Tuesday, March 13, 2012

'Jangan' Dalam Agama Islam. Koreksi Diri!






JANGAN dalam Islam

- JANGAN tidur selepas solat Subuh, nanti rezeki Mahal kerana berpagi-pagi itu membuka pintu Berkat.
- JANGAN makan tanpa membaca BISMILLAH dan DOA makan. Nanti rezeki kita dikongsi syaitan.
-JANGAN tambah perhiasan di badan kerana Allah sudah jadikan Manusia Makhluk yang paling Sempurna
- JANGAN keluar rumah tanpa niat untuk membuat kebaikan.Takut-takut kita mati dalam perjalanan.
- JANGAN pakai sepatu atau selipar yang berlainan pasangan.Makruh dan mewarisi kepapaan.
- JANGAN biarkan Mata liar di perjalanan.. Nanti hati kita gelap diselaputi dosa.
- JANGAN menangguh taubat bila berbuat dosa kerana mati boleh datang bila-bila masa.
- JANGAN ego untuk meminta maaf pada ibu bapa dan sesama manusia kalau memang Kita bersalah.
- JANGAN mengumpat sesama rakan taulan. Nanti rosak persahabatan Kita hilang bahagia.
- JANGAN lupa bergantung kepada ALLAH dalam setiap kerja Kita. Nanti Kita sombong apabila berjaya.Kalau gagal kecewa pula.
- JANGAN bakhil untuk bersedekah. Sedekah itu memanjangkan umur dan memurahkan rezeki Kita.
- JANGAN banyak ketawa. Nanti mati jiwa.
- JANGAN biasakan berbohong, kerana ia adalah ciri-ciri munafik dan menghilangkan kasih orang kepada Kita.
- JANGAN suka menganiaya manusia atau haiwan.. Doa makhluk yang teraniaya cepat dimakbulkan ALLAH.
- JANGAN terlalu susah hati dengan urusan dunia. Akhirat itu lebih utama dan hidup di sana lebih lama dan kekal selamanya.
- JANGAN mempertikaikan kenapa ISLAM itu berkata JANGAN. Sebab semuanya untuk keselamatan Kita.

Tuesday, March 6, 2012

Pancaran Cahaya Senja

           
                                           Sunset di Dana, Tafilah- Jordan
 
      Suatu masa dahulu senja ini mengumpulkan dua perasaan yang aneh dan pelik. Aku gembira dan aku takut. Maha Suci Allah swt bila mata ini dibuka dan diberi penglihatan yang jelas tanpa bantuan kaca mata, aku kagum dan terkedu seketika tatkala senja itu berjaya menyedarkan aku bahawa mataku ini masih bisa melihat keagungan tuhan yang satu Allah. Aku gembira juga bilamana saat itu aku berjaya melihat betapa indahnya pemandangan itu, bagaikan hatiku dibuka seluas-luasnya, dibiarkan luas sebegitu untuk menerima cahaya dan pancaran senja yang memancar. Peluh yang mengalir dalam kesejukan ku abaikan, mata tidak mahu dibiarkan sesaat pun berkedip kerana takut akan terlepas melihatkan pemandangan itu. Meskipun masa itu sesaat dan setelah itu cahaya senja  itu berlalu pergi membiarkan malam pula menggantikan tempatnya.

    Di dunia, hidup kita mungkin tidak mampu untuk memberi sepenuh kesan yang ampuh dalam diri manusia yang pernah kita kenal. Sama ada memberi kesan terhadap perubahan diri kepada yang lebih baik mahupun perubahan daripada yang baik kepada yang bertambah baik. Sebahagian manusia pula mampu meninggalkan kesan kepada diri manusia dengan nasihat-nasihatnya, dengan perwatakannya, dengan penyampaian tazkirahnya atau dengan pengaruhnya yang baik itu sendiri.

    Seumpama senja apabila hidup kita ini digesa untuk memberikan suatu keindahan yang amat cantik kepada seluruh manusia dalam dunia yang amat sebentar ini. Bagaikan menunggu senja yang lama hanya untuk saat mentari melabukan tirainya, begitulah manusia menunggu akhirat yang dirasakan lama ketika di dunia. Akan tetapi, sesudah senja itu berlalu pergi bersama mentarinya, waktu itulah diri kita akan berkata bahawa betapa sekejapnya waktu itu berlalu pergi.


