Monday, June 2, 2014

Cinta Dunia



Dunia dalam ketenatan, manusia sedang sibuk mencari kekayaan, pangkat dan nama. Tuhan sedang memerhati dan menilai hambaNya yang dalam kesibukan itu. Dalam kesibukan mengejar dunia adakah hambaNya sempat untuk mencari masa duduk berteleku menadah tangan dan melihat alam seketika dengan mata yang Maha Pencipta.

Manusia sanggup berhempas pulas untuk mendapatkan sesuatu dan sanggup menangis jika tidak berjaya mendapatkannya. Cinta kita pada jam yang mahal, pada insan yang kita sayang, pada sebuah kereta yang mewah, pada sebuah rumah yang indah bak istana, semuanya ini hanyalah fatamorgana yang tersembunyi 1001 rahsia Tuhan yang kita tidak sedar bahawa Dia sedang menguji keimanan kita.

Kita cintakan dunia dan yang lagi menyedihkan kita masih melupakan Dia yang mencintai hambaNya lebih daripada semua itu. Dan KITA? masih lagi bongkak berjalan atas muka bumi bangga dengan segala kesenangan yang ada, menghirup udara dan menikmati kenikmatan wang dan kecantikan dunia.

Seorang pemimpin yang hebat dalam sejarah Islam Umar bin Abdul Aziz, suatu masa dahulu pernah menawan China hinggalah ke Spain, tatkala beliau tenat menghadapi saat kematiannya, isterinya disuruh oleh seorang lelaki dengan berkata " Wahai isteri Umar, tukarlah pakaian Umar yang kotor itu." Isteri Umar senyap tiada jawapan. Kali kedua lelaki itu bertanya dan tiada jawapan hinggalah pada kali ketiga. "Mengapa engkau tidak menukar pakaiannya yang kotor itu?". Subhanallah. Isterinya tenang menjawab "Dia tidak mempunyai pakaian melainkan yang satu itu sahaja".

Manusia sanggup hilang pertimbangan dan waras pabila harta miliknya diragut dan kekayaan miliknya hilang atau berkurangan. Sehinggakan ada yang tidak lagu mampu berfikir dengan waras akibat terlalu banyak masalah yang menimpa dan tidak mampu lagi untuk dihadapinya. Sedangkan, Allah itu sifatnya Maha Mendengar segala permohonan dan hajat. "Setiap yang susah itu akan ada kesenangannya"-Surah Al-insyirah. Apakan daya hati mereka kosong tidak diisi dengan baja keimanan, tiada semaian ruh iman dan islam. Akhirnya jalan kegelapan yang mereka temui.

Ya Allah, jadikan dunia ini hanyalah dihujung jari kami dan bukannya dalam hati kami. Semoga Allah pelihara kita semua daripada terjebak dengan penyakit Wahn. Allah yahfazuna. Ameen.