Showing posts with label ~TaZkIRaH~. Show all posts
Showing posts with label ~TaZkIRaH~. Show all posts

Friday, November 29, 2013

Relaks and Respon

                         


Kadangkala kita tidak perasan sebenarnya diri kita sedang mengalami kecelaruan dan kebuntuan. Masalah yang timbul dan datang bertimbun-timbun datang menerpa bagaikan tidak berhenti itu adakalanya membuatkan kita lupa seketika akan matlamat hidup ini. Tuhan menjadikan setiap masalah itu dengan penyelesaiannya yang tersendiri. Manusia hanya melihat masalah yang ada itu sebagai batu yang besar atas kepala sedang menghempap dirinya. Masakan manusia tidak mengerti apakah tujuan mereka hidup di dunia ini? Aneh.

Sedaya upaya mereka mencari penyelesaian itu dalam kebuntuan dan kesesakan rutin harian yang dilalui saban hari. Akhirnya terdetik di hati ingin mencari sesuatu yang sudah lama diimpikan iaitu ketenangan.
Lantas, pelbagai cara cuba untuk dilakukan demi mencari sebuah ketenangan itu. Penat, akhirnya mengeluarkan peluh dan sisa keluhan. Dimana ketenangan itu??? Dimana??? Puas mencari ketenangan.

Pandanglah ke langit biru. Lihatlah awan yang putih salju itu. Rasailah angin yang lembut dan nyaman itu. Sekali sekali dengarlah deruan angin yang sayup-sayup. Bayangkanlah kita sedang berdiri di atas puncak gunung dan mata kita sedang memandang luas ke seluruh pelusuk bumi ini. Dan ucapkanlah ALHAMDULILLAH. Syukurlah dengan sepenuh-penuh kesyukuran bahawa kita masih lagi boleh bernafas dengan tenang dan memandang nikmat Tuhan yang cukup luas itu.

Hadapilah masalah dengan tenang. Duduk sebentar, pandang ke tanah bumi dan fikirkanlah mengapa Tuhan mendatangkan masalah itu kepada kita. Andai kita sudah lama melupakanNya, kembalilah beristighfar. Andai kita sudah lama tidak memaafkan orang, maafkanlah diri sendiri terlebih dahulu. Andai sudah lama kita tidak memberi makan kepada rohani kita, berikanlah ruang kepada rohani dan jiwa kita untuk menerima santapan ruh yang paling lazat. Pergilah ambil wudhuk dan bacalah al-quran dan berzikirlah dengan sebanyak-banyaknya.

SENYUM. Senyum kepada diri sendiri. Letakkan tangan di dada kemudian ucap "Allah sentiasa bersamaku" dan sedekahkan al-fatihah untuk kedua ibu bapa kita.

Andai kita sering ditimpa masalah, sedarilah bahawa masalah itu hanyalah satu ujian dari Tuhan yang sedang menguji keimanan kita. Dia mahu melihat bagaimana kita respon kepada masalah itu. Jika kita berjaya hadapinya dengan tenang, maka akan ditingkatkan darjat keimanan kita. Sesungguhnya, Tuhan itu Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Dia terlalu sayangkan hambaNya dan kerana masalah itulah yang dapat mengembalikan semula hambaNya kepada jalan yang lurus semula.





Sunday, August 5, 2012

Pilih untuk jadi buah Citron berbanding Kurma?




ورد ذكره في حديث لرسول الله صلى الله عليه وسلم


أَخْبَرَنَا أَحْمَدُ ، حَدَّثَنَا مُحَمَّدٌ ، أَنْبَأَنَا سَهْلُ بْنُ بَّكَارٍ الدَّارِمِيُّ ، حَدَّثَنَا أَبَانٌ ، عَنْ قَتَادَةَ ، عَنْ أَنَسٍ

عَنْ أَبِي مُوسَى الأَشْعَرِيِّ ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ :


" مَثَلُ الْمُؤْمِنِ الَّذِي يَقْرَأُ الْقُرْآنَ كَمَثَلِ الأَتْرُجَّةِ طَعْمُهَا طَيِّبٌ وَرِيحُهَا طَيِّبٌ ، وَمَثَلُ الْمُؤْمِنِ الَّذِي لا يَقْرَأُ الْقُرْآنَ