Monday, February 6, 2012

Odyssey 2012

Odyssey 2-4 Februari 2012
Aqobah, Jordan
'WHERE YOUNG SPIRIT SOAR!'

Ramai yang tertanya-tanya bilakah akan terjadinya perubahan yang besar secara menyeluruh dan global pada dunia hari ini. Namun begitu, kita lupa bahawa perubahan yang besar itu bermula dengan adanya sang perubah yang hebat dan bijak malah sentiasa hebat dalam mengimbangi kehidupannya. Sang perubah itu tidak mengira berapakah usianya, tidak mengira lelakikah dia, tidak mengira apakah jawatannya dan seterusnya. Tetapi, sang perubah itu ialah mereka yang berjiwa PEMUDA meskipun usianya tua.

Pada malam program berlangsung. Dr Zainurrashid dan PakCik Zaim berentap di pentas sebagai pemberi semangat kepada para pemuda yang hadir.


Setiap kancah kehidupan, mari kita kembali melihat realiti apa yang terjadi pada hari ini. Kita telah banyak melihat bagaimana umat islam dipijak-pijak dan diperkotak-katikkan.
Jelas sekali disitu terdapat jurang antara ISLAM dan UMATNYA. Islam itu hebat tetapi belum dapat menjamin adakah umat Islam hebat seperti ajarannya. Di usia yang muda, di mana semangat seorang pemuda itu membara dan membakar, pastinya akan ada pasang surut tahap kekuatan dalamannya atau pun istilah lain rohaninya akan menaik dan menurun. Sang Pemuda yang berjiwa muda harus peka dengan tahap keimanannya, harus ingat dimanakah tahap ketajaman akalnya, harus menoleh kemanakah arah tuju hidupnya, dan juga harus pandang kehadapan kemanakah destinasi yang ingin dituju.

Pemuda itu menjadi pilihan dalam menegakkan kembali syiar Islam kerana pada mereka terletak kekuatan, pada mereka juga terletaknya semangat pejuang yang begitu membara dan berapi-api, kerana pada mereka juga tersembunyi jiwa hamba yang hebat mencintai penciptanya. Pemuda itu harus memiliki ciri-ciri muslim yang unggul dimana pemuda tersebut harus memenuhi kriteria-kriteria itu bagi menjamin keteguhannya berada dalam jalan yang benar. Akidah yang sempurna, ibadah yang sahih, tubuh badan yang sihat, menjaga masa, luas pengetahuan, mantap akhlaknya, teratur urusannya, melawan nafsunya, berdikari dan bermanfaat pada orang lain.

Mengapa mesti pemuda? Pemuda harapan umat. Pemuda agen perubahan. Pemuda merupakan diantara 7 golongan yang mendapat naungan Allah swt. Jika kita melihat sejarah Islam begitu banyak kisah yang menceritakan kemenangan yang diperoleh oleh umat Islam pada waktu itu. Hampir kebanyakan mereka yang terlibat dalam situasi itu adalah mereka yang masih muda dan mempunyai tahap kekuatan iman yang tinggi. Mereka itulah pemuda yang beriman dan Islam itu merangkumi segenap kehidupannya. Mereka itu yang berusaha mencari hidayah itu dan tidak akan melepaskan petunjuk hidayah itu setelah mana dia mendapatkannya. Saidina Umar Al khattab ra yang memeluk Islam dikala usianya 25 tahun, manakala Saidina Abu bakar ra memeluk Islam ketika 37 tahun telah membuktikan betapa berjayanya mereka membawa Islam itu ke serata dunia dan ini hanyalah kerana di waktu muda mereka menggunakan segala kekuatan fizikal dan mental mereka untuk berkorban demi agama.

Jika kita ingin berubah, maka jangan ditangguh-tangguhkan perubahan itu. Ramai yang tertanya siapakah yang membawa Islam pada zaman pemuda ashabul kahfi itu saat mereka ditidurkan di dalam gua? Dan mengapa mereka yang ditidurkan itu disebutkan dalam al-quran berbanding gerangan yang membawa Islam pada zaman mereka itu? Ini tidak lain kerana mereka yang ditidurkan itu ialah golongan yang telah memulakan jalan dakwah itu. Disebabkan mereka dakwah itu berkembang. Maka disitu permulaan itu kepada suatu perubahan itu amat penting dan semestinya perubahan itu haruslah bermula dari dalam diri kita dan jangan ditangguhkan. Perubahan yang ingin dilakukan itu mestilah benar-benar tertanam dan tersemat dalam jiwa. Islam yang ingin ditanamkan dalam diri itu mestilah juga disebarkan pada manusia yang lain. Biarlah kita orang pertama yang mencipta sejarah untuk diri kita dan bukannya sekadar melihat sejarah itu berlaku dalam diri kita.

