menjadi pilihan dalam menegakkan kembali syiar Islam kerana pada mereka terletak kekuatan, pada mereka juga terletaknya semangat pejuang yang begitu membara dan berapi-api, kerana pada mereka juga tersembunyi jiwa hamba yang hebat mencintai penciptanya. Pemuda itu harus memiliki ciri-ciri muslim yang unggul dimana pemuda tersebut harus memenuhi kriteria-kriteria itu bagi menjamin keteguhannya berada dalam jalan yang benar. Akidah yang sempurna, ibadah yang sahih, tubuh badan yang sihat, menjaga masa, luas pengetahuan, mantap akhlaknya, teratur urusannya, melawan nafsunya, berdikari dan bermanfaat pada orang lain.

Mengapa mesti pemuda? Pemuda harapan umat. Pemuda agen perubahan. Pemuda merupakan diantara 7 golongan yang mendapat naungan Allah swt. Jika kita melihat sejarah Islam begitu banyak kisah yang menceritakan kemenangan yang diperoleh oleh umat Islam pada waktu itu. Hampir kebanyakan mereka yang terlibat dalam situasi itu adalah mereka yang masih muda dan mempunyai tahap kekuatan iman yang tinggi. Mereka itulah pemuda yang beriman dan Islam itu merangkumi segenap kehidupannya. Mereka itu yang berusaha mencari hidayah itu dan tidak akan melepaskan petunjuk hidayah itu setelah mana dia mendapatkannya. Saidina Umar Al khattab ra yang memeluk Islam dikala usianya 25 tahun, manakala Saidina Abu bakar ra memeluk Islam ketika 37 tahun telah membuktikan betapa berjayanya mereka membawa Islam itu ke serata dunia dan ini hanyalah kerana di waktu muda mereka menggunakan segala kekuatan fizikal dan mental mereka untuk berkorban demi agama.

Jika kita ingin berubah, maka jangan ditangguh-tangguhkan perubahan itu. Ramai yang tertanya siapakah yang membawa Islam pada zaman pemuda ashabul kahfi itu saat mereka ditidurkan di dalam gua? Dan mengapa mereka yang ditidurkan itu disebutkan dalam al-quran berbanding gerangan yang membawa Islam pada zaman mereka itu? Ini tidak lain kerana mereka yang ditidurkan itu ialah golongan yang telah memulakan jalan dakwah itu. Disebabkan mereka dakwah itu berkembang. Maka disitu permulaan itu kepada suatu perubahan itu amat penting dan semestinya perubahan itu haruslah bermula dari dalam diri kita dan jangan ditangguhkan. Perubahan yang ingin dilakukan itu mestilah benar-benar tertanam dan tersemat dalam jiwa. Islam yang ingin ditanamkan dalam diri itu mestilah juga disebarkan pada manusia yang lain. Biarlah kita orang pertama yang mencipta sejarah untuk diri kita dan bukannya sekadar melihat sejarah itu berlaku dalam diri kita.

aktiviti dalam air sangat seronok, lari belon, buat masjid pasir, lari air
mereka semua gembira dan pastinya pengajaran daripada games itu lebih penting 
^___^

Pak Cik Zaim yang amat bersemangat, mempunyai suara yang cukup menggegarkan suasana, terima kasih buat pakcik dan sekeluarga atas luahan perkongsian yang penuh mutiara-mutiara berharga.


Hidup di Negara orang ini realitinya kita sering dileka-lekakan dan amat mudah dipengaruhi dengan hedonisme yang tidak terkawal. Tidak kurang juga kita juga kurang keazaman malah masih kabur matlamat hidup. Penyelesaian mudah namun memerlukan kesanggupan dan pengorbanan yang amat tinggi. Antaranya tingkatkan ilmu pengetahuan sama ada ilmu agama dan ilmu am, dan seterusnya persiapan jiwa dan mental. Persiapan jiwa ini amatlah penting dan dimana jua kita berada., jiwa yang subur dengan iman yang basah inilah yang akan memimpin kita menghadapi mehnah kehidupan.

