Saturday, December 17, 2011

~kEmBaRa AnBiYa' kE SyRiA 2~

"hari ni sbnrnya ke mana tmpt kita nak pegi?Penaja xbagi kertas tentatif le..."aku tanya pada kak Izzati yang sibuk di ruang tamu. "hari ni kita pegi lagi tempat2 mcm makam tu. xpun nti akak ty sendiri ty kat ust tu" jawab akak tu dengan selamba.

Naik sahaja bas ustaz mula ambil microphone dan mulalah dia bercakap mengenai trip hari ni...Semuanya sudah jelas dan perjalanan hanya memakan masa beberapa jam sahaja. Destinasi pertama kami pada hari kedua adalah Masjid Khalid Al-walid. Di dalam masjid ini terdapat dua makam sahabat Rasulullah s.a.w yang hebat belaka iaitu makam Saidina Khalid Al-walid dan makam Saidina Abdullah ibnu Umar r.anhumma. (didoakan dua orang yang diredhai Allah kerana abdullan dan umar kedua-duanya merupakan sahabat Rasulullah s.a.w).
Khalid Al-walid merupakan pahlawan Islam yang sangat gah dan hebat di medan perang.

Masjid Khalid Al-walid.

Burung merpati ni buat tempat ni mcm ade feel skit.

makam Khalid al -walid

Beliau sentiasa memberikan kemenangan pada setiap peperangan disertainya. Beliau juga mengimpikan untuk mati syahid di medan perang namun Allah menetapkan beliau meninggal dunia di atas katil dengan kesan calar balar di badannya. Khalid Al-walid sangat berjasa pada Islam dan umat Islam. Keberanian dan kegagahan beliau seharusnya dicontohi oleh setiap umat manusia pada masa kini. Beliau juga digelar dengan gelaran Saifullah

                                                        perhatikan keunikan pada gambar di atas..

Terserlah keindahan masjid ini.

Syukur kaki ini pernah berpijak ke sini..


Makam Abdullah ibnu umar pula terletak di ruang solat kaum adam. Kami singgah di makamnya apabila selesai kaum adam menunaikan solat dan masuk melalui pintu di tepi. Keunikan masjid ini dapat dilihat apabila setiap lampu chandelier yang tergantung indah dihiasi dengan pedang2 yang ntah betul atau tidak.Kami juga sempat menunaikan solat di sini dan berbual-bual bersama wanita2 arab di situ. Selesai perjalanan kami disini. Mengambil semangat pejuang2 Islam. Semoga Allah mengurniakan semangat yang kental dan kekuatan dalam diri kita semua.

Kami meneruskan perjalanan kami ke kawasan selepas Homs. Kami singgah di tempat yang sangat nostalgik iaitu Kawasan Kincir Air tertua di dunia. Kincir air ini masih lagi berfungsi sehingga ke hari ini. Kincir air ini sentiasa bergerak dengan menggunakan kelajuan arus air yang mengalir di bawahnya. Sangat menakjubkan.

Gambar bersama rombongan di hadapan kota Halab 

  pintu gerbang masuk ke Kota.


Masjid Zainab [didalamnya terdapat makan Zainab]

Terasa janggal tatkala masuk ke masjid ini masyarakat memandang kami dengan hairannya. Kami pelancong sudah semestinya mereka hairan. Ketika itu keadaan agak sesak dan ramai jemaah muslimat yang mengurumuni makan Zainab. Setelah bertanya dengan ustaz kami , rupa-rupanya mereka sedang melakukan aktiviti / upacara yang biasa mereka lakukan selepas solat mungkin. Apa yang saya perhatikan, mereka memuja makam Zainab dengan meratap makam Zainab dengan teruk sekali. Ada yang menghadiahkan bermacam-macam benda kemudian dilambungkan hadiah tersebut ke atas makam Zainab yang agak tinggi sedikit itu. Dikatakan sekiranya hadiah tersebut jatuh semula ke tanah , permintaan mereka tidak tecapai. Dan sememangnya saya ada melihat jemaah muslimat yang menangis teruk setelah hadiah mereka yang dilambungkan itu jatuh semula. Satu pengalaman !
Kami tidak boleh nak membuka mulut sangat kerana apa yang dipesan oleh ustaz kami supaya menjaga mulut takut-takut ada bahasa yang difahami oleh mereka. Semestinya bahasa Melayu lah yang banyak juga penggunaannya dalam bahasa Arab.

bergambar di hadapan masjid Zainab

Kami juga sempat berkunjung ke sebuah masjid yang dinamakan masjid Umaiyah [ kalau salah boleh tegur].
Dahulunya masjid ini adalah sebuah gereja. Namun setelah Islam mendapatkan masjid ini ia bertukar menjadi tempat ibadah orang Islam.

perkarangan masjid yang mesra masyarakat.. =)

Tempat mengambil wudhuk bagi lelaki.