كَمَثَلِ التَّمْرَةِ طَعْمُهَا طَيِّبٌ وَلا رِيحَ لَهَا ، وَمَثَلُ الْمُنَافِقِ الَّذِي يَقْرَأُ الْقُرْآنَ كَمَثَلِ الرَّيْحَانَةِ رِيحُهَا طَيِّبٌ

وَلا طَعْمَ لَهَا ،وَمَثَلُ الْمُنَافِقِ الَّذِي لا يَقْرَأُ الْقُرْآنَ كَمَثَلِ الْحَنْظَلَةِ طَعْمُهَا مُرٌّ وَلا رِيحَ لَهَا "

“Perumpamaan orang mu’min yang suka membaca al-Quran ialah seperti buah utrujjah (اَلْاُتْرُجَّة), baunya enak dan rasanya pun enak.  Dan perumpamaan orang mukmin yang tidak suka membaca al-Quran ialah seperti buah kurma, tidak ada baunya, tetapi rasanya manis.  Adapun perumpamaan orang munafik yang suka membaca al-Quran ialah seperti minyak harum, baunya enak sedang rasanya pahit.  Dan perumpamaan orang munafik yang tidak suka membaca al-Quran ialah seperti rumput hanzolah (اَلْحَنْظَلَة), tidak ada baunya dan rasanya pun pahit.”

Secara logiknya, sudah tentu buah utrujah atau buah citron [seperti lemon] yang mengeluarkan bau yang harum akan mempunyai isi buahnya yang cukup baik dan enak untuk dimakan. Ini bermakna mukmin yang suka membaca al-quran dia telah menyebarkan bau yang harum, seolah-olah ingin mengatakan bahawa ayat-ayat suci Allah itu indah untuk dihayati dan diamalkan dalam seharian hidup kita. Bau yang harum akan memanggil-manggil kita untuk mendekatinya lalu menghampirinya kerana ingin tahu apa yang terkandung didalamnya. Maka itulah tugas kita sebagai penyambung risalah Rasulullah s.a.w yang telah membawa wahyu dan ajaran Islam yang syumul kepada sekalian umat. Kita semua seharusnya menjadi pembaca al-quran yang tekun meneliti setiap kalam suciNYA. Kita lah yang menjadi halamatul quran yang senantiasa membacakan ayat-ayat suci Allah dengan penuh penghayatan. Mahukah kita menjadi mukmin yang menyebarkan haruman yang busuk. Sudah tentu tidak, bahkan ia akan menjadi fitnah kepada Islam lantas boleh membawa aib kepada agama Islam itu sendiri. 

Elakkan diri daripada menjadi mukmin yang seperti kurma. Tidak suka membaca al-quran, maka dia tidak suka dan mungkin tidak merasa 'izzah' membaca ayat-ayat quran. Mereka diumpakan seperti kurma kerana mereka tidak berjaya mengesani manusia sekeliling untuk merasakan betapa indahnya agama Allah s.w.t  melalui bacaan al-quran itu. Namun dari satu sudut sudah jelas di minda mereka akan keindahan ajaran Islam itu, tetapi masih belum cukup kekuatan yang ada dalam diri mereka untuk turut mengajak manusia   merasai kehebatan ayat-ayat Allah sepertimana mereka sudah pernah lalui.



Wednesday, August 1, 2012

Cuti Bulan Jun 2012



Sewaktu kali pertama beraya di Jordan 
bersama Kak Ira ^.^ -Selingan-

Bismillah,

Tahun 3, Islamic Banking & Finance. Ku menjejakkan kaki lagi sekali ke Malaysia dengan satu tujuan yang sedikit berbeza, dan lebih matang. Pulang ke Malaysia untuk suatu misi yang besar. Maka dengan itu, jadual harianku disusun dengan begitu teliti agar kesemua perancangan dapat berjalan dengan lancar. Alhamdulillah, meskipun cuti hanyalah beberapa minggu tidak sampai sebulan, syukur kepada Allah kerana dengan masa yang singkat itu kurasakan banyak aktiviti yang telah terlaksana berbanding jika cuti yang sebelum ini.