Ciri perubahan islam tu adalah menyeluruh dan bukanlah menempel dan membuat pembaikan. Ketika Islam itu datang dalam suasana jahiliyyahnya manusia pada waktu itu, ajaran Islam merubah seluruhnya serta menghapuskan segala bentuk kezaliman yang wujud. Perubahan yang menyeluruh ini memerlukan jiwa-jiwa pemuda yang hebat imannya. Lakukanlah perubahan itu kerana Allah swt kerana kecemerlangan itu amat dituntut dalam Islam. Mereka yang berubah demi kebaikan itu mereka yang menuju kecemerlangan.

Sebagai pelajar, hak kita adalah untuk menuntut ilmu dan berjaya hingga ke menara gading dengan izinNYA disamping usaha-usaha yang dilakukan untuk mencapai kejayaan itu. Muslim yang memegang title pendakwah ini dilihat sebagai manusia yang cemerlang seluruh aspek hidupnya. Maka seorang pelajar yang hebat juga ialah mereka mampu menjadi pendakwah dan pelajar pada masa yang sama serta cemerlang dalam kedua-dua profesion tersebut.

Melihatkan pemuda-pemuda di Malaysia yang hanyut dibuai keseronokan dunia dan kemewahan yang ada, mereka itu memerlukan pemuda-pemuda seperti mereka juga untuk menyelematkan mereka dari terus tenggelam. Persiapakan diri untuk memberi jika selama ini kita sudah lama menerima.

Tanam di hati benih iman sejati.
Berpadu dengan jiwa Rabbani,
Tempa jasadmu jadi pahlawan sejati,
Untuk tegakkan kalimat Illahi.


VIDEO KENANGAN ODYSSEY 2012


Sunday, February 5, 2012

Jaulah Ibnu Battuta


  Sehingga kini diriku masih ingin belajar untuk menjadi seorang yang muda jiwanya dan muda semangatnya. Saat diri kita jatuh, seharusnya diri kita lebih matang untuk hadapi situasi perit itu. Namun dari manakah kita akan dapat  belajar segala kematangan itu? Sungguh tarbiyah Allah swt itu jua lah yang akan mematangkan kita. Matang itu akan membantu kita membuat keputusan dengan rasional dan teliti. Tarbiyah atau pun didikan itu tidak datang bergolek begitu sahaja, tetapi kita lah yang pergi mencarinya di waktu semua manusia leka dengan urusan mereka, di waktu seluruh manusia sibuk dengan kerja yang perlu disiapkan. Hikmah yang Allah sediakan itu umpama seperti butiran mutiara di jalanan.Tatkala manusia bertuah yang melalui jalan itu dia lah yang akan menjumpai mutiara itu. Lantas tarbiyah itu juga seumpama mutiara di jalanan itu, siapa lagi yang akan menjumpai mutiara tidak lain tidak bukan  manusia yang pergi menuju kearah tu. Sungguh rugi manusia yang tidak pergi mendapatkan mutiara itu hanya kerana dia tidak melalui jalan itu.

 Kita berhak memilih apa yang kita mahu di dunia ini dengan syarat kita tidak mengenepikan hak manusia yang lain.Manusia perlu membuat pilihan yang boleh memberi pulangan yang berganda padanya. Manusia juga disarankan untuk membuat pilihan yang baik dan bukannya pilihan yang buruk. Ini yang telah digariskan dalam Islam bahawa manusia yang telah memilih untuk menuju jalan keburukan maka dia akan menjadi orang yang rugi, begitu pula sebaliknya jika dia telah memilih untuk menuju jalan kebaikan maka dia akan menjadi orang yang beruntung.

  Pilihanku adalah untuk terus mencari makna kehidupan. Harapan agar pilihanku ini yang diredhai Allah swt. Langkah bermula mengembara cinta dengan kuasaNYA. Jaulah Ibnu Battuta (JIB) nama trip yang penuh tersirat makna memberikan harapan tinggi agar peserta-peserta jaulah menjadikan kembara itu suatu kembara yang melonjakkan iman.

 bersama adik-adik di Dana Tafilah, Jordan melihat matahari menghilangkan cahayanya. 