Makam nabi Zakariya a.s

 Sebuah mikrab yang tinggi. Memang tinggi. Apa yang pernah diceritakan pada saya ialah di atas mikrab itulah Salehuddin Al-Ayub memberikan khutbah serta pidato pada seluruh tentera-tenteranya di bawah itu. Terasa kehangatan pengaruh kepimpinan Salehuddin hingga saat ini. Tanpa membuang masa saya mengambil gambar sudut kenangan itu .=)


 menara masjid Umawi

Salah satu menara masjid Umawi yang bersebelahan dengan Suq Halab ( tempat beli belah)

Sekitar Masjid Umawi, kami melalui satu kawasan bangunan yang di dalamnya terdapat makam Abu Darda'.Seorang pakcik yang menjaga makam Abu Darda' menceritakan kisah Abu Darda' dan perjalanan kisah hidupnya. 

Dalam laluan yang sama juga, kami berpeluang menziarahi makam Salehuddin Al-Ayubi, seorang manusia yang sangat berjasa kepada agama Islam.

Makam Salehuddin Al- Ayubi. 

Masih kekal hingga sekarang bentuk gereja . Pintu gerbang gereja itu kini ditenggelami dengan seni Islam. 

 Memori.....

 Baitulmal pertama . Kena kaji lagi tentang ini.

Kami juga sempat pergi ke tempat menarik yang lain seperti kincir air yang dibina zaman dahulu yang masih  wujud lagi hingga kini. 

Mungkin ada banyak lagi tulisan kenangan yang belum sempat saya nukilkan disini. Jujurnya saya minta maaf sekiranya ada fakta-fakta yang ditulis oleh saya mempunyai  kesalahan . Namun, apa yang saya boleh katakan di sini ialah terlalu banyak ibrah dan pengalaman serta pengajaran yang saya peroleh daripada pengembaraan menjejak khazanah Islam ini. Dan syukur itu bertambah lagi kerana kembara Syria ini selesai dengan selamatnya dan jayanya sebelum peristiwa rusuhan teruk berlaku di Syria. 

Pada yang berkemampuan dan berkeinginan, marilah kita berusaha untuk menerokai khazanah bumi Allah dan Islam itu sendirinya dengan kembara ke seluruh dunia. Sungguh Allah s.w.t telah menyediakan banyak pengajaran untuk kita melihatnya. Wallahua'lam.