  Alhamdulilah, diri ini yang semakin matang dan memahami hakikat kehidupan terasa lebih berat dan berasa lebih bertanggungjawab dalam memikul tugas sebagai hamba Allah s.w.t. Hari-hariku diisi dengan penuh mujahadah demi mencapai redho Allah. Bersyukur melihat ahli keluarga yang semakin sukakan pada kebaikan yang lebih tergambar 'izzah'nya pada Islam. Alhamdulillah. Impaknya, diriku harus terus laju memberikan qudwah yang lebih mantap pada ahli keluarga.

                        
                   3 adik-adikku yang mempunyai karenah yang agak unik bagiku.

  Pernah suatu ketika diriku diberi peringatan oleh seseorang yang mantap akhlaknya, beliau mengatakan bahawa pada zaman muda inilah waktu dimana kita wajib untuk menyumbang sepenuh tenaga untuk Islam, zaman dimana segala-galanya nampak mudah dan mampu dilakukan atas kapasiti tenaga pemuda itu yang cukup kuat dan penuh semangat serta azamnya yang tinggi. Zaman pemuda ini boleh disebutkan sebagai zaman keemasan kerana pada waktu ini pemuda itu boleh melakarkan sebanyak mana sejarah hidupnya yang paling hebat. Terbayang saat tulang kita sudah kita kuat dan satu badan mudah kepenatan dan penyakit banyak menyerang, sudah pasti tenaga yang ada sukar untuk disumbangkan dalam bentuk yang sebelum ini iaitu ketika zaman muda. Maka dengan itu, kita perlu sedar akan betapa besarnya peranan menjadi orang muda yang akan menggerakkan Islam dan mengajarkan agam kepada seluruh umat manusia.

 Jadual cuti yang padat? Antara aktiviti yang berjaya dilaksanakan ialah mengikuti perkembangan adik-adik junior yang bakal meneruskan pengajian ke Jordan. Memberikan pendedahan dan penerangan yang jelas tentang kehidupan mahasiswa di bumi perantauan menjadi buah besar perbincangan kami. Selain membincangkan tentang hal ehwal pengajian dan sebagainya, diriku kagum dengan sebahagian adik-adik ini yang penuh semangat bertanyakan soal wasilah tarbiyah yang wujud di Jordan. Tahniah buat mereka yang sudah berjaya meletakkan diri mereka jauh kehadapan, memikirkan kemajuan sahsiah dan akhlak diri masing-masing.

 Pelbagai program yang menyusul selepas itu, antaranya 'Road To Jordan' yang menjadi salah satu program khusus buat mahasiswa yang ingin melanjutkan pengajian atau yang ingin mengetahui serba-serbi mengenai pengajian di Jordan. Sambutan yang amat memberangsangkan. Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar.

 Balik kampung. Antara aktiviti mingguan ahli keluargaku. ^_^. Membersihkan kawasan halaman kampung yang sudah tiada berpenghuni setelah datuk dan nenekku meninggal dunia.Setiap minggu kampung halamanku akan menjadi tempat persinggahan dan tempat beristirehat ahli keluarga sebelah ibu terutamanya. Meskipun datuk dan nenek sudah tiada, hakikatnya suasana kemesraan dan ketenangan serta kehijauan sawah padi yang menyejukkan mata sudah cukup untuk membuatkan hati kami sekeluarga gembira untuk balik ke kampung. Aktiviti memancing merupakan antara akvitvit kesukaannku. Tidak sah balik kampung jika tidak pergi memancing. ^_^

Kayu pancing ibuku agak bengkok, tanda ada ikan sudah terkena umpan. ^-^

Mencari lubuk ikan di tengah sawah padi. Ikan haruan pastinya gemuk-gemuk.