Setiap daripada kami akan diberikan 'task' masing-masing sepanjang 5 hari jaulah. 'Task' itu ialah setiap peserta dikehendaki menceritakan sejarah / kisah tempat bersejarah yang telah ditetapkan oleh setiap peserta.
Maka ada yang akan menceritakan kisah Zaid bin Haritha dan lain2 serta kisah Nabi Lut dan laut mati, ada juga yang akan menceritakan kisah makam 5 sahabat di Mu'tah. Sungguh menarik dan mengujakan. Mengikuti trip sebelum ini memberikan pengalaman yang berbeza dari trip JIB ini. Antara faktornya, terdapat games yang menarik di beberapa tempat yang telah disediakan oleh adik-adik selaku ajk pelaksana trip.

Sambung ayat-ayat quran yang mengisahkan tentang Kaum Nabi Lut.
^___^

Merentasi bumi Jordan ini untuk berpuluh kali sekalipun pasti akan memberikan aura percikan Bumi Anbiya' yang berbeza pada setiap kali jaulah. Maka dengan semangat itulah, diri ini tidak pernah jemu untuk mengembara mencuri aura itu sekali sekala untuk terus kembali bersemangat dalam nafas seorang penuntut ilmu Allah swt di Jordan. 

Dan yang menarik, jaulah JIB berjaya sampai di Dana, Tafilah iaitu sebuah kawasan pergunungan di selatan Jordan. Jarak perjalanan yang agak jauh dari Irbid lebih kurang 6 jam dan kawasan ini dianggap yang paling tinggi di bahagian selatan Jordan. 

Menuju puncak demi melihat ciptaan Allah yang hebat.

      'Sungguh telah berlalu sebelum kamu sunnah-sunnah (Allah), kerana itu berjalanlah kamu ke (segenap penjuru) bumi dan perhatikanlah bagaimana kesudahan orang yang mendustakan (rasul-rasul)' Al-Imran: 137

                        
                                Meredah sungai laluan air mata air gunung.
                        
 Kawasan perhutanan kecil yang terpencil di Dana menarik perhatian kami. Rasa macam bukan di Jordan pulak. ^__^

 Kelihatan salji di pergunungan Dana.


'Dan kepada penduduk Madyan, kami (utus) Syuaib, saudara mereka sendiri. Dia berkata, 'Wahai kaumku, Sembahlah Allah. Tidak ada tuhan(sembahan) bagimu selain Dia. Sesungguhnya telah datang kepadamu bukti yang nyata dari tuhanMu. Sempurnakanlah takaran dan timbangan, dan jangan kamu merugikan orang sedikit pun. Janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi setelah (diciptakan) dengan baik. Itulah yang lebih baik bagimu jika kamu orang yang beriman.' Al-a'raf:85




'Sungguh kamu telah melampiaskan nafsu syahwatmu kepada sesama lelaki bukan perempuan. Kamu benar-benar kaum yang melampaui batas.Dan jawapan kaumnya tidak lain hanya berkata:'Usirlah mereka (Lut dan pengikutnya) dari negerimu ini, mereka adalah orang yang mengganggap dirinya suci.' Kemudian kami selamatkan dia dan pengikutnya, kecuali istrinya. Dia (istrinya) termasuk orang -orang yang tertinggal. Dan kami hujani mereka dengan hujan (batu). Maka perhatikanlah bagaimana kesudahan orang yang berbuat dosa itu.'
Al-a'raf: 84

Menuju ke arah laut mati. 

Alhamdulillah perkhidmatan di Dana antaranya makanan yang mengenyangkan.

Rom Theater, Amman

 Subhanallah


Maha suci Engkau yang telah menjejakkan kakiku ke tanah para anbiya'Mu . 


Kenangan Kembara Jaulah Ibnu Battuta yang akan sentiasa menggamit memori.


Diriku yang seorang sahaja senior dalam trip JIB ini sangat gembira melihat jiwa adik-adik ini yang sangat lembut tatkala mata mereka tekun melihat kuasaMU ya Allah. Pastinya segala makhlukMu di muka bumi dijadikan oleh Mu hanya untuk hambaMU melihat akan kekuasaanMU dan lantas mengucapkan setinggi-tinggi pujian terhadapMU. 

'Dan barangsiapa diberi petunjuk oleh Allah, dialah yang mendapat petunjuk, dan barangsiapa yang Dia sesatkan, maka engkau tidak akan mendapatkan penolong-penolong bagi mereka selain Dia..' Al-isra' :97