Sunday, February 5, 2012
NABI SYUAIB A.S
Serba sedikit sejarah ringkas tentang dakwah Nabi Syuib. Beliau telah diutuskan kepada kaum Madyan, segolongan bangsa Arab yang tinggal di daerah bernama Ma’an di pinggir negeri Syam (Palestin). Golongan ini menyembah Aikah, iaitu sebidang padang pasir yang ditumbuhi beberapa pohon dan tanam-tanaman. Ketika nabi syuib berdakwah kepada mereka, mereka langsung tidak menerimanya bahkan mengejek dan mempersendakan dakwah nabi. Antara amalan buruk mereka ialah menipu sukatan dan timbangan dalam jual beli. Ramai saja para pedagang kecil yang tertipu dan ditindas oleh mereka. Mereka turut mencabar nabi agar menurunkan azab kepada mereka seandainya dakwah nabi itu benar. Akhirnya dengan izin Allah, Allah menurunkan bala kepada mereka dengan hawa panas terik yang membakar kulit dan kering tekak dahaga kepanasan yang amat perit sekali. Ke mana sahaja mereka pergi untuk berlindung dari hawa panas langsung tidak mendatangkan faedah sekalipun. Dikatakan, mereka menuju ke hutan tempat penyembahan mereka namun itu pun tidak mendatangkan faedah. Kemudian Allah telah mewahyukan kepada nabi agar keluar bersama-sama orang mukmin dari desa tersebut agar azab Allah yang akan diturunkan tidak menimpa ke atas mereka. Akhirnya umat nabi Syuib yang ingkar tadi melihat awan tebal datang beriring, lantas menuju ke awan hitam yang tebal itu. Sangkaan mereka bahawa awan tersebut akan menghindarkan mereka dari hawa panas, namun ia meleset sama sekali. Lantas, kedengaranlah suara teriakan kuat dari langit, mereka menyangka itu guruh yang akan membawa kepada hujan, namun sebaliknya terjadi, mereka dibakar oleh cahaya api yang keluar dari awanan hitam hingga menjadi abu berterbangan. Begitulah azab Allah yang pedih bagi kaum yang ingkar, buat pengajaran umat mendatang. Kisah berkenaan Nabi Syuib dan kaumnya banyak diceritakan dalam surah Hud surah ke-11 ayat ke 84-95.
Monday, December 19, 2011
Hiburan Berlebihan Budaya Siapa?
1. Isu hiburan di dalam Islam sudah banyak dikupas oleh ramai ulamak. Dr Yusuf al-Qardhawi ada menulis buku khas tentang isu hiburan di dalam Islam. Beliau juga ada mengulas di dalam bukunya Malamih Mujtama; Muslim. Dr Abd Karim Zaidan menulis tentang hiburan di dalam jilid ke 4 bukunya Al-Mufassol fi Ahkam al-Mar’ah. Dr Abdullah Naseh Ulwan ada juga menghuraikan isu hiburan ini di dalam mukadimah lirik koleksi nasyid Abu al-Jud. Ini antara tulisan terbaik di dalam isu ini yang saya jumpa. Dan tentunya banyak lagi tulisan yang baik yang saya tak jumpa, tersebar luas di dalam dunia penulisan Islam. Saya tidaklah merujuk kembali kepada buku-buku itu untuk menulis entry ini, kerana isu ini tidaklah susah sangat untuk difahami.
2. Hiburan yang diharamkan adalah yang berlawanan dengan batas syarak seperti percampuran lelaki perempuan, disertai arak, tarian yang mengghairahkan, ayat-ayat yang mengandungi unsur lucah, membawa kepada kelalaian sehingga terabai perkara-perkara fardhu dan begitulah seterusnya. Isu muzik dan suara wanita; ini adalah perkara khilaf yang juga sudah banyak diperbincangkan ulamak. Begitu juga isu paparan gambar-gambar wanita jelita yang menutup aurat. Selagi mana ianya khilaf, maka terpulanglah kepada masing-masing untuk menilai dan mentarjih.