Cerpen: Sepagi bersama seorang penganut Budha

adhan-women
“Kamu bersolat lima kali sehari, bukan?” Gadis Cambodia itu lancar berbahasa Inggeris. “Ya, saya solat lima kali sehari” kututup buku yang menjadi agenda utama pertemuan santai pagi itu. “Apa yang kamu buat ketika bersolat? Ada colok seperti kami?” Tanyanya, cukup naif. Aku tersenyum, lantas menyatakan dengan bangga, “kami menurut perintah Tuhan dengan solat pada tiap-tiap waktu khusus seperti yang diarahkan. Ambil wudhuk dan solat, ketika itu hanya ada saya dan Tuhan”
“Kami ada sami yang bersolat setiap waktu di ‘pagoda’, kami ada hari holy yang mengumpulkan kami sembahyang di pagoda, tetapi bukan wajib untuk semua, dan tentunya itu bukan menjadi agenda pilihan bagi yang muda-muda seperti kami. Itulah hari yang disediakan untuk orang-orang tua yang perlu bersedia untuk kehidupan seterusnya” dia menjelas, mengupas satu persatu.
“Bagaimana kalau yang muda mati dulu? Contohnya, akibat kemalangan? Bukankah dia belum bersedia dengan amalan untuk mati?” Aku bertanya, benar-benar ingin membaca fikirannya.
“Apa lagi yang mampu dibuat? Itu saja amalan yang kami mampu” jawabnya dengan riak sedikit cuak. Aku sendiri terasa agak kejam bertanyakan soalan begitu.
“…Ketahuilah, Islam agama sebenar. Allah itu Satu. Tiada Tuhan melainkan Allah, dan Muhammad S.A.W itu pesuruh Allah. Akhirat itu pasti. Kau kan rasakan nikmatnya berada dalam Islam. Ketahuilah! Ini agama yang benar…”
Itu yang ingin ku katakan, tetapi hanya hati yang berbisik kencang. Terbayang ketika Saidina Abu Bakar yang baru beberapa lama memeluk Islam, bercerita terus menerangkan perkhabaran gembira pada Bilal. Perkhabaran tentang Islam. Seakan gembira mendapat ganjaran besar dan lumayan, lantas ingin dikongsikan pada semua supaya kemanisannya dapat juga dirasa.
Hijab
“Ini hijab, bukan?” Jemarinya menyentuh hijabku. “Lembutnya” katanya, aku kemudian mengangguk dalam senyum.
“Kamu ada rambut?” tanyanya.
“Sudah tentu” aku tersenyum, tak tersangkakan sampai begitu sekali kepelikannya pada yang berhijab.
“Kamu tahu, saya sangat teringin melihat rambut kamu. Hitam kah? Panjang kah?” “-Aku menjawab sekadar yang boleh diberitahu tentang diskripsi rambutku-”.
“Pasti sangat cantik, rugi orang lain yang tidak dapat melihatnya” ujarnya. Kukira itu sudah menjadi pendirian masyarakat umum. Malah umat islam sendiri ada yang tidak mahu bertudung, lantas menggayakan rambut dengan hebat pada khalayak ramai. Kata mereka, kecantikan perlu dihebahkan dan ditayangkan pada semua. Untuk apa disimpan? Begitulah kalau tidak berpegang pada al-Quran.
“Keluarga saya, adik-adik lelaki saya, ayah saya, adik beradik lelaki kedua ibu bapa saya dan semua perempuan muslim yang lain diizinkan melihat rambut saya. Rasanya, sudah cukuplah mereka saja yang menikmati “kecantikannya”, dan lelaki yang bukan dari keluarga saya, hanya suami yang bakal melihatnya. Tiada yang lain dari itu” aku menjelas.
Dia menundukkan mukanya merapati wajahku, cuba mengintai rambut melalui bukaan tudung di atas wajahku, mengharapkan dapat melihat cebisan rambutku, walau sedikit. Aku menutup mulutku dengan tangan, menahan tawa. “Apa yang kamu cuba lakukan?” aku tertawa.
“Saya ingin melihat rambut kamu. Malah anda juga punya “itu” (menuding ke arah serkup yang kupakai, yang membantu aku menutup auratku sehabis mungkin), sedikit pun tiada yang diizinkan dilihat?” Dia turut menunjuk ‘arm-socks’ yang kupakai. “Kamu sangat tertutup” dia berkata.
“Cukuplah sekadar kamu melihat riak muka saya yang ceria ini” saya berkata dengan nada gurau. Dia membalas dengan ledak tawa. Lantas kami menutup mulut kami sendiri, bila menyedari ada wajah yang berpaling memerhati. Baru teringat, kami berada di dalam library, yang tinggal hanya mata kami yang mengecil dan ketawa yang berdecit. “Baiklah, riak ceria dan ramah kamu sudah cukup untuk saya” ulasnya jujur.
Al-Quran: Panduan Hidup
“Dari mana kamu tahu perihal undang-undang ini?” Tanyanya pelik melihat aku yakin dengan garis panduan yang aku kemukakan. Seakan ada wujud akta yang menggariskannya. “Dari ayat-ayat Tuhanku, dari Al-Quran. Panduan utama hidup kami untuk menuju ke Syurga. Kamu tidak punya garis panduan?”
Dia terdiam menggeleng. “Kami hanya perlu berbuat baik kepada manusia. itu yang bakal menghantar kami ke syurga”.
Ouh.Semudah itu untuk ke Syurga. Bukankah Syurga itu sesuatu yang terlalu indah untuk dicapai dengan mudah? Aku bermonolog sendiri.
“Apa maksud kamu dengan berbuat baik? Bukankah itu terlalu umum. Tiada garis panduan tentang perbuatan baik itu?” Aku sendiri pelik, jika tiada kitab bagaimana mungkin mereka tahu apa yang mereka perlu lakukan?
“Tidak melakukan kerosakan, tidak mencuri, tidak membunuh dan tidak mengganggu ketenteraman orang lain, itulah dia kebaikan. Rasanya semua sedia maklum pada terma ‘berbuat kebaikan’. Semua mesti tahu. Jadi, tidak perlukan garis panduan”, ujarnya lancar.
Aku tersenyum. “Kamu pasti mengagumi al-Quran kami yang penuh dengan garis panduan, dan pasti kamu terkejut membacanya kerana apa yang kamu fahami tentang “kebaikan” itu hanyalah secebis dari al-Quran. Banyak lagi perkara “baik” yang tidak diketahui tanpa merujuknya” aku menjelas, tersenyum, bangga, bersyukur, dikurniakan hidayah atas agama Allah.
Peranan Muslim vs Peranan Sami
“Kamu ada sami yang duduk di tempat ibadah seperti kami?” Dia bertanya.
Aku membalas dengan persoalan. Cuba mengumpul fakta sebelum merangka jawapan terbaik buatnya, “Apa yang dilakukan oleh sami kamu?” Aku meminta penjelasannya.
“Menghambakan diri mereka pada Tuhan. Mereka tidak berkahwin, tidak bersuka ria” dia menjelas.