  Memandikan jenazah. Tidak sangka akhirnya diriku berpeluang untuk turut sertai ibuku pergi menguruskan jenazah perempuan yang meninggal kerana sakit tua. Ini kerana sebelum ini bukan masa yang tidak mengizinkan tetapi diriku sendiri yang masih belum bersedia. Alhamdulillah cuti kali ini betul-betul membuat diriku tergerak untuk melakukan satu lagi kemajuan dalam diri dengan dibantu oleh ibuku. Aku bersama ibuku dan dua orang lagi kawan ibuku diberi keizinan Allah s.w.t untuk membantu sebuah keluarga yang kematian ibu mereka yang sudah tua. Aku diberi tugasan menggunting kain kafan bersama kawan ibuku, sementara ibuku bersama kawannya yang seorang lagi pergi memandikan jenazah. Agak kekok, namun digagahkan juga untuk berani kerana akhirnya diriku juga akan dipersiapkan sebegini sebelum bertemu tuhanku. Runtun jiwaku seketika tatkala teringatkan arwah nenekku yang mana diriku juga pernah memandikan jenazah beliau suatu ketika dahulu. Teruskan istighfar jangan berhenti. Itu pesan ibuku.

                     
 Harapan: Ingin menghabiskan kursus Pengurusan Jenazah oleh ibuku Puan Peridah Hashim.
-gambar hiasan

  Hampir dua minggu bercuti di Malaysia dipenuhi dengan aktiviti yang dikira padat bagiku. Manakan tidak, seharian sebagai anak perempuan yang sulong di rumah juga dipenuhi dengan aktiviti surirumah. Tidak dinafikan sebagai wanita yang bakal mendirikan rumah tangga, bermula sekarang segala kerja-kerja surirumah sudah semestinya menjadi aktiviti kebiasaan kita. Apatah lagi jika sibuk bekerja nanti, maka disitu kebijaksanaan wanita akan teruji, di antara ingin melunaskan tanggungjawab kerja pada masa yang sama ingin menguruskan hal rumah tangga. Insyaallah kita semua wanita yang bijak. ^_^



Tuesday, March 13, 2012

'Jangan' Dalam Agama Islam. Koreksi Diri!






JANGAN dalam Islam

- JANGAN tidur selepas solat Subuh, nanti rezeki Mahal kerana berpagi-pagi itu membuka pintu Berkat.
- JANGAN makan tanpa membaca BISMILLAH dan DOA makan. Nanti rezeki kita dikongsi syaitan.
-JANGAN tambah perhiasan di badan kerana Allah sudah jadikan Manusia Makhluk yang paling Sempurna
- JANGAN keluar rumah tanpa niat untuk membuat kebaikan.Takut-takut kita mati dalam perjalanan.
- JANGAN pakai sepatu atau selipar yang berlainan pasangan.Makruh dan mewarisi kepapaan.
- JANGAN biarkan Mata liar di perjalanan.. Nanti hati kita gelap diselaputi dosa.
- JANGAN menangguh taubat bila berbuat dosa kerana mati boleh datang bila-bila masa.
- JANGAN ego untuk meminta maaf pada ibu bapa dan sesama manusia kalau memang Kita bersalah.
- JANGAN mengumpat sesama rakan taulan. Nanti rosak persahabatan Kita hilang bahagia.
- JANGAN lupa bergantung kepada ALLAH dalam setiap kerja Kita. Nanti Kita sombong apabila berjaya.Kalau gagal kecewa pula.
- JANGAN bakhil untuk bersedekah. Sedekah itu memanjangkan umur dan memurahkan rezeki Kita.
- JANGAN banyak ketawa. Nanti mati jiwa.
- JANGAN biasakan berbohong, kerana ia adalah ciri-ciri munafik dan menghilangkan kasih orang kepada Kita.
- JANGAN suka menganiaya manusia atau haiwan.. Doa makhluk yang teraniaya cepat dimakbulkan ALLAH.
- JANGAN terlalu susah hati dengan urusan dunia. Akhirat itu lebih utama dan hidup di sana lebih lama dan kekal selamanya.
- JANGAN mempertikaikan kenapa ISLAM itu berkata JANGAN. Sebab semuanya untuk keselamatan Kita.