3. Jika hiburan itu dapat dikawal sehingga ianya benar-benar menepati syarak, ia masuk di dalam kategori perkara harus (mubah). Perkara harus tidaklah harus secara mutlak. Imam Muhammad Abu Zuhroh misalnya meletakkan bahawa perkara yang harus tidak boleh ditinggalkan secara mutlak dan juga tidak boleh dilakukan berterusan secara mutlak. Tidak harus seseorang untuk meninggalkan makan minum secara mutlak kerana ia akan membawa kepada kemusnahan jiwa. Tidak boleh juga berhiburan secara berterusan siang dan malam kerana ia akan membawa kepada terabai perkara-perkara fardhu.
4. Islam tidak menolak hiburan tetapi sebaliknya meletakkannya pada posisinya yang tobie, iaitu sebagaitahsiniat di dalam kehidupan. Dikawal dengan kawalan tertentu agar ia tidak memusnahkan perkara-perkaradhoruriat di dalam syariat.
5. Hiburan di negara kita sudah melebihi saiz dan dos yang dibenarkan oleh syariat. Suasana dalaman rumah yang dikuasai oleh tv dan siaran radio, budaya berhibur sehingga melebihi lewat malam, kandungan siaran tv dan isi kandung perbualan di radio, cerita-cerita dan gosip di dalam media cetak dan lain-lain lagi menjadi bukti kepada apa yang saya sebutkan ini. Apabila ia sudah melebihi tahap, maka natijah dari itu adalah pengabaian banyak kefardhuan, tanggungjawab, perlanggaran hak dan sifat-sifat negatif yang mendarah daging di dalam diri individu muslim.
6. Mengawal hiburan adalah tanggungjawab semua pihak; kerajaan, pembangkang, ngo, parti, pertubuhan Islam, jawatankuasa penduduk, jawatankuasa surau, penghulu, majikan, ibu bapa dan setiap individu. Islam mempunyai budayanya yang tersendiri, dan setiap orang Islam bertanggungjawab untuk mengekalkan budaya tersebut.
7. Apabila isu hiburan ini dipolitikkan, yang ruginya adalah orang Islam. Apabila kerajaan negeri Kedah membuat keputusan menutup pusat hiburan selama sebulan di dalam bulan Ramadhan, umat Islam sepatutnya bersatu untuk menyokongnya kerana ia adalah jalan yang akan meningkatkan pembudayaan Islam di dalam negeri. Sekarang dipaparkan pula kerajaan Melaka membenarkan15 pusat hiburan dibuka sehingga jam 3 pagi hari Jumaat-Ahad, maka sekali lagi umat Islam patut bersatu untuk menghalangnya.
8. Jika ada yang mengatakan bahawa itu hak bukan Islam, maka ia perlu dibenarkan kepada mereka; pandangan saya, perkara ini perlu dilihat melalui dua perspektif:
a. Islam adalah agama negara ini. Hak ini diberikan oleh perlembagaan dan juga dari segi sejarah negara ini sendiri. Budaya yang mesti dominan adalah budaya Islam. Hiburan akan dikawal berdasarkan budaya Islam tersebut. Dengan itu jadual tutup buka pusat hiburan, iklan, barang jualan dan sebagainya sepatutnya disusun ke arah mengekalkan budaya Islam tersebut dan bukan mengubahnya. Budaya yang asing dari budaya Islam tidak sepatutnya kelihatan secara nyata di dalam kehidupan zahir masyarakat.
b. Orang bukan Islam sendiri tidak semuanya suka hiburan yang berlebihan itu. Barat sendiri yang merupakan kiblat mereka sudah mula meletakkan disiplin tertentu kepada isu hiburan di negara mereka. Mereka sudah keletihan melayan orang mabuk yang tersilap masuk rumah, muntah-muntah di laluan pejalan kaki, pemandu teksi yang merungut kerana dipaksa untuk bekerja sehingga lewat malam demi pemabuk yang mahu pulang ke rumah, kes-kes kecurangan suami isteri, anak-anak luar nikah yang menuntut hak secara tiba-tiba, jenayah rogol yang tidak boleh dikawal, kadar kemurungan yang tinggi, pengambilan dadah yang sudah tidak boleh dikawal, anak-anak yang liar dan ketagihan arak yang membawa kepada penyakit yang pelbagai.