aktiviti dalam air sangat seronok, lari belon, buat masjid pasir, lari air
mereka semua gembira dan pastinya pengajaran daripada games itu lebih penting 
^___^

Pak Cik Zaim yang amat bersemangat, mempunyai suara yang cukup menggegarkan suasana, terima kasih buat pakcik dan sekeluarga atas luahan perkongsian yang penuh mutiara-mutiara berharga.


Hidup di Negara orang ini realitinya kita sering dileka-lekakan dan amat mudah dipengaruhi dengan hedonisme yang tidak terkawal. Tidak kurang juga kita juga kurang keazaman malah masih kabur matlamat hidup. Penyelesaian mudah namun memerlukan kesanggupan dan pengorbanan yang amat tinggi. Antaranya tingkatkan ilmu pengetahuan sama ada ilmu agama dan ilmu am, dan seterusnya persiapan jiwa dan mental. Persiapan jiwa ini amatlah penting dan dimana jua kita berada., jiwa yang subur dengan iman yang basah inilah yang akan memimpin kita menghadapi mehnah kehidupan.

Ciri perubahan islam tu adalah menyeluruh dan bukanlah menempel dan membuat pembaikan. Ketika Islam itu datang dalam suasana jahiliyyahnya manusia pada waktu itu, ajaran Islam merubah seluruhnya serta menghapuskan segala bentuk kezaliman yang wujud. Perubahan yang menyeluruh ini memerlukan jiwa-jiwa pemuda yang hebat imannya. Lakukanlah perubahan itu kerana Allah swt kerana kecemerlangan itu amat dituntut dalam Islam. Mereka yang berubah demi kebaikan itu mereka yang menuju kecemerlangan.

Sebagai pelajar, hak kita adalah untuk menuntut ilmu dan berjaya hingga ke menara gading dengan izinNYA disamping usaha-usaha yang dilakukan untuk mencapai kejayaan itu. Muslim yang memegang title pendakwah ini dilihat sebagai manusia yang cemerlang seluruh aspek hidupnya. Maka seorang pelajar yang hebat juga ialah mereka mampu menjadi pendakwah dan pelajar pada masa yang sama serta cemerlang dalam kedua-dua profesion tersebut.

Melihatkan pemuda-pemuda di Malaysia yang hanyut dibuai keseronokan dunia dan kemewahan yang ada, mereka itu memerlukan pemuda-pemuda seperti mereka juga untuk menyelematkan mereka dari terus tenggelam. Persiapakan diri untuk memberi jika selama ini kita sudah lama menerima.

Tanam di hati benih iman sejati.
Berpadu dengan jiwa Rabbani,
Tempa jasadmu jadi pahlawan sejati,
Untuk tegakkan kalimat Illahi.


VIDEO KENANGAN ODYSSEY 2012


Sunday, February 5, 2012

Jaulah Ibnu Battuta


  Sehingga kini diriku masih ingin belajar untuk menjadi seorang yang muda jiwanya dan muda semangatnya. Saat diri kita jatuh, seharusnya diri kita lebih matang untuk hadapi situasi perit itu. Namun dari manakah kita akan dapat  belajar segala kematangan itu? Sungguh tarbiyah Allah swt itu jua lah yang akan mematangkan kita. Matang itu akan membantu kita membuat keputusan dengan rasional dan teliti. Tarbiyah atau pun didikan itu tidak datang bergolek begitu sahaja, tetapi kita lah yang pergi mencarinya di waktu semua manusia leka dengan urusan mereka, di waktu seluruh manusia sibuk dengan kerja yang perlu disiapkan. Hikmah yang Allah sediakan itu umpama seperti butiran mutiara di jalanan.Tatkala manusia bertuah yang melalui jalan itu dia lah yang akan menjumpai mutiara itu. Lantas tarbiyah itu juga seumpama mutiara di jalanan itu, siapa lagi yang akan menjumpai mutiara tidak lain tidak bukan  manusia yang pergi menuju kearah tu. Sungguh rugi manusia yang tidak pergi mendapatkan mutiara itu hanya kerana dia tidak melalui jalan itu.