“Oh, dalam Islam, semua Muslim memainkan peranan seperti sami kamu, cuma kami boleh menjalankan aktiviti seperti biasa. Kami boleh berkahwin, belajar, berhibur dalam jalan yang diizinkan Tuhan, dan membuat apa-apa aktiviti yang manusia lain buat. Tetapi dalam setiap perbuatan itu, kami tahu dan sedar bahawa kami ini hamba Tuhan. Malah dalam tiap ketika kami merasa kerendahan hati menjadi seorang hamba, tiada perbezaan dalam amalan setiap seorang Muslim itu. Al-Quran bukan hanya diturunkan untuk golongan tertentu. Semua Muslim wajib menurutinya” kadang-kadang aku sedikit terhilang kata mencari ayat yang sepatutnya aku perkatakan. Sungguh! sangat susah, kini kurasakan betapa dhaifnya aku dalam berbahasa inggeris.
“Maknanya, dalam agama kamu hanya sami yang boleh masuk Syurga tertinggi?” Aku mula ‘menembaknya’, sedaya upaya sehalus mungkin. Dengan tenang, dengan senyuman.
Sungguh, dia terkedu lagi, “semua boleh masuk ke Syurga yang sama” jawabnya.
Aku sekadar tersenyum, membiarkan dia berfikir. “Kami punya utusan yang membawa ajaran dari Tuhan, Muhammad S.A.W. Peranannya adalah untuk menyebarkan risalah Tuhan, al-Quran” aku sekadar membantunya berfikir.
“Dan dia seperti manusia lain? Boleh berkahwin, bekerja dan sebagainya?” Dia bertanya.
Aku mengangguk, mengiyakan. “Dan kini, al-Quran dan segala ajaran Tuhan sampai kepada kami. Peranan Nabi Muhammad disambut dan diteruskan oleh semua Muslim. Menyampaikan risalah Tuhan. Jika tidak, pasti saya tidak memperoleh keyakinan dan keimanan pada agama saya seperti tika ini, dan kini, tanggungjawab itu, saya sendiri pikul. Saya juga wajib meneruskan perjuangan Nabi saya. Menyampaikan” aku menarik nafas, memikirkan perkara yang perlu disampaikan lagi.
“Tahukah kamu, misi kami semua hanyalah membawa manusia kembali kepada al-Quran?. Supaya manusia ada pegangan. Bukan hanya mengikut-ikut budaya persekitaran”, dia diam mendengar dan kadang-kadang tersenyum. Kurasakan pandangannya agak sinis, tapi, husnuzzon.. selagi dia masih berminat mendengar, itu sudah cukup baik. Moga Tuhan melemparkan cebisan hidayah padaNya, dan keterusan hidayah buatku.
Pergaulan lelaki dan wanita bukan muhrim
“Bagaimana hubungan kamu dengan lelaki?” Dia bertanya, lantas dia bercerita bagi pihaknya. “Saya tidak bercakap kosong dengan mana-mana lelaki, dari kecil, hinggalah ke sekolah menengah dan sekarang saya baru belajar untuk berbicara yang penting sahaja”. Aku sendiri kagum dengan kata-katanya, sememangnya nampak, dia seorang yang pemalu.
“Apakah itu yang digariskan dalam agama kamu?” Aku bertanya meminta penjelasan.
“Tidak, itu hanyalah budaya, adab dan kesopanan. Pada zaman dulu, perempuan-perempuan kami hanya duduk di rumah, tidak terdedah pada dunia luar, tidak bercampur gaul dengan lelaki-lelaki lain yang tidak berhak. Tetapi budaya itu telah makin hilang, tiada lagi budaya sepertinya, cuma keluarga saya masih menerapkannya” dia menjelas. Aku tersenyum, menghormati pendiriannya, tetapi, sudah menjadi tanggungjawabku untuk memperkatakan yang benar.
“Sungguh, saya kagum dengan kamu, kami juga dilarang untuk bercampur gaul dengan lelaki-lelaki tanpa tujuan penting. Tetapi, ini bukanlah budaya yang boleh diubah-ubah, itu adalah arahan Tuhan. Biar kami hidup dan dicampakkan di tempat semaju mana pun, pegangan itu tidak boleh diubah. Wajib untuk kami patuhi, sampai bila-bila pun”. “Kamu sangat yakin dengan Tuhan kamu, dan dengan ketegasan ayat-ayat Tuhan kamu” dia pula seakan kagum mendengar hujah-hujahku. “Sudah tentu, sudah tentu kamu juga begitu terhadap agamamu, bukan?” Dia diam dan mengangkat bahu..
“well…” Itu saja yang terpacul keluar dari mulutnya.
Menaggung risalah bukan beban, tapi satu kebanggaan
“Bagaimana kamu boleh sangat yakin dan tidak sedikitpun merasa terbeban dengan aturan-aturan yang banyak dari Tuhan kamu?” Dia bertanya. “Setiap perbuatan kamu ada guideline. semua yang kami buat, tidak semua anda boleh buat. Tidakkah kamu berasa marah atau terpinggir?”
“Jika kamu mengucapkan kalimah syahadah, apa yang bakal kamu rasai, hanyalah keyakinanmu pada Tuhan, dan Muhammad S.A.W sebagai utusan. Al-Quran bakal mendidik jiwa dengan keimanan. Keyakinan dan keimanan pada Tuhan itulah yang membuatkan kamu tidak pernah ragu pada kata-kata-Nya. Tidak akan pernah rasa terbeban, malah sebagai satu keindahan. Kami tidak rasa terbeban, malah kami sangat takut dan berhati-hati jika kami ada melanggar perintah Tuhan, kerana kami sangat berharap mendapat keredhaan Tuhan dan akhirnya ke SyurgaNya. Dengan keyakinan inilah segala-galanya tumbuh menjadi amalan. Mungkin kamu merasa pelik, kerana kamu tidak pernah merasai sepertimana apa yang kami yakin pada Tuhan kami. Tetapi, bagi yang baru mengenal Islam, “kepercayaan” dan “keyakinan atas kepercayaan” itulah yang dididik dari awal. Bukan setakat do’s and dont’s” aku menjelas panjang lebar.
“Panjangnya kita bercerita, kamu masih mahu berbincang tentang kerja kita ini?” Dia bertanya seakan mahu pulang cepat. “Saya rasa sudah cukup untuk hari ini, kita sudah tahu apa yang perlu kita lakukan” Aku meraikan keinginannya itu. “Dalam masa dua minggu… heih.. kamu rasa, mampukah kita siapkan sebelum due date?” Dia bertanya, seakan tidak yakin kami mampu menyiapkan tugasan
“insyaAllah, kita mampu” terkeluar perkataan insyaAllah dari mulutku. “Apa itu insyaAllah?”, “Oh, maaf, telah menjadi kebiasaan saya dalam percakapan untuk menyebut insyaAllah. Itu seakan janji untuk menyatakan kesungguhan saya untuk menghadapi kerja yang bakal kita lalui bersama. “In Allah’s will” dengan izin Allah, pasti kita akan menyiapkannya”, dia terkedu lagi.
“Kamu ada Islam dalam setiap perbuatan kamu, ternyata kamu sangat yakin” dia mengomel sendiri. Saya sekadar tersenyum.
Dalam perjalanan pulang aku tidak lagi menyentuh soal agama, topik perbualan aku tukar kepada perihal keluarga dan percutian, risau juga kalau-kalu dia kurang selesa dengan kata-kataku, moga hidayah Allah menaungi kami. Amin…
-Muhasabah diri kita. kadang-kadang kita tidak menyedari bahawa keyakinan dan kepercayaan kita kepada Allah, tidak setinggi taraf tingginya impian kita untuk menggapai Firdausi. Semoga Allah mencoretkan keberkatan buat amal-amal kita, untuk dijadikan nilaian ke Syurga.. Amin. Wallahualam-
Adaptasi sebuah kisah benar