9. Apabila kita bercakap tentang larangan dan kawalan hiburan, selain sistem dan penguatkasaan undang-undang, kita juga bercakap tentang pembudayaan. Tetapi, sudah pasti bahawa pembudayaan bukan satu perkara yang mudah. Pembudayaan adalah projek jangka masa panjang yang hanya akan dilihat hasilnya dengan perubahan generasi demi generasi. Sikap kita hari ini akan menentukan apakah budaya yang akan muncul nanti dalam masyarakat.
10. Akhirnya saya menyeru kepada semua terutamanya pihak berwajib dan berpengaruh di dalam masyarakat dan negara agar mengambil langkah yang betul di dalam isu hiburan di negara kita ini.
Wallahu al-Musta’an
Sunday, December 18, 2011
5 Tips Memilih Teman Baik
"Seseorang berada di atas agama kawannya."
Demikian pesan Nabi kita.
Kenapa ye?
Kita sangat terkesan dengan cara hidup siapa yang menjadi pendamping kita.
Kita selalu cuba untuk memenuhi kepuasannya agar diri kita diterima sebagai kawannya.
Maka,
Carilah kawan baik yang cara hidupnya selari dengan petunjuk al-Quran dan al-Sunnah.
Carilah kawan baik yang kepuasan hidupnya diletakkan dengan memuaskan kehendak Allah.
Nak cari di mana?
Hmm, memang susah nak cari.
Mudahnya, kita jadilah kawan yang terbaik untuk siapa sahaja yang hadir sebagai 'kawan' dalam hidup kita.
Sayangi mereka. Tunjukkan mereka contoh terbaik. Disebabkan mereka 'istimewa'lah, Allah jumpakan kita dengan mereka. Jom, hargai kawan-kawan di sekeliling kita hari ini juga.
Bagaimana menghargai?
Oh! Anda jauh lebih kreatif daripada saya. Jika tiada kreativiti, mintalah idea daripada Allah yang Maha Kreatif, sumber inovasi kita semua. Serulah nama-nama-Nya yang kreatif, Ya Kholiq, Ya Musowwir, Ya Badi'.
Terasa kreativiti-Nya sangat dekat, kan?
Kalau kawan tu tak beragama, macam mana?
Berkawanlah dengan sesiapa sahaja. Namun untuk mengangkat seseorang sebagai 'kawan baik', perhatikanlah sungguh-sungguh agamanya.
Apa kata ulama yang kita sayangi?
Di dalam kitab Hidayatul Salikin, Imam Ghazali ada menyatakan: “Hendaklah kita memilih sahabat dengan 5 syarat.” Syarat-syaratnya ialah:
1. Orang yang berakal: Berkawan dengan orang yang jahil akan menimbulkan persengketaan.
2. Baik dari segi peribadi dan akhlaknya: Elakkan bersahabat dengan orang yang jahat dan buruk perangainya kerana ianya akan mempengaruhi kita.
3. Orang yang soleh: Jangan berkawan dengan orang yang fasik kerana ianya akan sentiasa mengekalkan dosa yang besar dan kecil.
4. Jangan berkawan dengan orang yang sangat kasih pada dunia: Kasih pada dunia di sini bermaksud sesuatu perkara yang bertentangan dengan suruhan Allah. Jika berkawan dengan orang yang sebegini, dia akan terikut-ikut dengan tabiat rakannya.
