Wednesday, April 17, 2013
Pasca Pengajian
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang telah mengurniakan iman dan islam kepada kita semua. Semoga kita sentiasa menyedari akan nikmat ini setiap waktu lantas memanjatkan kesyukuran setinggi-tingginya kepadaNya.
Tika ini boleh dikatakan hampir 2 bulan lebih saya pulang ke Malaysia dan alhamdulillah banyak perkara yang telah dapat saya lakukan. Tidak dapat dinafikan bahawa kerinduan saya pada bumi Urdun amatlah begitu terasa hingga kini. Kadangkala terkenangkan sahabat-sahabat yang masih belajar di sana, semoga mereka berjaya dan terus berusaha untuk berjaya. Namun begitu, memandangkan banyak aktiviti di Malaysia ini yang boleh dimanfaatkan, sedikit sebanyak hilang jua kerinduan itu demi melangsungkan kehidupan yang lebih baik di tanah air ini.
Seminggu selepas sampai di Malaysia, saya terus pergi ke pejabat JPA untuk urusan lapor diri. Segala dokumen yang berkenaan siap disediakan untuk diserahkan kepada Cik Tengku Farah. Bermulalah tempoh menunggu panggilan dari SPA untuk berkhidmat sebagai pegawai selama setahun.
Agenda kehidupan setiap individu sangat penting kerana ia akan menentukan sejauh mana kita mampu mencipta sejarah hidup yang berjaya buat diri sendiri. Yeah! ayat yang betul-betul semangat nih.Apa yang penting semua manusia harus sedar bahawa dia perlu wujudkan suatu agenda yang jelas untuk berjaya dunia dan akhirat. Kalau ada yang mengatakan pernyataan ini kolot, satu contoh mudah untuk membidasnya, maka apakah engkau hidup di dunia sebagai manusia asing sahaja, hanya transit semata-mata sedangkan kehidupan sebenarmu adalah akhirat sana. Maka segala-galanya yang ada di dunia ini sudah pasti ianya tidak kekal malah sementara. Atas kesedaran itu, engkau patut mencari sebanyak-banyaknya pahala kebaikan sebagai jambatan untukmu di akhirat kelak yang memudahkan jalan kamu ke syurga.
Selesai bab agenda dan niat, apalagi kita terus ke cerita apa yang saya buat lepas habis belajar di Yarmouk, Jordan. Coretan yang saya kira sederhana, kecil dan hanya bersifat ingin berkongsi pengalaman sahaja. Ada satu perkara yang menjadi keutamaan saya apabila memikirkan soal mencari rezeki di dunia ini iaitu bisnes. Menggunakan seluruh tenaga dan kemampuan yang ada untuk mencari rezeki daripada titik peluh sendiri. Maka, dari hari ke hari saya berfikir dan terus berfikir. (Semoga apa yang saya hasratkan itu menghasilkan buah yang bagus dan berguna untuk masa depan saya.) Erti kata lain selain kita fikir untuk makan gaji, bekerja, dan berkhidmat untuk orang lain haruslah difikirkan juga jalan untuk mencari rezeki hasil daripada keringat peluh sendiri.
Pengalaman menjadi guru sementara sangatlah menarik walaupun ianya sedikit mencabar. Cabaran mendidik anak murid yang adakalanya nakal, manja dan hendakkan perhatian dari gurunya. Cabaran mengatasi anak murid yang lemah IQ nya dan tidak kurang juga cabaran berinteraksi dengan murid yang tinggi pula IQ nya.
Apa yang menjadi minat saya untuk mengajar ialah banyak sangat kenangan dan nostalgia kembali menjengah di fikiran saya apabila melihat murid-murid ini. Kenangan di sekolah rendah yang sangat mencuit hati kini seolah-olah seperti berulang kembali. Sangat menyeronokkan. Waktu perhimpunan, saya duduk di barisan guru-guru, dihadapan saya murid-murid, suatu pengalaman yang amat indah, perasaan seorang guru itu mula dapat saya rasakan. Betapa besarnya pengorbanan seorang guru itu mendidik anak muridnya sehingga mereka diberikan penghargaan yang cukup tinggi. Bak kata seorang guru disitu "walaupun awak hanya guru sementara, selepas sebulan lebih awak rasakanlah macam mana anak murid tu kekal memanggil awak sebagai cikgu walaupun awak berada di luar sekolah"
"Cikgu, semalam saya nampak cikgu kat pasar malam"
"Cikgu Fadhilah!" sambil melambai tangan.
Mereka nakal dan bijak. ^______^
Akhirnya, tanpa ada rasa menyesal saya tetap meneruskan tempoh sebagai guru sementara sehingga sekarang memandangkan saya belum lagi mendapat kerja tetap. Setidak-tidaknya masa itu tidak saya buang begitu sahaja di rumah tanpa membuat apa-apa aktiviti.
Ini pula projek kecil-kecilan saya selain di sekolah ^_____^
Yang ini juga (headband) ^________^
Selepas daripada ini, saya akan meneruskan lagi agenda hidup saya dengan mengajar tusyen secara personal dengan anak kenalan jiran terdekat. Apa sahaja kebolehan yang manusia lihat pada kita, adakalanya saya fikir lebih manis untuk kita cuba untuk memberi setelah lama kita menerima. Apa yang selama ini kita terima ilmu itu, boleh jadi manusia lain pula memerlukannya daripada kita dan kita haruslah memberinya.
Semoga Allah sentiasa membuka ruang yang luas pada kita untuk beramal kebaikan kepada ibu bapa terutamanya, adik beradik, masyarakat dan negara amnya. Jangan dipersiakan masa muda kita, cepat-cepat berfikir untuk melakukan apa yang terbaik buat agama, bangsa dan negara saat kita masih muda dan punya tenaga ini. Lakukanlah yang paling terbaik untuk membalas jasa ibu bapa kita. Seterusnya semoga Allah meredhai segala usaha dan amalan kita di dunia dan memudahkan jalan kita ke syurgaNya Ameen inshaAllah.
Wassalam.
Subscribe to:
Posts (Atom)