Tuesday, March 6, 2012

Pancaran Cahaya Senja

           
                                           Sunset di Dana, Tafilah- Jordan
 
      Suatu masa dahulu senja ini mengumpulkan dua perasaan yang aneh dan pelik. Aku gembira dan aku takut. Maha Suci Allah swt bila mata ini dibuka dan diberi penglihatan yang jelas tanpa bantuan kaca mata, aku kagum dan terkedu seketika tatkala senja itu berjaya menyedarkan aku bahawa mataku ini masih bisa melihat keagungan tuhan yang satu Allah. Aku gembira juga bilamana saat itu aku berjaya melihat betapa indahnya pemandangan itu, bagaikan hatiku dibuka seluas-luasnya, dibiarkan luas sebegitu untuk menerima cahaya dan pancaran senja yang memancar. Peluh yang mengalir dalam kesejukan ku abaikan, mata tidak mahu dibiarkan sesaat pun berkedip kerana takut akan terlepas melihatkan pemandangan itu. Meskipun masa itu sesaat dan setelah itu cahaya senja  itu berlalu pergi membiarkan malam pula menggantikan tempatnya.

    Di dunia, hidup kita mungkin tidak mampu untuk memberi sepenuh kesan yang ampuh dalam diri manusia yang pernah kita kenal. Sama ada memberi kesan terhadap perubahan diri kepada yang lebih baik mahupun perubahan daripada yang baik kepada yang bertambah baik. Sebahagian manusia pula mampu meninggalkan kesan kepada diri manusia dengan nasihat-nasihatnya, dengan perwatakannya, dengan penyampaian tazkirahnya atau dengan pengaruhnya yang baik itu sendiri.

    Seumpama senja apabila hidup kita ini digesa untuk memberikan suatu keindahan yang amat cantik kepada seluruh manusia dalam dunia yang amat sebentar ini. Bagaikan menunggu senja yang lama hanya untuk saat mentari melabukan tirainya, begitulah manusia menunggu akhirat yang dirasakan lama ketika di dunia. Akan tetapi, sesudah senja itu berlalu pergi bersama mentarinya, waktu itulah diri kita akan berkata bahawa betapa sekejapnya waktu itu berlalu pergi.


Sunday, February 5, 2012

Jaulah Ibnu Battuta


  Sehingga kini diriku masih ingin belajar untuk menjadi seorang yang muda jiwanya dan muda semangatnya. Saat diri kita jatuh, seharusnya diri kita lebih matang untuk hadapi situasi perit itu. Namun dari manakah kita akan dapat  belajar segala kematangan itu? Sungguh tarbiyah Allah swt itu jua lah yang akan mematangkan kita. Matang itu akan membantu kita membuat keputusan dengan rasional dan teliti. Tarbiyah atau pun didikan itu tidak datang bergolek begitu sahaja, tetapi kita lah yang pergi mencarinya di waktu semua manusia leka dengan urusan mereka, di waktu seluruh manusia sibuk dengan kerja yang perlu disiapkan. Hikmah yang Allah sediakan itu umpama seperti butiran mutiara di jalanan.Tatkala manusia bertuah yang melalui jalan itu dia lah yang akan menjumpai mutiara itu. Lantas tarbiyah itu juga seumpama mutiara di jalanan itu, siapa lagi yang akan menjumpai mutiara tidak lain tidak bukan  manusia yang pergi menuju kearah tu. Sungguh rugi manusia yang tidak pergi mendapatkan mutiara itu hanya kerana dia tidak melalui jalan itu.

 Kita berhak memilih apa yang kita mahu di dunia ini dengan syarat kita tidak mengenepikan hak manusia yang lain.Manusia perlu membuat pilihan yang boleh memberi pulangan yang berganda padanya. Manusia juga disarankan untuk membuat pilihan yang baik dan bukannya pilihan yang buruk. Ini yang telah digariskan dalam Islam bahawa manusia yang telah memilih untuk menuju jalan keburukan maka dia akan menjadi orang yang rugi, begitu pula sebaliknya jika dia telah memilih untuk menuju jalan kebaikan maka dia akan menjadi orang yang beruntung.