5. Orang yang benar perkataannya: Janganlah suka berkawan dengan orang yang suka berdusta. Orang yang suka berdusta itu tidak dapat dipercayai agama dan dunianya. Demikian itu akan membawa kepada kebinasaan dunia.
Alaa Ustaz Sistem Kewangan Islam Sama Saja Dengan Sistem Konvensional
Sering kita lihat si jahil yang mengkritik dan membetulkan pendapatnya, tapi yang kelihatan hanya kejahilannya.
Malam ini aku sempat mendengar satu perbincangan yang kelihatan canggung di mata ahli akademik dan susah diterima realiti. Walaupun perbincangan tak rasmi di kedai kopi, tapi aku anggap ini satu dari beribu manusia di luar sana yang masih gagal mentafsir Islam dari kaca mata ilmu dan hakikat. Perbincangan antara seorang ustaz yang aku kenal dengan kefahaman akademiknya dengan seorang ahli jemaah di sebuah surau di pinggir bandar Shah Alam sebentar tadi, betul-betul menarik minat aku. Banyak tajuk yang di ketengahkan, dan salah satunya berkisar kepada sistem kewangan dan perbankan Islam di Malaysia.
“Saya anggap sistem perbankan Islam ni sama je lah ustaz dengan sistem kewangan konvensional. Cuba kita lihat secara mudah, bila kita meminjam dengan sistem Islam, kita terpaksa bayar balik melebihi jumlah pinjaman. Macam sistem konvensional jugak, malah lebih mahal”
Asas Sama tapi Prinsip Berbeza
Ya, itulah satu keluhan yang bersifat dakwaan bagi aku yg duduk di sebelah ustaz. Jerit hati mengatakan dia tidak tahu. Dan aku juga bukan dari orang yang pakar dalam bidang ini. Tapi bagi aku, sebagai orang awam, kita kena yakin dan percaya bahawa sistem perbankan yang sedia ada, adalah yang terbaik untuk diamalkan pada hari ini. Pakar–pakar kewangan Islam dari sehari ke sehari berusaha untuk meletakkan status halal dan harus pada sistem perbankan Islam itu pada tempat yang selayaknya untuk Islam. Bukan mudah untuk menggubal dan merubah satu sistem yang kita warisi dari Yahudi dan Nasrani ini. Bahkan mereka terpaksa menggunakan sistem asas, flat money atau wang kertas yang diketahui menguasai keseluruhan urat nadi perbankan di dunia dengan jarum halus,interest atau ribanya. Dan sistem itu jugalah yang digunakan oleh ulama’ yang pakar dalam soal teknikal dan hukum hakam kewangan, berijtihad bagi membentuk satu sistem baru yang lebih dekat dengan redha Allah.
Untuk bincangkan isu perbankan bukan lah boleh dihuraikan dalam perjumpaan kedai kopi, menghirup tomyam panas dalam cuaca yang sejuk, disaksikan asap panas cangkir kopi yang naik melenggang. Tapi cubalah kita fikir dengan akal yang terbuka, mereka yang fakeh dalam bidang tersebut telah berijtihad dengan asas yang banyak seperti; (1) Penggunaan dalil nas Al-Quran,Hadith dan Qiyas dengan menyeluruh (2) Kepakaran dalam bidang perbankan, kewangan, ekonomi dan strategik pentadbiran negara; (3) Akses kepada dokumentasi rahsia kerajaan, data – data, dan statistik dalam dan luar negara; (4) Menggunakan asas fiqh yang realistik sebelum mengeluarkan satu – satu hukum yang akan dipakai oleh semua tanpa penindasan yang melampau. Dalam usaha dan kesungguhan ulama’ peringkat nasional dan antarabangsa ini, tidak wajar malah zalim kalau kita yang hanya habuk di sepatu mereka, menghukum perbankan yang sedia ada ini sebagai sama dengan konvensional. Kenyataan semberono seperti ini lah yang boleh merosakkan sistem dan mampu menghasut orang lain untuk meninggalkan sistem kewangan Islam. Saya yakin pendapat seperti ini adalah banyak di ceruk – ceruk sana, tapi tidak terkumpul.Daging dan Lemak