 Kita berhak memilih apa yang kita mahu di dunia ini dengan syarat kita tidak mengenepikan hak manusia yang lain.Manusia perlu membuat pilihan yang boleh memberi pulangan yang berganda padanya. Manusia juga disarankan untuk membuat pilihan yang baik dan bukannya pilihan yang buruk. Ini yang telah digariskan dalam Islam bahawa manusia yang telah memilih untuk menuju jalan keburukan maka dia akan menjadi orang yang rugi, begitu pula sebaliknya jika dia telah memilih untuk menuju jalan kebaikan maka dia akan menjadi orang yang beruntung.

  Pilihanku adalah untuk terus mencari makna kehidupan. Harapan agar pilihanku ini yang diredhai Allah swt. Langkah bermula mengembara cinta dengan kuasaNYA. Jaulah Ibnu Battuta (JIB) nama trip yang penuh tersirat makna memberikan harapan tinggi agar peserta-peserta jaulah menjadikan kembara itu suatu kembara yang melonjakkan iman.

 bersama adik-adik di Dana Tafilah, Jordan melihat matahari menghilangkan cahayanya. 

Setiap daripada kami akan diberikan 'task' masing-masing sepanjang 5 hari jaulah. 'Task' itu ialah setiap peserta dikehendaki menceritakan sejarah / kisah tempat bersejarah yang telah ditetapkan oleh setiap peserta.
Maka ada yang akan menceritakan kisah Zaid bin Haritha dan lain2 serta kisah Nabi Lut dan laut mati, ada juga yang akan menceritakan kisah makam 5 sahabat di Mu'tah. Sungguh menarik dan mengujakan. Mengikuti trip sebelum ini memberikan pengalaman yang berbeza dari trip JIB ini. Antara faktornya, terdapat games yang menarik di beberapa tempat yang telah disediakan oleh adik-adik selaku ajk pelaksana trip.

Sambung ayat-ayat quran yang mengisahkan tentang Kaum Nabi Lut.
^___^

Merentasi bumi Jordan ini untuk berpuluh kali sekalipun pasti akan memberikan aura percikan Bumi Anbiya' yang berbeza pada setiap kali jaulah. Maka dengan semangat itulah, diri ini tidak pernah jemu untuk mengembara mencuri aura itu sekali sekala untuk terus kembali bersemangat dalam nafas seorang penuntut ilmu Allah swt di Jordan. 

Dan yang menarik, jaulah JIB berjaya sampai di Dana, Tafilah iaitu sebuah kawasan pergunungan di selatan Jordan. Jarak perjalanan yang agak jauh dari Irbid lebih kurang 6 jam dan kawasan ini dianggap yang paling tinggi di bahagian selatan Jordan. 

Menuju puncak demi melihat ciptaan Allah yang hebat.

      'Sungguh telah berlalu sebelum kamu sunnah-sunnah (Allah), kerana itu berjalanlah kamu ke (segenap penjuru) bumi dan perhatikanlah bagaimana kesudahan orang yang mendustakan (rasul-rasul)' Al-Imran: 137

                        
                                Meredah sungai laluan air mata air gunung.
                        
 Kawasan perhutanan kecil yang terpencil di Dana menarik perhatian kami. Rasa macam bukan di Jordan pulak. ^__^

 Kelihatan salji di pergunungan Dana.


'Dan kepada penduduk Madyan, kami (utus) Syuaib, saudara mereka sendiri. Dia berkata, 'Wahai kaumku, Sembahlah Allah. Tidak ada tuhan(sembahan) bagimu selain Dia. Sesungguhnya telah datang kepadamu bukti yang nyata dari tuhanMu. Sempurnakanlah takaran dan timbangan, dan jangan kamu merugikan orang sedikit pun. Janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi setelah (diciptakan) dengan baik. Itulah yang lebih baik bagimu jika kamu orang yang beriman.' Al-a'raf:85




'Sungguh kamu telah melampiaskan nafsu syahwatmu kepada sesama lelaki bukan perempuan. Kamu benar-benar kaum yang melampaui batas.Dan jawapan kaumnya tidak lain hanya berkata:'Usirlah mereka (Lut dan pengikutnya) dari negerimu ini, mereka adalah orang yang mengganggap dirinya suci.' Kemudian kami selamatkan dia dan pengikutnya, kecuali istrinya. Dia (istrinya) termasuk orang -orang yang tertinggal. Dan kami hujani mereka dengan hujan (batu). Maka perhatikanlah bagaimana kesudahan orang yang berbuat dosa itu.'
Al-a'raf: 84

Menuju ke arah laut mati. 

