Sunset di Dana, Tafilah- Jordan
Suatu masa dahulu senja ini mengumpulkan dua perasaan yang aneh dan pelik. Aku gembira dan aku takut. Maha Suci Allah swt bila mata ini dibuka dan diberi penglihatan yang jelas tanpa bantuan kaca mata, aku kagum dan terkedu seketika tatkala senja itu berjaya menyedarkan aku bahawa mataku ini masih bisa melihat keagungan tuhan yang satu Allah. Aku gembira juga bilamana saat itu aku berjaya melihat betapa indahnya pemandangan itu, bagaikan hatiku dibuka seluas-luasnya, dibiarkan luas sebegitu untuk menerima cahaya dan pancaran senja yang memancar. Peluh yang mengalir dalam kesejukan ku abaikan, mata tidak mahu dibiarkan sesaat pun berkedip kerana takut akan terlepas melihatkan pemandangan itu. Meskipun masa itu sesaat dan setelah itu cahaya senja itu berlalu pergi membiarkan malam pula menggantikan tempatnya.
Di dunia, hidup kita mungkin tidak mampu untuk memberi sepenuh kesan yang ampuh dalam diri manusia yang pernah kita kenal. Sama ada memberi kesan terhadap perubahan diri kepada yang lebih baik mahupun perubahan daripada yang baik kepada yang bertambah baik. Sebahagian manusia pula mampu meninggalkan kesan kepada diri manusia dengan nasihat-nasihatnya, dengan perwatakannya, dengan penyampaian tazkirahnya atau dengan pengaruhnya yang baik itu sendiri.
Seumpama senja apabila hidup kita ini digesa untuk memberikan suatu keindahan yang amat cantik kepada seluruh manusia dalam dunia yang amat sebentar ini. Bagaikan menunggu senja yang lama hanya untuk saat mentari melabukan tirainya, begitulah manusia menunggu akhirat yang dirasakan lama ketika di dunia. Akan tetapi, sesudah senja itu berlalu pergi bersama mentarinya, waktu itulah diri kita akan berkata bahawa betapa sekejapnya waktu itu berlalu pergi.
0 comments:
Post a Comment