Jika kita teliti dari sisi yang lain, sistem perbankan Islam kelihatan mahal dan menindas, hakikatnya tidak! Dalam sistem Islam, setiap kontrak akan ditentukan jumlah pembayaran balik melalui sistem aqad dan jumlah bayaran balik ditentukan dalam kontrak. Walau apa yang terjadi, peminjam akan membayar jumlah yang tetap. Sekiranya peminjam gagal menjelaskan amaun yang ditetapkan untuk bulan tersebut, ia akan dibawa ke bulan berikutnya dan tidak dicaj atas kelambatan pembayaran tersebut. Berbeza dengan sistem perbankan konvesional, sekiranya peminjam gagal menjelaskan bayaran untuk satu bulan, amaun itu akan dibawa kehadapan, daninterest akan dicaj atas amaun yang gagal dibayar, dan ditambah ke dalam principal. Kegagalan bulan berikutnya pula lebih buruk kerana principal yang ditambah interest tersebut sekali lagi dicaj dengan bunga ribanya. Agak teknikal, tapi dari segi analoginya seperti lemak bertukar jadi daging, dan tumbuh lemak yang baru dari daging baru tersebut. Inilah rahsia kejayaan sistem kapitalis dalam menjadikan si kaya untuk lebih kaya, manakala si miskin akan mewarisi kemiskinan bapanya dan akan mewasiatkan najis itu kepada anak cucu mereka.
Sebagai perbandingan kasar, dana sistem perbankan Islam di Malaysia ini adalah sangat kecil berbanding dengan sistem kewangan konvensional. Secara umumnya, dana konvensional terbesar di Malaysia disumbangkan oleh Maibank dan CINB. Manakala dana bank Islam terbesar di dunia, Al-Rajhy jauh lebih kecil dibandingkan dengan dana konvensional. Saya difahamkan dana perbankan Islam di Malaysia hanya 10%-20% sahaja dari total dana secara keseluruhan. Fakta saya mungkin sudah lapuk dan mungkin tidak tepat, namun sebagai rujukan untuk muhasabah, itu sudah memadai. Inilah juga jawapan kepada sebab sistem perbankan Islam lebih mahal dari sistem konvensional.
Ayam Sembelih
Suka saya bawa satu ideologi Ustaz Zaharuddin (tidak terlepas nama beliau bila membincangkan isu sebegini) mengenai sistem perbankan ini, seperti kita beli ayam di pasar di kelompok masyarakat bukan Islam. Ada ayam yang disembelih mengikut syarak dan ada yang tidak disembelih. Memang ayam yang disembelih itu lebih mahal kerana kos pengurusannya yang mungkin sedikit tinggi berbanding yang tidak disembelih; mungkin seperti upah tukang sembelih atau usaha yang lebih untuk sembelih. Berbanding yang tak sembelih, diberi renjatan elektrik yang tinggi atau dilemaskan. Tapi itu lah nilaian halal yang kita perlu bayar untuk keberkatan makanan yang akan kita makan, dan tidak sama sekali kita makan bangkai walaupun harganya jauh lebih murah. Begitulah kisahnya dengan sistem perbankan Islam. Zahirnya memang kelihatan ia menindas, tapi ia adalah halal, dan berkat. Mujahadah kita dengan rasa sedikit tertekan dengan sistem perbankan Islam ini seoalah – olah perjuangan orang zaman dahulu yang berkorban untuk mendapatkan kemerdekaan. Hakikatnya kemerdekaan itu dikecapi oleh anak cucu mereka, dan itulah mahar kita perlu bayar untuk perkembangan sistem ini untuk anak cucu kita kelak.