Alhamdulillah perkhidmatan di Dana antaranya makanan yang mengenyangkan.

Rom Theater, Amman

 Subhanallah


Maha suci Engkau yang telah menjejakkan kakiku ke tanah para anbiya'Mu . 


Kenangan Kembara Jaulah Ibnu Battuta yang akan sentiasa menggamit memori.


Diriku yang seorang sahaja senior dalam trip JIB ini sangat gembira melihat jiwa adik-adik ini yang sangat lembut tatkala mata mereka tekun melihat kuasaMU ya Allah. Pastinya segala makhlukMu di muka bumi dijadikan oleh Mu hanya untuk hambaMU melihat akan kekuasaanMU dan lantas mengucapkan setinggi-tinggi pujian terhadapMU. 

'Dan barangsiapa diberi petunjuk oleh Allah, dialah yang mendapat petunjuk, dan barangsiapa yang Dia sesatkan, maka engkau tidak akan mendapatkan penolong-penolong bagi mereka selain Dia..' Al-isra' :97










NABI LUT AS DAN KAUMYA

Wahai saudari, sudikah saudari menerima kami sebagai tetamu keluargamu?” ujar salah seorang daripada tiga malaikat yang menjelma sebagai pemuda tampan bertubuh sasa itu.
Si gadis yang sedari tadi begitu leka mencedok air dari perigi itu terkejut. Hampir sahaja timba yang sedang dipegangnya lucut ke dalam perigi. Wajahnya menjadi pucat. Lidahnya serta-merta kelu. Dia tidak dapat berkata apa-apa. Hatinya tiba-tiba diserang bimbang. Kebimbangan yang bukan disebabkan oleh kehadiran pemuda-pemuda kacak di hadapannya itu. Tetapi kerana dia telah dapat mengagak apa yang bakal berlaku sekiranya mereka diterima bertamu di rumahnya.
Anak gadis Nabi Luth itu cukup arif dengan amalan buruk warga Sadum yang pantang melihat lelaki muda, berwajah tampan dan bertubuh sasa. Pasti anak muda itu menjadi mangsa untuk memuaskan nafsu serakah mereka. Pada mereka, wanita tidak ada daya tarikan langsung. Lelaki hanya untuk lelaki, manakala wanita untuk wanita.

“Apa yang harus aku jawab kepada mereka,” bisik si gadis itu sendiri. Dia menjadi begitu serba salah.
“Apakah kedatangan kami ini menganggu saudari?” tanya pemuda itu kembali. “

” Oh tidak. Tapi… bolehkah tuan-tuan tunggu di sini sebentar. Biar saya maklumkan dahulu kepada bapa saya,” balas si gadis terputus-putus. Dia mencapai bekas air yang hampir penuh dan pulang dengan tergesa-gesa.

Demi mendengar kedatangan tiga tetamu muda remaja itu, Nabi Luth mula gusar dan berasa tidak tenteram. “Ini adalah hari yang amat sulit bagiku,” kata Nabi Luth.
Baginda amat mengerti apakah akibatnya seandai kedatangan para tetamunya itu diketahui oleh kaumnya. Namun tabiatnya yang suka menerima tetamu, tetap kuat mendesak meskipun risiko yang terpaksa diterimanya sangat tinggi. Hari sudah menjelang malam, baginda sendiri pergi menjemput para tetamunya itu.

Kepada isteri dan puteri-puterinya dipesan agar perkara itu dirahsiakan, jangan sampai tersebar kepada orang ramai. Kelak mengundang bahaya yang besar. Malangnya, si isteri tidak mampu berlaku setia. Dihebahnya berita perihal tetamu-tetamu mereka kepada kaumnya.
Sebaik sahaja mendengar berita yang menarik dan sangat ditunggu-tunggu itu, bergegas dan berpusu-pusulah mereka ke rumah Nabi Luth.