  Pilihanku adalah untuk terus mencari makna kehidupan. Harapan agar pilihanku ini yang diredhai Allah swt. Langkah bermula mengembara cinta dengan kuasaNYA. Jaulah Ibnu Battuta (JIB) nama trip yang penuh tersirat makna memberikan harapan tinggi agar peserta-peserta jaulah menjadikan kembara itu suatu kembara yang melonjakkan iman.

 bersama adik-adik di Dana Tafilah, Jordan melihat matahari menghilangkan cahayanya. 

Setiap daripada kami akan diberikan 'task' masing-masing sepanjang 5 hari jaulah. 'Task' itu ialah setiap peserta dikehendaki menceritakan sejarah / kisah tempat bersejarah yang telah ditetapkan oleh setiap peserta.
Maka ada yang akan menceritakan kisah Zaid bin Haritha dan lain2 serta kisah Nabi Lut dan laut mati, ada juga yang akan menceritakan kisah makam 5 sahabat di Mu'tah. Sungguh menarik dan mengujakan. Mengikuti trip sebelum ini memberikan pengalaman yang berbeza dari trip JIB ini. Antara faktornya, terdapat games yang menarik di beberapa tempat yang telah disediakan oleh adik-adik selaku ajk pelaksana trip.

Sambung ayat-ayat quran yang mengisahkan tentang Kaum Nabi Lut.
^___^

Merentasi bumi Jordan ini untuk berpuluh kali sekalipun pasti akan memberikan aura percikan Bumi Anbiya' yang berbeza pada setiap kali jaulah. Maka dengan semangat itulah, diri ini tidak pernah jemu untuk mengembara mencuri aura itu sekali sekala untuk terus kembali bersemangat dalam nafas seorang penuntut ilmu Allah swt di Jordan. 

Dan yang menarik, jaulah JIB berjaya sampai di Dana, Tafilah iaitu sebuah kawasan pergunungan di selatan Jordan. Jarak perjalanan yang agak jauh dari Irbid lebih kurang 6 jam dan kawasan ini dianggap yang paling tinggi di bahagian selatan Jordan. 

Menuju puncak demi melihat ciptaan Allah yang hebat.

      'Sungguh telah berlalu sebelum kamu sunnah-sunnah (Allah), kerana itu berjalanlah kamu ke (segenap penjuru) bumi dan perhatikanlah bagaimana kesudahan orang yang mendustakan (rasul-rasul)' Al-Imran: 137

                        
                                Meredah sungai laluan air mata air gunung.
                        
 Kawasan perhutanan kecil yang terpencil di Dana menarik perhatian kami. Rasa macam bukan di Jordan pulak. ^__^

 Kelihatan salji di pergunungan Dana.


'Dan kepada penduduk Madyan, kami (utus) Syuaib, saudara mereka sendiri. Dia berkata, 'Wahai kaumku, Sembahlah Allah. Tidak ada tuhan(sembahan) bagimu selain Dia. Sesungguhnya telah datang kepadamu bukti yang nyata dari tuhanMu. Sempurnakanlah takaran dan timbangan, dan jangan kamu merugikan orang sedikit pun. Janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi setelah (diciptakan) dengan baik. Itulah yang lebih baik bagimu jika kamu orang yang beriman.' Al-a'raf:85




'Sungguh kamu telah melampiaskan nafsu syahwatmu kepada sesama lelaki bukan perempuan. Kamu benar-benar kaum yang melampaui batas.Dan jawapan kaumnya tidak lain hanya berkata:'Usirlah mereka (Lut dan pengikutnya) dari negerimu ini, mereka adalah orang yang mengganggap dirinya suci.' Kemudian kami selamatkan dia dan pengikutnya, kecuali istrinya. Dia (istrinya) termasuk orang -orang yang tertinggal. Dan kami hujani mereka dengan hujan (batu). Maka perhatikanlah bagaimana kesudahan orang yang berbuat dosa itu.'
Al-a'raf: 84

Menuju ke arah laut mati. 

Alhamdulillah perkhidmatan di Dana antaranya makanan yang mengenyangkan.

