Assalamualaikum wbt.
MIMPI. Dari kecil kita sudah belajar untuk berangan-angan dan tersenyum sendiri sehingga tertidur mungkin. Mimpi itu pastinya indah dan menyeronokkan. Memori yang tidak dapat dimusnahkan namun ia tetap akan pudar. Saya percaya semua dari kalangan kita pernah bermimpi sesuatu yang indah dan kita berasa sangat gembira dan ingin ia benar-benar terjadi. Selepas sahaja bangun daripada tidur, suatu perasaan yang aneh timbul dan ia seakan-akan memberi satu semangat dan naluri yang positif hanya apabila kita mendapat mimpi yang indah. Kita bangun daripada tidur dengan semangat yang positif sehingga mampu tersenyum sendirian.

REALITI. Jiwa tidak akan pernah puas mengejar kepuasan dunia yang penuh kemewahan. Manusia akan sering leka dengan mimpinya yang indah dan menyeronokkan itu. Semua orang sukakan mimpi yang indah dan mimpi itu mampu membawa dirinya jauh tinggi ke langit. Itulah kekuatan sesuatu mimpi yang berjaya memberi kesan terhadap diri seseorang insan. Namun...sejauh mana insan itu merealisasikan mimpinya itu agar menjadi kenyataan?. Ramai. Ramai yang gagal menjadikan ia kepada realiti dan benar-benar terjadi hanya kerana disebabkan oleh satu perkataan yang paling keramat sejak dulu kala.
NEKAD.Apabila mimpi dan realiti itu mahu disatukan ia memerlukan satu mekanism yang sangat berkuasa iaitu nekad. Andai kita mahu mengubah diri kita pastikan kita nekad untuk mengubah kepada yang lebih baik. Pandanglah jauh kedepan bahawa kebaikan sentiasa menanti kita di sana dan nekad untuk melangkah satu persatu. Jadikan mimpi indah itu sebagai tongkat penguat semangat andai kita tersungkur saat melangkah ke hadapan. Andai kita tidak bermimpikan sesuatu yang paling indah, wujudkan lah apa yang dinamakan impian.

IMPIAN. Pasakkan impian andai tiada mimpi yang boleh dijadikan sebagai semangat kita untuk melangkah. Impian yang benar-benar ikhlas dan suci sahaja yang akan berjaya menolak diri ini terus bergerak dan tidak berhenti. Impian yang sangat halus ialah dimana kita sebagai hambaNYA mengimpikan sebuah keredaan dan rahmat dariNya. Ingin memiliki kehidupan yang harmoni, bersih dari segala debu habuk dunia yang kotor dan jauh dari segala bala maksiat yang membimbangkan. Mungkin juga ibu bapa kita sebagai impian kita yang paling tinggi. Bersungguh-sungguh untuk membahagiakan mereka berdua jua adalah satu ibadah. Setelah kita memahami tujuan impian itu dan menyelami setiap satu mengapa impian itu diwujudkan sudah pasti segala rintangan dan dugaan kita mudah menghadapinya berkat kesabaran dan kekuatan dalaman.
No comments:
Post a Comment
Apa komen anda?