Thursday, December 1, 2011

ASYURA UNTUK KITA



Daripada Abu Qatadah r.a. : bahawa Rasulullah s.a.w ditanya tentang puasa hari ‘asyura. Baginda menjawab, “(Puasa tersebut) Menghapuskan dosa satu tahun yang lalu”.
(Riwayat Muslim)

Daripada Ibn Abbas r.a.:“Bahawa Rasulullah s.a.w. berpuasa pada hari ‘asyura dan memerintahkan agar berpuasa padanya”.
 (Riwayat al-Bukhari dan Muslim dalam sahih mereka).

Hari Asyura atau dalam bahasa arabnya  asyara  yang bermaksud sepuluh. Ini adalah disebabkan ia merupakan hari kesepuluh dalam bulan Muharram.
  “Jom puasa Hari Asyura nanti, tolong ingatkan ana ya.” Mari meriahkan bulan Muharram dengan ibadat puasa sunat yang mulia ini.
“Opps, tapi rasanya macam belum hadam lagi apa yang ada disebalik puasa Hari Asyura ini”
Sejenak mari kita beralih ke sejarah Hari Asyura, mari kita melihat isi kandungan sejarah ibadah ini yang tatkala itu kita kadangkala sedikit terlupa dalam keseronokan melakukan ibadah. Mudah-mudahan kita semua beramal ibadah seiring dengan penguasaan ilmu yang mantap terhadap ibadah yang dilakukan.

Sejarah Asyura ini bermula di Mekah lagi, ketika itu amalan puasa Asyura ini merupakan tradisi masyarakat Arab pada waktu itu. Rasulullah s.a.w juga melakukan amalan puasa ini sehingga baginda berhijrah ke Madinah dan baginda mendapati amalan puasa Asyura ini juga diamalkan oleh kaum Yahudi. Pada saat itu, baginda mensyariatkan dan mengesahkan puasa Asyura itu sehingga ia menjadi kewajipan kerana baginda merasakan masyarakat Arab lebih dekat dengan Nabi Musa a.s.
   
Ibn Abbas (r.a) menceritakan; "Apabila Rasulullah S.A.W datang ke Madinah, baginda melihat orang Yahudi berpuasa pada Hari Asyura, lalu baginda bertanya: "Apakah ini?". Mereka (orang Yahudi) menjawab: "Hari ini adalah hari yang baik kerana pada hari ini Allah menyelamatkan Nabi Musa dan bangsa Israel daripada musuh mereka, maka Musa pun berpuasa". Lalu baginda (Nabi Muhammad) bersabda: "Aku lebih berhak dengan Musa daripada kamu." Baginda (Nabi Muhammad) pun berpuasa dan menyuruh orang ramai supaya berpuasa."
”
(Hadis direkodkan oleh Imam Bukhari)
Ibn Hajar al-asqalani, dalam penyataannya terhadap Sahih Bukhari mengatakan bahawa syariat puasa telah dijadikan kepada bulan Ramadhan setahun kemudian. Kini, masyarakat Islam melakukan puasa  Asyura 10 Muharram sebagai amalan sunat dan bukan kewajiban.