Rom Theater, Amman

 Subhanallah


Maha suci Engkau yang telah menjejakkan kakiku ke tanah para anbiya'Mu . 


Kenangan Kembara Jaulah Ibnu Battuta yang akan sentiasa menggamit memori.


Diriku yang seorang sahaja senior dalam trip JIB ini sangat gembira melihat jiwa adik-adik ini yang sangat lembut tatkala mata mereka tekun melihat kuasaMU ya Allah. Pastinya segala makhlukMu di muka bumi dijadikan oleh Mu hanya untuk hambaMU melihat akan kekuasaanMU dan lantas mengucapkan setinggi-tinggi pujian terhadapMU. 

'Dan barangsiapa diberi petunjuk oleh Allah, dialah yang mendapat petunjuk, dan barangsiapa yang Dia sesatkan, maka engkau tidak akan mendapatkan penolong-penolong bagi mereka selain Dia..' Al-isra' :97










Saturday, December 17, 2011

~kEmBaRa AnBiYa' kE SyRiA 2~

"hari ni sbnrnya ke mana tmpt kita nak pegi?Penaja xbagi kertas tentatif le..."aku tanya pada kak Izzati yang sibuk di ruang tamu. "hari ni kita pegi lagi tempat2 mcm makam tu. xpun nti akak ty sendiri ty kat ust tu" jawab akak tu dengan selamba.

Naik sahaja bas ustaz mula ambil microphone dan mulalah dia bercakap mengenai trip hari ni...Semuanya sudah jelas dan perjalanan hanya memakan masa beberapa jam sahaja. Destinasi pertama kami pada hari kedua adalah Masjid Khalid Al-walid. Di dalam masjid ini terdapat dua makam sahabat Rasulullah s.a.w yang hebat belaka iaitu makam Saidina Khalid Al-walid dan makam Saidina Abdullah ibnu Umar r.anhumma. (didoakan dua orang yang diredhai Allah kerana abdullan dan umar kedua-duanya merupakan sahabat Rasulullah s.a.w).
Khalid Al-walid merupakan pahlawan Islam yang sangat gah dan hebat di medan perang.

Masjid Khalid Al-walid.

Burung merpati ni buat tempat ni mcm ade feel skit.

makam Khalid al -walid

Beliau sentiasa memberikan kemenangan pada setiap peperangan disertainya. Beliau juga mengimpikan untuk mati syahid di medan perang namun Allah menetapkan beliau meninggal dunia di atas katil dengan kesan calar balar di badannya. Khalid Al-walid sangat berjasa pada Islam dan umat Islam. Keberanian dan kegagahan beliau seharusnya dicontohi oleh setiap umat manusia pada masa kini. Beliau juga digelar dengan gelaran Saifullah

                                                        perhatikan keunikan pada gambar di atas..

Terserlah keindahan masjid ini.

Syukur kaki ini pernah berpijak ke sini..


Makam Abdullah ibnu umar pula terletak di ruang solat kaum adam. Kami singgah di makamnya apabila selesai kaum adam menunaikan solat dan masuk melalui pintu di tepi. Keunikan masjid ini dapat dilihat apabila setiap lampu chandelier yang tergantung indah dihiasi dengan pedang2 yang ntah betul atau tidak.Kami juga sempat menunaikan solat di sini dan berbual-bual bersama wanita2 arab di situ. Selesai perjalanan kami disini. Mengambil semangat pejuang2 Islam. Semoga Allah mengurniakan semangat yang kental dan kekuatan dalam diri kita semua.

Kami meneruskan perjalanan kami ke kawasan selepas Homs. Kami singgah di tempat yang sangat nostalgik iaitu Kawasan Kincir Air tertua di dunia. Kincir air ini masih lagi berfungsi sehingga ke hari ini. Kincir air ini sentiasa bergerak dengan menggunakan kelajuan arus air yang mengalir di bawahnya. Sangat menakjubkan.

Gambar bersama rombongan di hadapan kota Halab 

  pintu gerbang masuk ke Kota.


