ASHABULKAHFI
Lokasi Gua Ashabul Kahfi terletak kira-kira 7km dari pusat bandar Amman, Jordan. Kawasan ini suatu ketika dahulu dikenali dengan Ar-Raqim kerana terdapat kesan tapak arkeologi yang bernama Khirbet Ar-Raqim di kawasan tersebut. Perkataan Ar-Raqim juga disebut di dalam Al-Quran dan Ahli Tafsir menafsirkan Ar-Raqim sebagai nama anjing dan ada yang menyatakan ia sebagai batu bersurat.
Kahf Ahlil Kahf merupakan lokasi sejarah yang membuktikan kebenaran kisah di dalam Al-Quran iaitu di dalam Surah Kahfi mulai ayat 9 hingga 26. Ayat di dalam Surah tersebut menceritakan bagaimana 7 orang pemuda yang beriman kepada Allah melarikan diri ke sebuah gua dan Allah menidurkan mereka selama 309 tahun Qamariah (300 tahun Shamsiah) sehingga mereka tidak dapat dibangunkan oleh suara apa sekalipun.
Kisah 7 pemuda ini bermula apabila mereka berhadapan dengan raja yang zalim dan mengakui bahawa mereka hanya beriman kepada Allah yang menguasai langit dan bumi. 7 orang pemuda tersebut melarikan diri dari raja yang zalim bersama seekor anjing mereka ke sebuah gua dan bersembunyi di situ lalu mereka ditidurkan oleh Allah selama 309 tahun Qamariah.
Apabila mereka bangun, salah seorang dari mereka keluar untuk membeli makanan dan mendapati zaman tersebut telah berubah dari zaman mereka memasuki gua. Ini disedari apabila wang yang mereka gunakan sudah tidak laku pada zaman tersebut (zaman mereka dibangkitkan).
Pemuda tersebut kembali ke gua dan pemuda-pemuda tersebut dimatikan oleh Allah di dalam gua tersebut.
Bilakah ia berlaku? Pandangan pertama menyatakan kisah ini berlaku pada zaman maharaja Rum Daqyanus atau dikenali sebagai Decius yang menguasai Amman dan memerintah sekitar tahun 249-251 Masihi. Daqyanus terkenal sebagai maharaja yang amat memusuhi agama Nasrani dan menyeksa pengikut-pengikutnya. Pemuda-pemuda tersebut dikatakan bangun ketika zaman Theodicius II yang memerintah antara tahun 408 sehingga 521 Masihi.
Pandangan kedua berpendapat bahawa kisah ini telah berlaku pada zaman penguasaan Maharaja Trajan. Manuskrip sejarah membuktikan bahawa diktator ini menyembah berhala dan membunuh sesiapa sahaja yang menentang tuhan-tuhannya sehinggakan Trajan mengeluarkan peraturan berhubung dengan perkara tersebut. Siapa yang beriman selain dari tuhan yang dia sembah, mereka akan dibunuh. Tempoh penguasaan Trajan adalah di antara tahun 98-117 masihi. Pemuda-pemuda beriman tersebut dikatakan bangun dari tidur ketika zaman Theodicius yang memerintah antara tahun 408-450 masihi.
KARAK CASTLE
Istana Karak ini terkenal semasa Peperangan Salib namun menurut sejarah kota ini pernah menjadi kubu Moab malah telah didiami Kristian sejak sebelum perang Salib lagi . Kota ini juga merupakan bandar bertembok sebagaimana yang dinyatakan dalam Bible malah turut tertera dalam Peta Mozek Madaba . 1142 M , Lord Pagan – Butler telah memindahkan ibu pejabatnya dari Shobak ( Montreal ) ke sini di samping sebuah istana dan penggantinya pula menambah parit dan menara di sini . Kedudukan dan keutuhannya menjadikan Istana Karak ini sebagai kubu pertahanan sisi Timur bagi Kerajaan Latin . Istana ini dikelilingi tebing batuan dari tiga kedudukan .
Pada 1161 M kota ini dikuasai oleh Reynald Chatillon yang digelar Gajah Masihi dan telah berkahwin dengan Etuenette de Milly . Chatillon dikenali kerana kekejamannya dan dia juga telah memimpin tentera mengalahkan Solahuddin al-Ayubi di Montgisart pada 1177 M seterusnya sering menyerang pedagang Arab yang berlabuh di Laut Merah di samping membina bot-bot yang dihantar ke Aqabah. Pada 1187 M, tentera Solahuddin telah mengepung kota tersebut selama 8 bulan sehingga memaksa tentera pertahanan kota tersebut menjual anak dan isteri mereka untuk makanan . Akhirnya pada 1188 M mereka tewas dan disebabkan kegigihan mereka maka Solahuddin al-Ayubi telah membebaskan mereka .
Istana itu kemudiannya diuruskan oleh adik Solahuddin yang telah memperkuat dan mengukuhkan lagi pertahanannya . Kurun ke-13 dan 14 menyaksikan betapa kota tersebut dikemaskini dan diperindahkan struktur dalamannya di bawah pemerintahan Islam . Sultan Baibars telah bertanggungjawab dalam memperdalam parit kota di samping membina monumen di bahagian selatan dan menara bulat dengan simbol singa di tembok timur bandar kota tersebut . Namun gempa bumi pada 1293 M telah memusnahkan kebanyakan besar bahagian kota tersebut .
0 comments:
Post a Comment