Dinar Emas, Dirham Perak
Di Tanya pula, mengapa Malaysia yang dikatakan Negara Islam tak mahu menggunakan matawang dinar emas dan dirham perak. Kalau kita guna, sudah tentu tak terlibat interest, selamat dari inflasi, berkat, mengikut sunnah dan sebagainya. Saya katakan (dalam hati pada masa itu), saya setuju 120% kalau sistem dinar dirham dapat dilaksanakan secara jayanya. Itulah jalan terbaik untuk manusia. Tapi cuba kita bayangkan dengan imaginasi yang paling mudah. Sekiranya hari ini Malaysia menggantikan Ringgit Malaysia (RM) kepada Dinar Malaysia (DM) dalam urusan transaksi harian, kita merupakan satu – satunya negara contoh di dunia yang menggunakan sistem ini di abad ini. Negara – negara lain juga memiliki dinar dan dirham, tetapi tidak digunakan dalam transaksi. Pada suatu hari, negara – negara dunia pertama melihat DM yg digunakan di Malaysia. Mereka sangat – sangat berminat dengan emas yang digunakan untuk membentuk DM. Maka terbukalah mata US, Britain, Australia, Hong Kong, Jepun dan mereka mula membuat pelaburan secara besar – besaran di Malaysia. Transaksi matawang akan menjadi rancak, kerana DM mula dibeli oleh mereka untuk memulakan pelaburan. Lama – kelamaan, pelaburan mereka bertambah untung, dan mereka memiliki DM dengan banyak. Apa yang perlu mereka buat ialah, menutup semua pelaburan mereka di Malaysia, dan hantar semua DM yang mereka milik ke negara mereka untuk dileburkan menjadi jongkong emas. Apa yang akan jadi kepada Malaysia di kala itu. Satu jawapan yang paling tepat ialah… MUFLIS. Ya, muflis seperti Zimbabwe yang 3 biji telur ayam bernilai lebih sejuta Zimababwe dollar.Kita harus lihat kenapa zaman Rasulullah, dinar dan dirham boleh dipraktikkan. Jelas sekali kerana pada zaman tersebut, dunia secara keseluruhan, Rom, Parsi dan
Arab membuat hubungan perdangangan menggunakan matawang yang sama, dinar dan dirham. Dan sistem itu digunapakai secara paraktikal pada zaman tersebut. Penggunaan dinar dan dirham BOLEH dilaksanakan semula apabila dunia secara keseluruhannya mula mengguna pakai sistem dinar dan dirham.
Arab membuat hubungan perdangangan menggunakan matawang yang sama, dinar dan dirham. Dan sistem itu digunapakai secara paraktikal pada zaman tersebut. Penggunaan dinar dan dirham BOLEH dilaksanakan semula apabila dunia secara keseluruhannya mula mengguna pakai sistem dinar dan dirham.Sejuk malam yang mengigit tulang, tapi hati aku panas, panas dengan omongan kosong yang aku anggap tuduhan melampau ke atas ijtihad ulama’. Yang tidak berperinsip dan tidak boleh dipertanggung jwabakan atas hujjahnya. Secara konklusinya, tidak wajarlah kita meletakkan salah kita kepada sistem dan ulama’ yang masyarakat umum menerima kefakehan mereka. Bukanlah niat saya untuk menghukum orang yang bercakap di pinggir kedai kopi itu, biarkanlah dia. Tapi idelogi ini saya yakin masih ada dalam minda segelintir umat Islam di Malaysia. Bimbang suatu hari nanti akan timbul idea – idea menentang dan menyamakan sistem Islam dan sistem konvensional. Sedarlah yang penentuan sistem kewangan ini tidak tertulis dengan jelas tentang kaedah dan perlaksanaannya di dalam Al-Quran dan Hadith, tetapi yang ada hanyalah prinsip asas. Buka la Al-Quran, galilah hadith – hadith nabi, ia tidak seperti mana nabi mengajar solat dan puasa. Bukanlah saya seorang ustaz atau pakar kewangan Islam. Saya Cuma terpanggil untuk meletakkan keilmuan dan pratikal pada tempat yang sesuai. Wallahu a’lam
Saturday, December 17, 2011
~kEmBaRa AnBiYa' kE SyRiA 2~
"hari ni sbnrnya ke mana tmpt kita nak pegi?Penaja xbagi kertas tentatif le..."aku tanya pada kak Izzati yang sibuk di ruang tamu. "hari ni kita pegi lagi tempat2 mcm makam tu. xpun nti akak ty sendiri ty kat ust tu" jawab akak tu dengan selamba.