”Dari Aisyah (r.a) katanya; "Orang Quraisy di zaman jahilliyah berpuasa pada Hari Asyura dan Rasulullah S.A.W juga berpuasa pada Hari Asyura. Apabila baginda datang ke Madinah, baginda berpuasa pada hari itu dan meyuruh orang ramai berpuasa. Apabila difardhukan kewajipan puasa Ramadan, ditinggalkan puasa pada Hari Asyura lalu baginda bersabda: "Siapa yang mahu, dia boleh berpuasa (sunat Hari Asyura) dan siapa yang tidak mahu berpuasa, dia boleh meninggalkannya."
(Hadis direkodkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim)

      Harus kita ingat juga amalan sunat ini sangat dituntut bagi setiap umat Islam selagi mana dia mampu melakukannya. Sesungguhnya dengan mengikut amalan sunnah Rasulullah s.a.w itu akan lebih mendekatkan diri kita kepada baginda dan memupukkan lagi rasa cinta dan sayang kepada manusia teragung iaitu Nabi Muhammad  s.a.w. Ini dapat dibuktikan dengan saranan Rasulullah s.a.w dalam hadith baginda ,
”Aisyah (r.a) berkata; "Rasulullah S.A.W mengarahkan supaya berpuasa pada Hari Asyura. Apabila puasa bulan Ramadan difardhukan (diwajibkan), siapa yang hendak berpuasa (pada Hari Asyura) maka dia boleh berpuasa dan sesiapa yang hendak berbuka, maka dia boleh berbuka (tidak berpuasa)."










(Hadis direkodkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim)


AMALAN GALAKAN HARI ASYURA
1.  Solat sunat 10 Muharram – 4 rakaat(Siang  dengan 1 salam manakala malam dengan 2 salam – buatlah salah satu waktu)
2.  Menghubungkan tali Silatul Rahim diantara sahabat kita dan orang Islam.  Digalakkan menziarahi orang islam samada yang kenal atau tak kenal, samada yang rapat atau tak rapat.
3.  Berpuasa dari 1 Muharram hingga 10 Muharram.
4.  Disunatkan menjamu orang yang berpuasa.
5.  Mandi pada hari 10 Muharram. Niatnya “Sahaja aku mandi pada hari Asyura kerana Allah Taala”.
6. Memotong Kuku.  Niatnya “Sahaja aku memotong kuku kerana hendak membesarkan Hari Asyura kerana Allah Taala”.
7.  Bercelak mata berserta dengan niatnya.  Niat macam manapun. Dalam hati dan yang pentingnya ada “kerana Allah Taala”.
8.  Menziarahi orang alim dan memuliakannya dengan membelikan pakaian atau menjamu makanan dan minuman.
9.  Menziarahi orang sakit kerana ia mengingatkan tentang  mati.
10.  Menyapu kepala anak yatim.  Niatnya “Semoga Allah lembutkan hati aku”.  Supaya Allah melembutkan hati untuk menerima hukum Allah dan juga tanda-tanda kita nak masuk syurga.
11.  Bersedeqah. Bersedeqah pada asnaf yang lapan iaitu orang yang layak menerima zakat.
12.  Meluaskan belanja isi rumah.  Contohnya-para ibu bolehlah masak makanan yang special sikit,  macam nak raya tu ke dan makan bersama-sama.
13.  Dituntuk meluaskan perangai dengan berperangai lemah lembut dan kata-kata yang suka didengar oleh orang.
14.  Membaca “Qulhuwallah….” sebanyak 1000 kali.
15.  Membaca “Hasbunallah huwanikmalwakil…” sebanyak 70 kali.
17.  Menghidupkan malam Asyura(9 malam 10 Muharram).

Daripada Ibn Abbas r.a. beliau berkata: “Rasulullah s.a.w bersabda, “Sekiranya aku masih hidup sampai tahun depan, maka aku akan berpuasa pada (hari) kesembilan”
(Riwayat. Muslim).

DOA PADA HARI ASYURA
حَسْبُنَااللَّهُ وَنِعْمَ الْوَكِيْلُ نِعْمَ الْمَوْلَى وَنِعْمَ النَّصِيْرُ
سُبْحَانَ اللَّهِ مِلْءَالْمِيْزَانِ وَمُنْتَهَى الْعِلْمِ وَمَبْلَغَ الرِّضَاوَزِنَةَالْعَرْشِ
لاَمَلْجَأَ وَلاَمَنْجَأَ مِنَ اللَّهِ اِلاَّ اِلَيْهِ سُبْحَانَ اللَّهِ عَدَدَالشَّفْعِ وَالْوِتْرِ
وَعَدَدَكَلِمَاتِ اللَّهِ التَّامَّاتِ كُلِّهَانَسْأَلُكَ السَّلاَمَةَبِرَحْمَتِكَ يَااَرْحَمَ الرَّاحِمِيْنَ
وَلاَحَوْلَ وَلاَقُوَّةَاِلاَّبِاللَّهِ الْعَلِىِّ الْعَظِيْمِ
وَهُوَحَسْبُنَ وَنِعْمَ الْوَكِيْلُ نِعْمَ الْمَوْلَى وَنِعْمَ النَّصِيْرُ
وَصَلَّى اللَّهُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّمَ


    Wahai sahabat sekalian, marilah kita semua mengejar pahala ibadah sunat ini dan sentiasa positif dalam melakukan setiap amalan kebajikan seharian kita. MOga Allah sentiasa merahmati kita semua dalam berlumba-lumba mendampingiNYA.

Saturday, October 29, 2011

Kelebihan 10 hari-hari pertama Zulhijjah

Ramai dari kita yang telah maklum kelebihan 10 malam-malam terakhir Ramadhan. Tetapi adakah ramai di kalangan umat kita yang maklum kelebihan 10 hari-hari pertama dalam bulan Zulhijjah?
Imam al-Bukhari Rahimahullah meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda bermaksud, “Tiada suatu hari pun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari ini – iaitu 10 hari Zulhijjah.” Para sahabat baginda bertanya, “Tidak juga Jihad pada jalan Allah (mengatasi kelebihan hari-hari tersebut)?” Ujar baginda, “Tidak juga Jihad di jalan Allah kecuali seorang yang keluar dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak membawa pulang apa-apa pun (kerana habis disumbangkan untuk memenangkan agama Allah)”.
Imam Ahmad r.a. meriwayatkan dari Ibnu Umar r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Tiada suatu haripun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari 10 Zulhijjah ini, oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah), takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdu Lillah)”.
Ibnu Hibban di dam kitab Sahihnya meriwayatkan dari Jabir r.a. bahawa Baginda s.a.w bersabda, “Seutama-utama hari adalah hari Arafah”.
Amalan yang dianjurkan padanya:
1. Menunaikan ibadah haji dan umrah yang merupakan sebaik-baik amalan. Banyak hadis menyatakan kelebihan ibadah ini di antaranya: Sabda Nabi s.a.w.: “Satu umrah ke umrah yang lain menghapuskan (dosa) yang dilakukan di antara keduanya dan haji yang baik (diterima) tiada baginya balasan melainkan syurga”.
2. Berpuasa pada hari-hari tersebut atau sekadar kemampuannya – terutamanya pada hari Arafah. Tidak dinafikan bahawa puasa adalah di antara amalan yang terbaik dan ia adalah pilihan Allah seperti yang dinyatakan di dalam sebuah hadis qudsi, “Puasa itu adalah bagiKu dan Akulah yang membalasinya, dia meninggalkan keinginan nafsunya, makanan dan minumannya semata-mata keranaKu”.
Imam Muslim meriwayatkan dari Abi Qatadah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Puasa pada hari Arafah, saya mengharap Allah akan menghapuskan (dosa) setahun yang lalu dan setahun yang mendatang”. Puasa ini adalah bagi mereka yang tidak berwuquf di padang Arafah.
3. Takbir (Allahu Akbar) dan berzikir padanya, firman Allah s.w.t yang bermaksud, (Dan supaya mereka menyebut nama Allah pada beberapa hari yang termaklum), hari-hari tersebut dijelaskan sebagai 10 hari di bulan Zulhijjah. Sebab itulah para ulama menyarankan supaya diperbanyakkan berzikir pada hari-hari tersebut sebagaimana mafhum hadis Ibnu Umar r.a. yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, di antaranya, “Oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah), takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdulillah)”.
4. Bertaubat dan meninggalkan segala maksiat dan dosa, semoga dengan amalan baik dapat mencapai keampunan dan rahmat Allah. Ini kerana maksiat adalah punca kepada jauh dan terhindarnya seorang hamba dari rahmat Allah manakala ketaatan pula adalah punca dekat dan kasihnya Allah kepadanya.
5. Memperbanyakkan amalan soleh terutama amalan sunat tambahan seperti solat sunat, berjihad, membaca al-Quran, menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan seumpamanya kerana semuanya akan digandakan pada hari-hari tersebut.
Amalan yang dikerjakan ketika itu walaupun kecil tetapi ia lebih disukai oleh Allah dibandingkan pada hari-hari lain. Begitu juga amalan yang besar seperti berjihad di jalan Allah yang dikategorikan di antara amalan yang terbaik, tidaklah mendapat kehebatan pahala pada hari-hari itu melainkan apabila kuda (kenderaan) yang ditungganginya terbunuh (binasa) dan darahnya keluar (dia cedera atau mati syahid).
6. Disyariatkan bertakbir pada beberapa hari yang mulia itu pada waktu siang atau malam terutama selepas menunaikan fardu solat lima waktu yang dikerjakan secara berjemaah.
Bagi mereka yang tidak menunaikan ibadah haji, takbir bermula dari waktu subuh hari Arafah (9 Zulhijjah) dan bagi yang menunaikannya takbir bermula pada waktu Zuhur hari raya haji (10 Zulhijjah), semuanya berakhir sehingga waktu Asar pada hari ke-13 Zulhijjah.
7. Disyariatkan amalan korban (menyembelih haiwan ternakan) pada hari raya haji dan hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah). Ia merupakan sunah Nabi Ibrahim a.s. setelah Allah s.w.t mengujinya dengan perintah menyembelih anaknya Ismail tetapi ditebus ujian itu dengan digantikan seekor haiwan untuk disembelih.
8. Imam Muslim meriwayatkan dari Ummu Salamah r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda, “Apabila kamu telah melihat anak bulan Zulhijjah dan ada di kalangan kamu yang ingin berkorban (sembelih haiwan ternakan), hendaklah dia menahan dirinya dari (memotong) rambut dan kukunya”. Di dalam riwayat lain: “Maka janganlah dia memotong rambut dan kukunya sehinggalah dia berkorban”.
Perintah (sunat) ini berkemungkinan ada persamaan dengan hukum bagi mereka yang membawa haiwan ternakan (ketika mengerjakan haji) dari kampung mereka yang telah dijelaskan oleh Allah, maksudnya, (Dan janganlah kamu mencukur rambut kamu sehinggalah haiwan ternakan (yang dibawa untuk dihadiahkan dagingnya kepada penduduk Mekah) itu sampai ke tempatnya).
Larangan (memotong rambut dan kuku) ini pada zahirnya adalah khusus kepada pemunya haiwan korban tersebut sahaja dan tidak termasuk isteri dan anak-anaknya melainkan mereka juga mempunyai haiwan seumpamanya, dan tidak mengapa jika yang berkenaan membasuh dan menggosok kepalanya kemudian terjatuh beberapa helai rambutnya.
9. Setiap muslim hendaklah berusaha menunaikan solat hari raya secara berjemaah, mendengar khutbah oleh imam selepas solat tersebut supaya mendapat pengajaran daripadanya.
Sepatutnyalah kita mengetahui hikmat di sebalik perayaan ini. Ia merupakan hari menyatakan kesyukuran dengan melakukan kebaikan. Janganlah pula dilakukan padanya perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah dengan mengerjakan maksiat, kesombongan, pertengkaran dan sebagainya yang boleh menjadi sebab kepada terhapusnya amalan kebaikan yang dikerjakannya sebelum itu.
10. Penuhilah hari-hari berkenaan dengan ketaatan kepada Allah, berzikir, bersyukur, menunaikan perintah-Nya, menjauhi larangan-Nya, mendekatkan diri kepada-Nya semoga mendapat rahmat dan keampunan-Nya.
Oleh
Ustaz Abdul Halim Abdullah,
Naib Presiden I,
Ikatan Muslimin Malaysia
Blog: Ini Jalanku

