Sewaktu kali pertama beraya di Jordan
bersama Kak Ira ^.^ -Selingan-
Bismillah,
Tahun 3, Islamic Banking & Finance. Ku menjejakkan kaki lagi sekali ke Malaysia dengan satu tujuan yang sedikit berbeza, dan lebih matang. Pulang ke Malaysia untuk suatu misi yang besar. Maka dengan itu, jadual harianku disusun dengan begitu teliti agar kesemua perancangan dapat berjalan dengan lancar. Alhamdulillah, meskipun cuti hanyalah beberapa minggu tidak sampai sebulan, syukur kepada Allah kerana dengan masa yang singkat itu kurasakan banyak aktiviti yang telah terlaksana berbanding jika cuti yang sebelum ini.
Alhamdulilah, diri ini yang semakin matang dan memahami hakikat kehidupan terasa lebih berat dan berasa lebih bertanggungjawab dalam memikul tugas sebagai hamba Allah s.w.t. Hari-hariku diisi dengan penuh mujahadah demi mencapai redho Allah. Bersyukur melihat ahli keluarga yang semakin sukakan pada kebaikan yang lebih tergambar 'izzah'nya pada Islam. Alhamdulillah. Impaknya, diriku harus terus laju memberikan qudwah yang lebih mantap pada ahli keluarga.
3 adik-adikku yang mempunyai karenah yang agak unik bagiku.
Pernah suatu ketika diriku diberi peringatan oleh seseorang yang mantap akhlaknya, beliau mengatakan bahawa pada zaman muda inilah waktu dimana kita wajib untuk menyumbang sepenuh tenaga untuk Islam, zaman dimana segala-galanya nampak mudah dan mampu dilakukan atas kapasiti tenaga pemuda itu yang cukup kuat dan penuh semangat serta azamnya yang tinggi. Zaman pemuda ini boleh disebutkan sebagai zaman keemasan kerana pada waktu ini pemuda itu boleh melakarkan sebanyak mana sejarah hidupnya yang paling hebat. Terbayang saat tulang kita sudah kita kuat dan satu badan mudah kepenatan dan penyakit banyak menyerang, sudah pasti tenaga yang ada sukar untuk disumbangkan dalam bentuk yang sebelum ini iaitu ketika zaman muda. Maka dengan itu, kita perlu sedar akan betapa besarnya peranan menjadi orang muda yang akan menggerakkan Islam dan mengajarkan agam kepada seluruh umat manusia.
Jadual cuti yang padat? Antara aktiviti yang berjaya dilaksanakan ialah mengikuti perkembangan adik-adik junior yang bakal meneruskan pengajian ke Jordan. Memberikan pendedahan dan penerangan yang jelas tentang kehidupan mahasiswa di bumi perantauan menjadi buah besar perbincangan kami. Selain membincangkan tentang hal ehwal pengajian dan sebagainya, diriku kagum dengan sebahagian adik-adik ini yang penuh semangat bertanyakan soal wasilah tarbiyah yang wujud di Jordan. Tahniah buat mereka yang sudah berjaya meletakkan diri mereka jauh kehadapan, memikirkan kemajuan sahsiah dan akhlak diri masing-masing.
Pelbagai program yang menyusul selepas itu, antaranya 'Road To Jordan' yang menjadi salah satu program khusus buat mahasiswa yang ingin melanjutkan pengajian atau yang ingin mengetahui serba-serbi mengenai pengajian di Jordan. Sambutan yang amat memberangsangkan. Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar.
Balik kampung. Antara aktiviti mingguan ahli keluargaku. ^_^. Membersihkan kawasan halaman kampung yang sudah tiada berpenghuni setelah datuk dan nenekku meninggal dunia.Setiap minggu kampung halamanku akan menjadi tempat persinggahan dan tempat beristirehat ahli keluarga sebelah ibu terutamanya. Meskipun datuk dan nenek sudah tiada, hakikatnya suasana kemesraan dan ketenangan serta kehijauan sawah padi yang menyejukkan mata sudah cukup untuk membuatkan hati kami sekeluarga gembira untuk balik ke kampung. Aktiviti memancing merupakan antara akvitvit kesukaannku. Tidak sah balik kampung jika tidak pergi memancing. ^_^
Kayu pancing ibuku agak bengkok, tanda ada ikan sudah terkena umpan. ^-^
Mencari lubuk ikan di tengah sawah padi. Ikan haruan pastinya gemuk-gemuk.
Memandikan jenazah. Tidak sangka akhirnya diriku berpeluang untuk turut sertai ibuku pergi menguruskan jenazah perempuan yang meninggal kerana sakit tua. Ini kerana sebelum ini bukan masa yang tidak mengizinkan tetapi diriku sendiri yang masih belum bersedia. Alhamdulillah cuti kali ini betul-betul membuat diriku tergerak untuk melakukan satu lagi kemajuan dalam diri dengan dibantu oleh ibuku. Aku bersama ibuku dan dua orang lagi kawan ibuku diberi keizinan Allah s.w.t untuk membantu sebuah keluarga yang kematian ibu mereka yang sudah tua. Aku diberi tugasan menggunting kain kafan bersama kawan ibuku, sementara ibuku bersama kawannya yang seorang lagi pergi memandikan jenazah. Agak kekok, namun digagahkan juga untuk berani kerana akhirnya diriku juga akan dipersiapkan sebegini sebelum bertemu tuhanku. Runtun jiwaku seketika tatkala teringatkan arwah nenekku yang mana diriku juga pernah memandikan jenazah beliau suatu ketika dahulu. Teruskan istighfar jangan berhenti. Itu pesan ibuku.

Harapan: Ingin menghabiskan kursus
Pengurusan Jenazah oleh ibuku Puan Peridah Hashim.
-gambar hiasan
Hampir dua minggu bercuti di Malaysia dipenuhi dengan aktiviti yang dikira padat bagiku. Manakan tidak, seharian sebagai anak perempuan yang sulong di rumah juga dipenuhi dengan aktiviti surirumah. Tidak dinafikan sebagai wanita yang bakal mendirikan rumah tangga, bermula sekarang segala kerja-kerja surirumah sudah semestinya menjadi aktiviti kebiasaan kita. Apatah lagi jika sibuk bekerja nanti, maka disitu kebijaksanaan wanita akan teruji, di antara ingin melunaskan tanggungjawab kerja pada masa yang sama ingin menguruskan hal rumah tangga. Insyaallah kita semua wanita yang bijak. ^_^