Naik sahaja bas ustaz mula ambil microphone dan mulalah dia bercakap mengenai trip hari ni...Semuanya sudah jelas dan perjalanan hanya memakan masa beberapa jam sahaja. Destinasi pertama kami pada hari kedua adalah Masjid Khalid Al-walid. Di dalam masjid ini terdapat dua makam sahabat Rasulullah s.a.w yang hebat belaka iaitu makam Saidina Khalid Al-walid dan makam Saidina Abdullah ibnu Umar r.anhumma. (didoakan dua orang yang diredhai Allah kerana abdullan dan umar kedua-duanya merupakan sahabat Rasulullah s.a.w).
Khalid Al-walid merupakan pahlawan Islam yang sangat gah dan hebat di medan perang.
Beliau sentiasa memberikan kemenangan pada setiap peperangan disertainya. Beliau juga mengimpikan untuk mati syahid di medan perang namun Allah menetapkan beliau meninggal dunia di atas katil dengan kesan calar balar di badannya. Khalid Al-walid sangat berjasa pada Islam dan umat Islam. Keberanian dan kegagahan beliau seharusnya dicontohi oleh setiap umat manusia pada masa kini. Beliau juga digelar dengan gelaran Saifullah
Masjid Khalid Al-walid.
Burung merpati ni buat tempat ni mcm ade feel skit.
makam Khalid al -walid
Beliau sentiasa memberikan kemenangan pada setiap peperangan disertainya. Beliau juga mengimpikan untuk mati syahid di medan perang namun Allah menetapkan beliau meninggal dunia di atas katil dengan kesan calar balar di badannya. Khalid Al-walid sangat berjasa pada Islam dan umat Islam. Keberanian dan kegagahan beliau seharusnya dicontohi oleh setiap umat manusia pada masa kini. Beliau juga digelar dengan gelaran Saifullah
perhatikan keunikan pada gambar di atas..
Terserlah keindahan masjid ini.
Syukur kaki ini pernah berpijak ke sini..
Makam Abdullah ibnu umar pula terletak di ruang solat kaum adam. Kami singgah di makamnya apabila selesai kaum adam menunaikan solat dan masuk melalui pintu di tepi. Keunikan masjid ini dapat dilihat apabila setiap lampu chandelier yang tergantung indah dihiasi dengan pedang2 yang ntah betul atau tidak.Kami juga sempat menunaikan solat di sini dan berbual-bual bersama wanita2 arab di situ. Selesai perjalanan kami disini. Mengambil semangat pejuang2 Islam. Semoga Allah mengurniakan semangat yang kental dan kekuatan dalam diri kita semua.
Kami meneruskan perjalanan kami ke kawasan selepas Homs. Kami singgah di tempat yang sangat nostalgik iaitu Kawasan Kincir Air tertua di dunia. Kincir air ini masih lagi berfungsi sehingga ke hari ini. Kincir air ini sentiasa bergerak dengan menggunakan kelajuan arus air yang mengalir di bawahnya. Sangat menakjubkan.
Gambar bersama rombongan di hadapan kota Halab
pintu gerbang masuk ke Kota.
