Serba sedikit sejarah ringkas tentang dakwah Nabi Syuib. Beliau telah diutuskan kepada kaum Madyan, segolongan bangsa Arab yang tinggal di daerah bernama Ma’an di pinggir negeri Syam (Palestin). Golongan ini menyembah Aikah, iaitu sebidang padang pasir yang ditumbuhi beberapa pohon dan tanam-tanaman. Ketika nabi syuib berdakwah kepada mereka, mereka langsung tidak menerimanya bahkan mengejek dan mempersendakan dakwah nabi. Antara amalan buruk mereka ialah menipu sukatan dan timbangan dalam jual beli. Ramai saja para pedagang kecil yang tertipu dan ditindas oleh mereka. Mereka turut mencabar nabi agar menurunkan azab kepada mereka seandainya dakwah nabi itu benar. Akhirnya dengan izin Allah, Allah menurunkan bala kepada mereka dengan hawa panas terik yang membakar kulit dan kering tekak dahaga kepanasan yang amat perit sekali. Ke mana sahaja mereka pergi untuk berlindung dari hawa panas langsung tidak mendatangkan faedah sekalipun. Dikatakan, mereka menuju ke hutan tempat penyembahan mereka namun itu pun tidak mendatangkan faedah. Kemudian Allah telah mewahyukan kepada nabi agar keluar bersama-sama orang mukmin dari desa tersebut agar azab Allah yang akan diturunkan tidak menimpa ke atas mereka. Akhirnya umat nabi Syuib yang ingkar tadi melihat awan tebal datang beriring, lantas menuju ke awan hitam yang tebal itu. Sangkaan mereka bahawa awan tersebut akan menghindarkan mereka dari hawa panas, namun ia meleset sama sekali. Lantas, kedengaranlah suara teriakan kuat dari langit, mereka menyangka itu guruh yang akan membawa kepada hujan, namun sebaliknya terjadi, mereka dibakar oleh cahaya api yang keluar dari awanan hitam hingga menjadi abu berterbangan. Begitulah azab Allah yang pedih bagi kaum yang ingkar, buat pengajaran umat mendatang. Kisah berkenaan Nabi Syuib dan kaumnya banyak diceritakan dalam surah Hud surah ke-11 ayat ke 84-95.
0 comments:
Post a Comment