Sunday, November 3, 2013

Manusia dan Kerjaya

Assalamualaikum wbt untuk semua.

Syukur kehadrat Illahi kerana atas limpah dan kurniaanNya kita masih lagi dapat hidup dan mengecapi udara hari ini. Selawat dan salam keatas junjungan Nabi Muhammad s.a.w atas jerih payah baginda kita dapat jua merasai kenikmatan iman dan islam hingga hari ini. 

Alhamdulillah hari ini genap dua minggu saya berhenti mengajar sebagai guru ganti selama 8 bulan di sekolah yang sama. Rindu rasanya nak mengajar menatap wajah murid-muridku meskipun adakalanya mereka ini agak nakal dan degil. Tetapi, sebenarnya jauh dalam sudut hati saya amat bersyukur kerana  telah pun merasai kepuasan dan nikmat menjadi seorang pendidik. 

                                    

Walaupun saya sudah tidak lagi mengajar, tetapi saya masih bekerja sambilan kerani di masjid berdekatan dengan rumah selama dua bulan bagi menggantikan kerani asalnya yang pergi menunaikan ibadah haji. Semenjak menjadi guru sekolah, meskipun kini sedang menjadi kerani sambilan di  masjid apabila murid sekolah lalu sahaja di  kawasan masjid mesti akan menyapaku sebagai 'cikgu/ustazah'. Cukup besar impak title guru itu. Syukur, semoga anak muridku menjadi manusia yang berguna dan bermanfaat kepada orang lain. (Tahun depan ustazah akan mengajar lagi tahu! )

Ada yang bertanya, mengapa tidak bekerja di bank? 
Cukup untuk saya menjawab pandangan saya mengenai pertanyaan ini dengan jawapan yang mudah. 
Saya bangga mendapat ijazah dalam bidang saya, tetapi untuk bekerja dalam industri perbankan saya merasakan saya tidak ada kekuatan dan kemampuan serta kepuasan bekerja dalam industri itu. Saya gembira dan sentiasa menyokong rakan-rakan lain yang bersemangat menceburi bidang ini. Namun, saya berjanji bahawa saya akan memilih untuk menjadi tenaga pengajar dalam bidang ini satu hari nanti. Walaubagaimanapun, saya tidak menolak atau menafikan sekiranya saya diberi peluang untuk memasuki industri perbankan ini saya akan bersungguh-sungguh dan bekerja kuat untuk memastikan perbankan islam terus melonjak dan maju.

                                          

Menjadi seorang guru adalah kepuasan saya. Sejak dari sekolah rendah, saya seorang yang banyak bercakap, di sekolah menengah pula saya selalu dikategorikan sebagai seorang yang peramah. Sehinggalah saya berada di alam universiti, saya dianggap tutor yang 'boleh' mengajar namun saya bukanlah seorang 'pendebat' yang sinonim dengan karakternya yang petah berbicara. Saya seorang yang easy-going, tidak cerewet dan mudah mesra. Saya tidak memilih dalam berkawan tetapi gemar memerhati sikap seorang kawan. Satu sebab mengapa saya memilih bidang perguruan sebagai kerjaya saya ialah kerana MASA dan KELAPANGAN yang ada pada seorang  guru lebih luas berbanding kerjaya lain.

                                            

Seorang guru sememangnya mempunyai tugasan yang banyak, namun waktu bekerja mereka tidaklah sampai lebih daripada pukul 7 sekurang-kurangnya. Jika menjadi guru satu sesi sahaja, waktu bekerja hanyalah 7 jam sehari dan kemudian sesi yang selebihnya itu adalah masa bebas yang sesuai untuk melakukan aktiviti lain yang dirasakan bermanfaat. Bagi saya seorang guru mempunyai banyak masa untuk bermasyarakat dan ini menjadi faktor besar mengapa saya setuju seorang guru itu untuk aktif dalam pelbagai aktivit kemasyarakatan dan bergaul mesra serta mewujudkan hubungan baik dengan  rukun tetangga yang lain.
                                     

Sebagai isteri dan juga ibu pada masa hadapan, sudah pasti saya memilih untuk mempunyai masa dan kelapangan untuk bersama keluarga tercinta, maka dengan itu kerjaya seorang guru ini amat sesuai bagi mereka yang berhasrat untuk memastikan keluarga dan anak-anak tercinta sentiasa mendapat jagaan yang sempurna. Anda pasti suka jika suami dan anak-anak anda diberikan penjagaan yang sempurna. Kita mempunyai masa untuk memasak, berborak-borak, melayan anak-anak dan keluar bercuti bersama keluarga. Saya ingin melihat anak-anak saya membesar dengan didikan saya dan suami juga mendapat layanan yang terbaik. 

                                    

Bakal surirumah juga mesti mempunyai minat dan hobi tersendiri dan sebenarnya minat dan hobi itu boleh dijadikan sebagai peluang untuk bisnes yang secara tidak langsung boleh menjana pendapatan sampingan untuk diri sendiri dan keluarga. Jadi, saya sudah mula berjinak-jinak dengan dunia perniagaan ini  dengan menggunakan produk hasil daripada minat dan idea kreatif yang saya ada. Sambil bekerja kita boleh berniaga yang sebenarnya berniaga ini seperti kita semua tahu adalah daripada sunnah Rasulullah s.a.w. 

Segala persoalan tentang rezeki ini adalah hak dan tugas Allah s.w.t Andai kita melihat orang lain berjaya dalam sesuatu perkara, alhamdulillah kita berdoa supaya kita juga boleh berjaya dalam apa jua yang kita lakukan. Hakikatnya, alam kerjaya ini amatlah sukar melainkan bagi sesetengah yang lain mengambil keputusan untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Tidak dinafikan kepentingan bidang pendidikan ini, wajar untuk kita mempertingkat tahap keilmuan masing-masing. Namun tidak dinafikan juga bagi sesetengah pihak lain yang mempunyai visi dan misi yang tersendiri dalam bidang kerjaya dan dunia perniagaan yang juga sebenarnya penting. 


Apa yang penting berjanjilah pada diri anda sendiri bahawa apa jua yang kita usahakan dan lakukan, pastikan ia adalah yang terbaik dari kita. Apa juga bidang yang kita ceburi, pastikan kita berjaya dan bersungguh-sungguh untuk berjaya dan menjadi contoh kepada orang lain. Seperkara lagi, penting untuk memberikan  nilai yang baik dan manfaat kepada orang lain. Jika hidup hanya sekadar hidup, sangatlah rugi dan  jika hidup itu dipenuhi dengan memberikan kebaikan dan nilai serta manfaat kepada orang lain maka kita adalah manusia yang amat beruntung kerana itulah matlamat seorang khalifah di muka bumi ini. 


No comments:

Post a Comment

Apa komen anda?