Masjid Zainab [didalamnya terdapat makan Zainab]

Terasa janggal tatkala masuk ke masjid ini masyarakat memandang kami dengan hairannya. Kami pelancong sudah semestinya mereka hairan. Ketika itu keadaan agak sesak dan ramai jemaah muslimat yang mengurumuni makan Zainab. Setelah bertanya dengan ustaz kami , rupa-rupanya mereka sedang melakukan aktiviti / upacara yang biasa mereka lakukan selepas solat mungkin. Apa yang saya perhatikan, mereka memuja makam Zainab dengan meratap makam Zainab dengan teruk sekali. Ada yang menghadiahkan bermacam-macam benda kemudian dilambungkan hadiah tersebut ke atas makam Zainab yang agak tinggi sedikit itu. Dikatakan sekiranya hadiah tersebut jatuh semula ke tanah , permintaan mereka tidak tecapai. Dan sememangnya saya ada melihat jemaah muslimat yang menangis teruk setelah hadiah mereka yang dilambungkan itu jatuh semula. Satu pengalaman !
Kami tidak boleh nak membuka mulut sangat kerana apa yang dipesan oleh ustaz kami supaya menjaga mulut takut-takut ada bahasa yang difahami oleh mereka. Semestinya bahasa Melayu lah yang banyak juga penggunaannya dalam bahasa Arab.

bergambar di hadapan masjid Zainab

Kami juga sempat berkunjung ke sebuah masjid yang dinamakan masjid Umaiyah [ kalau salah boleh tegur].
Dahulunya masjid ini adalah sebuah gereja. Namun setelah Islam mendapatkan masjid ini ia bertukar menjadi tempat ibadah orang Islam.

perkarangan masjid yang mesra masyarakat.. =)

Tempat mengambil wudhuk bagi lelaki.

Makam nabi Zakariya a.s

 Sebuah mikrab yang tinggi. Memang tinggi. Apa yang pernah diceritakan pada saya ialah di atas mikrab itulah Salehuddin Al-Ayub memberikan khutbah serta pidato pada seluruh tentera-tenteranya di bawah itu. Terasa kehangatan pengaruh kepimpinan Salehuddin hingga saat ini. Tanpa membuang masa saya mengambil gambar sudut kenangan itu .=)


 menara masjid Umawi

Salah satu menara masjid Umawi yang bersebelahan dengan Suq Halab ( tempat beli belah)

Sekitar Masjid Umawi, kami melalui satu kawasan bangunan yang di dalamnya terdapat makam Abu Darda'.Seorang pakcik yang menjaga makam Abu Darda' menceritakan kisah Abu Darda' dan perjalanan kisah hidupnya. 

Dalam laluan yang sama juga, kami berpeluang menziarahi makam Salehuddin Al-Ayubi, seorang manusia yang sangat berjasa kepada agama Islam.

Makam Salehuddin Al- Ayubi. 

Masih kekal hingga sekarang bentuk gereja . Pintu gerbang gereja itu kini ditenggelami dengan seni Islam. 

 Memori.....

 Baitulmal pertama . Kena kaji lagi tentang ini.

Kami juga sempat pergi ke tempat menarik yang lain seperti kincir air yang dibina zaman dahulu yang masih  wujud lagi hingga kini. 

Mungkin ada banyak lagi tulisan kenangan yang belum sempat saya nukilkan disini. Jujurnya saya minta maaf sekiranya ada fakta-fakta yang ditulis oleh saya mempunyai  kesalahan . Namun, apa yang saya boleh katakan di sini ialah terlalu banyak ibrah dan pengalaman serta pengajaran yang saya peroleh daripada pengembaraan menjejak khazanah Islam ini. Dan syukur itu bertambah lagi kerana kembara Syria ini selesai dengan selamatnya dan jayanya sebelum peristiwa rusuhan teruk berlaku di Syria. 

Pada yang berkemampuan dan berkeinginan, marilah kita berusaha untuk menerokai khazanah bumi Allah dan Islam itu sendirinya dengan kembara ke seluruh dunia. Sungguh Allah s.w.t telah menyediakan banyak pengajaran untuk kita melihatnya. Wallahua'lam.