PEPERANGAN MU’TAH

PEPERANGAN MU’TAH
Peperangan Mu’tah ini merupakan peperangan terbesar, padanya berlaku pertempuran yang sengit dan berat, peperangan yang berdarah, yang pernah diharungi oleh tentera Islam khusus semasa hayat Rasulullah (s.a.w). lanya merupakan sebagai muqadimah dan persiapan kepada pembukaan-pembukaan Islam ke atas bumi-bumi Nasara, peristiwa berlaku di bulan Jamadilawal di tahun kelapan (8) Hijrah, bersamaan bulan Ogos atau September tahun 629 Masihi.
Mu’tah sebuah kampung terletak di bahagian bawah daerah Balqa’ di negeri al-Syam di antara Balqa’ dait Baitui Muqaddis, dua marhalah.

FAKTOR KEJADIAN:
Kes terjadinya peperangan ini ialah di mana Rasulullah menghantar utusannya al-Harith bin Umar al-Uzdi dengan sebuah risalah kepada pembesar di daerah Basra, tetapi Syurahbil bin Umar al-Ghassani, Gabenor Bandar Balqa’ negeri al-Syam bagi pihak Qaisar Rom telah menangkap al-Harith dan memberkasnya kemudian diserahkannya kepada Qaisar dan Qaisar pula bertindak memancung lehernya.
Pembunuhan mana-mana utusan dan perwakilan merupakan di antara sebesar-besar jenayah, tindakannya menyamai dengan pengisytiharan perang, malah lebih berat lagi dari itu. Tindakan itu suatu perkara yang amat berat bagi Rasulullah (s.a.w), sebaik sahaja berita mengenainya sampai ke pengetahuan Rasulullah, Baginda terus mengerakkan satu kontijen tentera dengan kekuatan seramai tiga ribu (3,000) orang askar, ianya adalah tentera Islam yang terbanyak, yang belum pernah dikerahkan oleh Rasulullah selain daripada peperangan al-Ahzab.
PEMIMPIN-PEMIMPIN TENTERA DAN PESANAN RASULULLAH (S.A.W) KEPADA MEREKA
Pimpinan kontinjen tentera Islam ini diserahkan kepada Zaid bin Harithah, seterusnya Rasulullah berpesan:
Sekiranya Zaid gugur maka Jaafar mengambil tempatnya dan seandainya Jaafar turut gugur syahid, maka Abdullah bin Rawahah pula tampil mengambil teraju kepimpinan tentera Islam, di sini Rasulullah menyerahkan mereka sebuah bendera putih yang diberinya ke tangan Zaid bin al-Harithah.
Rasulullah (s.a.w) memesan mereka supaya mereka melalui kawasan di mana al-Harith bin Amir dibunuh, dan supaya mengajak orang-orang di sana kepada Islam, sekiranya mereka berdegil maka hendaklah setelah memohon pertolongan dari Allah memerangi mereka dengan ungkapan sabdanya yang bermaksud:
Ayuh! dengan Nama Allah seranglah mereka yang kufur dengan Allah, janganlah kamu khianati atau menyamun, jangan bunuh anak-anak kecil atau perempuan, atau tua lara, atau orang bertapa di biara, jangan kamu tebang kurma-kurma atau pokok-pokok dan jangan roboh bangunan-bangunan.
UCAPAN SELAMAT JALAN KEPADA TENTERA ISLAM DAN TANGISAN ABDULLAH BIN RAWAHAH
Di saat tentera Islam bersedia untuk bergerak keluar meninggalkan Madinah seluruh kaum muslimin di Madinah keluar untuk mengucap selamat jalan kepada tenteranya itu, ucap selamat jalan khusus kepada pemirnpin-pemimpin tentera Islam, ucapan selamat sejahtera kepada mereka sekalian, di saat yang penuh hiba dan gembira itu salah seorang pemimpin tentera Abdullah bin Rawahah, menangis, bila ditanya kenapa beliau menangis, jawab beliau: Demi sesungguhnya ku menangis ini bukan kerana cintakan dunia, atau pilu meninggalkan kamu, tetapi daku telah mendengar Rasulullah membaca sepotong ayat Allah yang memperingatkan daku mengenai api neraka:
“Tidak ada seorang pun di antara kamu, melainkan mendatangi neraka, demikian itu suatu ketetapan yang diputuskan oleh Tuhanmu”
(Maryam : 71)
Daku tidak tahu bagaimana daku boleh melepasinya selepas mendatanginya? Maka jawab kalian kaum muslimin:
Semoga Allah iringi kamu dengan kesejahteraan, mempertahankan kamu, dan dikembalikan kamu ke dalam kalangan kami sebagai golongan solihin dan memperolehi rampasan-rampasan, justeru itu Abdullah bin Rawahah menjawab mereka dengan madah syairnya:
Dari Rahman ku pohon keampunan
Pukulan pedangku, ketangkasan terbukti
Tanganku menusuk tikaman
Dengan sekali, menembus perut dan hati
Kubu di tanya: “Siapa pahlawan ini?”
Dialah pejuang berani
Mendapat bimbingan Ilahi
Kemudian orang ramai keluar bersama-sama Rasulullah untuk memberi ucap selamat jalan kepada mereka, pahlawan-pahlawan Islam yang akan mara ke medan perang yang amat jauh. Baginda berjalan hingga sampai Thaniyat al-Wada’ di situ Baginda berhenti dan melambai tangan mengucap selamat jalan.