Friday, September 30, 2011

::Muhasabah Aktiviti Wajib Kita::



Tingkatan Pertama
Mereka yang tidak menjaga waktu solat, wudhu, rukun-rukun solat yang zahir dan kekhusyukan. Mereka akan mendapat hukuman atas solatnya sebagaimana disepakati oleh semua ulama.
Tingkatan Kedua
Mereka yang menjaga waktu solat, wudhu dan juga rukun-rukun solat yang zahir, namun melalaikan kekhusyukan. Mereka seperti ini akan dihisab solatnya dengan keras.







Tingkatan Ketiga
Mereka yang menjaga waktu solat, wudhu, dan rukun-rukun solat yang zahir. Berusaha gigih melawan godaan syaitan ketika solat dan kembali khusyuk. Pada awal solat mereka, mereka khusyuk, tetapi kemudian syaitan berjaya mencuri perhatiannya. Ia kembali melawan dan berterusan silih ganti. Mereka berjuang dalam solat dan akan mendapat 2 pahala, pahala khusyuk dan pahala melawan syaitan.
Tingkatan Keempat
Mereka yang menjaga waktu solat, wudhu, rukun-rukun solat dan melaksanakan solat dengan khusyuk. (mereka yang menang melawan syaitan ketika solat dan mendapat pahala penuh.)
Tingkatan Kelima
Mereka yang menjaga waktu solat, wudhu, rukun-rukun dan kekhusyukan. Mereka ini juga orang yang menanggalkan hati dan menyerahkan sepenuh jiwa kepada Allah. Mereka tidak berada di dunia. Mereka bersama Allah.
Menurut kata-kata Ibnul Qayyim, ” Tidak akan ada yang bisa memahami dan merasakan nilai tingkatan-tingkatan ini kecuali orang-orang yang bergerak menaiki tingkatan itu.“. Wahai saudara-saudaraku, marilah kita sama-sama muhasabah diri kita dan perbaiki ibadah kita, sesungguhnya Allah melihat apa yang kita lakukan.
Rujukan : IBADAH SEPENUH HATI
Karangan : Amru Khalid