Masjid Zainab [didalamnya terdapat makan Zainab]
Terasa janggal tatkala masuk ke masjid ini masyarakat memandang kami dengan hairannya. Kami pelancong sudah semestinya mereka hairan. Ketika itu keadaan agak sesak dan ramai jemaah muslimat yang mengurumuni makan Zainab. Setelah bertanya dengan ustaz kami , rupa-rupanya mereka sedang melakukan aktiviti / upacara yang biasa mereka lakukan selepas solat mungkin. Apa yang saya perhatikan, mereka memuja makam Zainab dengan meratap makam Zainab dengan teruk sekali. Ada yang menghadiahkan bermacam-macam benda kemudian dilambungkan hadiah tersebut ke atas makam Zainab yang agak tinggi sedikit itu. Dikatakan sekiranya hadiah tersebut jatuh semula ke tanah , permintaan mereka tidak tecapai. Dan sememangnya saya ada melihat jemaah muslimat yang menangis teruk setelah hadiah mereka yang dilambungkan itu jatuh semula. Satu pengalaman !
Kami tidak boleh nak membuka mulut sangat kerana apa yang dipesan oleh ustaz kami supaya menjaga mulut takut-takut ada bahasa yang difahami oleh mereka. Semestinya bahasa Melayu lah yang banyak juga penggunaannya dalam bahasa Arab.
bergambar di hadapan masjid Zainab
Kami juga sempat berkunjung ke sebuah masjid yang dinamakan masjid Umaiyah [ kalau salah boleh tegur].
Dahulunya masjid ini adalah sebuah gereja. Namun setelah Islam mendapatkan masjid ini ia bertukar menjadi tempat ibadah orang Islam.
perkarangan masjid yang mesra masyarakat.. =)
Tempat mengambil wudhuk bagi lelaki.
Makam nabi Zakariya a.s
Sebuah mikrab yang tinggi. Memang tinggi. Apa yang pernah diceritakan pada saya ialah di atas mikrab itulah Salehuddin Al-Ayub memberikan khutbah serta pidato pada seluruh tentera-tenteranya di bawah itu. Terasa kehangatan pengaruh kepimpinan Salehuddin hingga saat ini. Tanpa membuang masa saya mengambil gambar sudut kenangan itu .=)
menara masjid Umawi
Salah satu menara masjid Umawi yang bersebelahan dengan Suq Halab ( tempat beli belah)
Sekitar Masjid Umawi, kami melalui satu kawasan bangunan yang di dalamnya terdapat makam Abu Darda'.Seorang pakcik yang menjaga makam Abu Darda' menceritakan kisah Abu Darda' dan perjalanan kisah hidupnya.
Dalam laluan yang sama juga, kami berpeluang menziarahi makam Salehuddin Al-Ayubi, seorang manusia yang sangat berjasa kepada agama Islam.
Makam Salehuddin Al- Ayubi.
Masih kekal hingga sekarang bentuk gereja . Pintu gerbang gereja itu kini ditenggelami dengan seni Islam.
Memori.....
Baitulmal pertama . Kena kaji lagi tentang ini.
Kami juga sempat pergi ke tempat menarik yang lain seperti kincir air yang dibina zaman dahulu yang masih wujud lagi hingga kini.
Mungkin ada banyak lagi tulisan kenangan yang belum sempat saya nukilkan disini. Jujurnya saya minta maaf sekiranya ada fakta-fakta yang ditulis oleh saya mempunyai kesalahan . Namun, apa yang saya boleh katakan di sini ialah terlalu banyak ibrah dan pengalaman serta pengajaran yang saya peroleh daripada pengembaraan menjejak khazanah Islam ini. Dan syukur itu bertambah lagi kerana kembara Syria ini selesai dengan selamatnya dan jayanya sebelum peristiwa rusuhan teruk berlaku di Syria.
Pada yang berkemampuan dan berkeinginan, marilah kita berusaha untuk menerokai khazanah bumi Allah dan Islam itu sendirinya dengan kembara ke seluruh dunia. Sungguh Allah s.w.t telah menyediakan banyak pengajaran untuk kita melihatnya. Wallahua'lam.
Subscribe to:
Posts (Atom)






