PERGERAKAN TENTERA ISLAM DAN TENTANGAN YANG MENGEJUT LAGI MENGGERUNKAN
Tentera Islam terus mara ke utara hingga sampai ke kawasan bernama Ma’an dalam jajahan negeri Syam ianya terletak di utara bumi Hijaz, di situ mereka telah mendapati berita, bahawa Hercules sudah pun bergerak dengan tenteranya ke tempat bernama Ma’ab di daerah al-Balqa’ dengan seratus ribu tentera Rom, kemudian turut bergabung dengannya qabilah-qabilah Arab: Lakham, Juzam, Balqin, Bahra’a dan Bila dengan kekuatan mereka seramai seratus ribu orang.

MAJLIS PERMESYUARATAN DI MAAN
Sebenarnya tentera Islam sedikit pun tidak menyangka bahawa mereka akan berhadapan dengan bilangan tentera yang sebegini ramai, yang mengejutkan itu, di suatu bumi yang jauh dari al-Madinah, tempat mereka datang, apakah wajar tentera yang kecil bilangannya bertindak menyerang tentera yang besar bak lautan yang tidak bertepi itu, yang seramai dua ratus ribu itu? Tentera Islam menjadi serba salah, dua malam berturut-turut mereka memikirkan tindakan selanjutnya, selepas itu kata mereka: kita tulis surat kepada Rasulullah, menceritakan kepada Baginda bilangan musuh kita, lepas itu mungkin Rasulullah menghantar bantuan atau menyuruh kita dengan sesuatu arahan yang akan kita patuhinya.
Tetapi Abdullah bin Rawahah membangkang pendapat tersebut dengan katanya: Wahai kalian, demi Allah sesungguhnya yang kamu tidak suka, itulah sebenarnya yang kamu semua keluar kerananya, mati syahid, kita tidak memerangi manusia dengan bilangan kita yang banyak atau dengan kekuatan dan persenjataan, kita tidak memerangi mereka kecuali dengan agama ini yang dikurniakan oleh Allah kepada kita sehingga kita menjadi mulia, ayuh marilah kamu ke hadapan ambillah salah satu kebaikan:
Kemenangan mengatasi seteru atau mati syahid. Akhirnya sekalian mereka pun bersetuju dan berpuas hati dengan pendapat Abdullah bin Rawahah.

TENTERA ISLAM BERGERAK KE ARAH MUSUH
Setelah dua malam berturut-turut tentera Islam bermesyuarat, di mana berakhir dengan persetujuan menerima pendapat Abdullah bin Rawahah, justeru itu seluruh tentera Islam pun bergerak ke arah musuh. Di salah sebuah kampung Balqa’ mereka bertembung dengan sekumpulan tentera Hercules di tempat bernama Masyarif. Tentera musuh cuba menghampiri mereka, tetapi tentera Islam membelok ke suatu kawasan dikenali sebagai Mu’tah di sana mereka mengambil tempat dan menyusun strategi, unit kanan diletak dibawah pimpinan Qutbah bin Qutadah al-Uzri manakala unit kiri di bawah pimpinan Ubadah bin Malik al-Ansari.