“Wahai Luth! Bukakan pintu ini dan serahkan anak-anak muda itu kepada kami. Kami sangat memerlukan mereka. Buka pintu ini cepat!” Salah seorang daripada mereka terjerit-jerit sambil menendang daun pintu rumah Nabi Luth.

“Wahai Luth! Engkau larang kami dari mendekati anak muda, sebaliknya engkau sendiri menyimpan tiga orang pemuda,” jerit satu suara yang lain.

“Ya Allah, selamatkanlah kami,” doa Nabi Luth sambil memandang ke arah para tetamunya.
“Wahai kaumku! Aku ada anak gadis. Aku bersedia mengahwinkan kamu dengan mereka sekiranya kamu mahu. Tinggalkanlah perlakuan buruk kamu selama ini. Dan janganlah kamu ganggu para tetamu kami ini.”Nabi Luth tidak henti-henti menasihati kaumnya.

“Ah! Usah hendak bersyarah di sini. Kami ke mari bukan untuk mendengar leteranmu. Kami ke sini untuk bersuka ria.” Suara-suara mereka kian tegas dan semakin tidak terkawal.
“Hai Luth! Engkau sememangnya tahu kami tidak perlu kepada wanita. Tapi kami yakin engkau tahu apa yang kami perlukan sekarang.”
“Baik engkau serahkan mereka kepada kami segera. Kalau tidak kami akan pecah-pecahkan pintu ini.”
Nabi Luth tahu kemungkaran apa yang akan terjadi sekiranya tetamunya jatuh ke tangan mereka yang telah tenggelam dalam perlakuan yang melampaui batas itu. Baginda juga sedar, kalau dipertahankan sekalipun, mereka pasti cuba untuk menceroboh masuk. Kini, apa yang mampu dilakukan oleh Nabi Luth hanyalah berdoa kepada Allah SWT. Hanya kepada Allah sahajalah tumpuan terakhir, tempat baginda berserah diri dan bergantung harap.

Namun baginda dapati suatu keanehan; tiada terbayang walau sedikit pun tanda-tanda kebimbangan pada wajah para pemuda itu. Mereka kelihatan begitu tenang dan bersahaja.
“Wahai Luth! Usah khuatir dengan ugutan mereka,” kata salah seorang daripada pemuda itu. Nabi Luth seakan-akan tidak percaya dengan apa yang diucapkan oleh salah seorang tetamunya. Baginda memandang tepat ke arah pemuda yang bersuara itu. Bunyi ketukan pada pintu bertambah kuat dan keras.

“Wahai Nabi Allah! Sebenarnya kami adalah malaikat utusan Tuhanmu. Kami jamin mereka tidak akan dapat mengganggu kamu. Bawalah keluarga dan pengikutmu keluar dari sini di akhir malam ini kecuali isterimu kerana dia termasuk golongan yang derhaka.”

Kini, barulah Nabi Luth sedar bahawa pembalasan dari Allah ke atas sikap keterlaluan kaumnya telah hampir tiba..Tepat ketika seperti yang ditentukan oleh Allah, penglihatan kaum yang derhaka itu ditarik, dan serta-merta segalanya makin kelam, hitam. Setiap mata telah menjadi buta. Akibatnya, keadaan menjadi hingar-bingar dan bercelaru. Masing-masing jadi buntu dan hilang haluan, lantas bertembung antara satu sama lain.

Menjelang Subuh, tatkala Nabi Luth, beberapa keluarga dan pengikutnya sudah berada agak jauh dari sempadan kota Sadum, maka turunlah azab Allah SWT. Allah memerintahkan malaikat memotong kedua-dua belah sempadan bumi warga Sadum itu dengan kedua-dua sayapnya. Kemudian bumi itu dijulang tinggi ke langit dan diterbalikkan bahagian yang atas ke bawah, yang bawah ke atas, lalu dihempas sekuat-kuatnya ke dasar bumi. Hancur berkecailah kota Sadum dan turut terkuburlah sama para pengamal homoseks di perut buminya.

Kemudian kawasan itu dihujani pula oleh batu-batu daripada tanah yang terbakar dengan bertubi-tubi. Dan di dataran itu jugalah akhirnya terbentuknya sebuah lautan. Lautan yang digelar sebagai `Laut Mati`.

Ia adalah lambang kebesaran kerajaan Tuhan, juga sebagai tanda keadilan-Nya di dunia lagi agar manusia sentiasa mengagungkan dan membesarkan syariat-Nya.