PERMULAAN PEPERANGAN DAN PIMPINAN SILIH BERGANTI
Di bumi Mu’tah kedua-dua kumpulan bertemu, peperangan sengit pun bermula, tiga ribu (3,000) tentera meinghadapi serangan dua ratus ribu (200,000) tentera. Satu peperangan luar biasa yang pernah dunia menyaksikannya dengan kehairanan dan keajaiban, tetapi inilah yang dikatakan: Apabila iman menyemarak dijiwa, maka beriakulah perkara-perkara luar biasa”.
Panji peperangan pun dipegang oleh Zaid bin Harithah orang kesayangan Rasulullah (s.a.w), beliau merempuh serangan musuh penuh keberanian tiada tara, terus beliau mengasak hinggalah beliau terkena tikaman musuh, membawa beliau terkorban sebagai seorang syahid.
Dengan itu panji Islam terus diambil oleh Jaafar bin Abi Talib, beliau pun tidak kurang dari Zaid bin Harithah, hingga apabila beliau terasa berat berperang dengan kuda, beliau melompat dari kudanya yang berwarna perang itu lantas disembelihnya, kini beliau bertempur di bawah, hingga apabila tangan kanannya terputus maka panji Islam itu dipegang dengan tangan kirinya, dan setelah tangan kirinya terpotong pula, lalu diapit bendera itu dengan dua belah lengannya. Dengan keadaan begini beliau terus menjulang bendera Islam hinggalah beliau gugur syahid, ada pula pendapat mengatakan yang beliau telah ditetak oleh seorang Roman hingga terputus dua, dan kemudian Allah menggantikannya dengan dua sayap yang memboleh beliau berterbangan di dalam syurga Allah, ke mana sahaja yang beliau mahu, kerana itu beliau dikenali sebagai Jadfar al-Tayyar dan Jaafar zul al-Janahain
Al-Bukhari meriwayatkan dari Nafi’ bahawa Ibnu Umar telah menceritakan kepadanya semasa beliau mendapati Jaafar telah syahid, dibadannya terdapat kesan-kesan pukulan dan tikaman sebanyak lima puluh liang, tidak ada satu pun di sebelah belakangnya.
Di dalam satu riwayat yang lain kata Ibnu Umar: Ku bersama mereka di dalam peperangan berkenaan, kami mencari Jaafar, kami dapati beliau di antara yang terbunuh syahid, kami melihat pada jasadnya lebih sembilan puluh liang tikaman dan tetakan yang telah disebut dalam riwayat al-Umri dari Nafi’. Dan kami telah mendapati kesemuanya itu dari sebelah hadapan jasadnya.
Di ketika Jaafar gugur selepas pertarungan yang sengit itu maka bendera Islam dicapai oleh Abdullah bin Rawahah, dengan itu beliau pun terus memecut kudanya mara ke hadapan, beliau teragak-agak untuk turun dari kudanya, hinggalah keadaan memaksa beliau, di sini beliau bermadah:
Duhai jiwa ku! ku bersumpah
kau pasti menghadapi kerelaan cabaran
kiranya sudah orang mencapainya
kenapa kau berlengah
membenci syurga Allah ?.
Beliau melompat turun, kemudian anak saudaranya menghadiahkan seketui daging dengan berkata: Makanlah buat menguat badanmu, hari ini kau menghadapi keadaan yang sama yang pernah kau alaminya. Beliau mengambilnya dan mengigit secebis kemudian beliau membuangnya. Lantas beliau menghunus pedangnya sambil mara ke hadapan dan terus bertarung hingga gugur sebagai syahid.

BENDERA BERPINDAH KE TANGAN PAHLAWAN PEDANG ALLAH
Serta merta seorang askar dari Banu ‘Ijlan dikenali sebagai Thabit bin Arqam memegang bendera Islam sambil melaung: Wahai kalian tentera Islam, pilihiah seorang di antara kamu untuk tugas ini. Jawab kalian: Kamulah orangnya, kata Thabit: Aku tak bolehlah, akhirnya orang ramai bersetuju dengan Khalid bin al-Walid. Apabila beliau memegang bendera terus beliau mengharungi kancah pertempuran yang sedang sengit. Al-Bukhari meriwayatkan dari Khalid al-Walid katanya: Di hari Mu’tah itu sembilan bilah pedang telah terpatah di tanganku, yang kekal dan dapat bertahan hingga ke akhir peperangan hanya pedang Yamaniah. Dalam lafaz yang lain katanya: Di hari Mu’tah sahaja sembilan bilah pedang terpatah di dalam tangan ku, yang tahan hanya pedang Yamaniah ku.
Di hari peristiwa Mu’tah itu Rasulullah telah menceritakan kepada sahabat melalui wahyu yang terturun kepada Baginda, sebelum beritanya dibawa orang dari medan perang. Sabdanya yang bermaksud: Bendera dibawa oleh Zaid, beliau jatuh kemudian ianya diambil oleh Jaafar dan beliau jatuh lantas diambil oleh Ibni Rawahah, Ibnu Rawahah pun gugur, di masa itu Rasulullah berlenang air mata hinggalah bendera Islam dicapai oleh Pedang Allah maka dengannya pembukaan pun selamat terlaksana.

0 comments:

Post a Comment


up