Amalam Sunnah di Musim sejuk

                          
 "Bestnye sejuk...., malam panjang siang sekejap je".
" Seronok musim sejuk dah bermula, malam boleh berehat lama...."

Ya, memang tidak dinafikan keseronokan apabila kita berada di musim sejuk ini. Cuaca tidak panas dan tidak ramai yang mengeluh panas.Kita manusia biasa merasakan bahawa di musim sejuk ini banyak peluang yang kita boleh lakukan ketika siang melabuhkan tirainya. Malamlah waktu yang paling ideal bagi seseorang hendak melakukan akitviti mereka antaranya, tidur. Namun, kita juga perlu ingat bahawa dalam musim sejuk ini la kita sangat beruntung sebagai muslim. Kita amat beruntung kerana di musim sejuk ini Allah memberi kita peluang yang cukup berharga di mana kita diberikan malam yang panjang bukan sahaja untuk berehat lama, malah dengan malam yang panjang itu kita boleh juga melakukan amal ibadah kepada Allah. Cuba kita fikirkan sebentar, Allah tidak jadikan sesuatu itu sia-sia. Ya, hatta malam pun Allah ciptakan untuk manusia bukan sia-sia. Tidur, berehat, perkara yang kita lakukan setiap hari. Namun adakah amalan ibadah lain juga selitkan juga dalam amalan harian kita di waktu malam khususnya?. Mungkin bagi sesetengah manusia akan merasakan perkara seperti melakukan qiam di waktu malam. membaca quran dan bertadabbur di waktu malam yang panjang seperti suatu perkara yang amat berat untuk dilakukan. ita Kita harus akui yang iman kita sebagai manusia tidaklah sama seperti iman malaikat Allah, istiqamalah dalam setiap perkara itu walaupun ia tidak banyak. Solatlah walau dua rakaat dan istiqamahlah dalam melakukannya. Yakin dengan kemampuan diri bahawa kita mampu lakukannya. Kita tidak bersendirian di muka bumi ini. Kita ada Allah. Jangan putus berdoa padaNya.

“Ya Allah, hanya rahmatMu yang aku harapkan. Jangan tinggalkan aku sendirian walau dengan kadar sekelip mata. Perbetulkan segala urusanku. Laa ilaha illa anta(Tiada Tuhan selain Engkau)”
                                                         (Riwayat Abu Dawud, Ahmad)

 Berbalik kepada tajuk sebenar untuk artikel kali ini, amalan sunnah di musim sejuk. Bagi sebilangan kelompok manusia seperti pelajar contohnya, peluang di musim sejuk amat baik untuk mereka mengulang kaji pelajaran di waktu malamnya. Tetapi sahabat-sahabat Rasulullah s.aw. menggunakan waktu malam mereka utnutk beribadah kepada Allah. Alangkah seronok jika malam-malam kita dipenuhi dengan bacaan quran, solat qiam seperti sahabat dahulu selain daripada mengulang kaji. Hatta nabi kita Nabi Muhammad s.a.w seorang ahli syurga juga tidak putus beribadah kepada tuhannya.

Dari Aisyah r.a katanya: “Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam itu berdiri untuk bersolat malam, sehingga pecah-pecah kedua tapak kakinya. Saya berkata kepadanya;” Mengapa Tuan mengerjakan sedemikian ini, ya Rasulullah, padahal sudah diampunkan untuk Tuan dosa-dosa Tuan yang dahulu dan yang kemudian?” Baginda sallallahu ‘alaihi wasallam lalu bersabda, “Tidakkah saya ini wajar menjadi seorang hamba yang banyak bersyukur.”(Muttafaqun ‘alaih)

Dari Ibnu Mas’ud r.a katanya: “Ada seorang lelaki yang disebut-sebut di sisi Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam, iaitu bahawa orang tersebut tidur di waktu malam sampai ke pagi – yakni tidak bangun untuk bersolat malam, lalu beliau sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda; “orang itu sudah dikencingi syaitan dalam kedua-dua telinganya” atau beliau sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda; “di telinganya.” (Muttafaqun ‘alaih)

“Syaitan itu memberikan ikatan pada hujung kepala seseorang di antara engkau semua sebanyak tiga ikatan, jikalau ia tidur. Ia membuat ketentuan pada setiap ikatan itu dengan kata-kata yang berbunyi: “Engkau memperoleh malam panjang, maka tidurlah terus!” Jikalau orang itu bangun lalu berzikir kepada Allah ta’ala maka terurailah sebuah ikatan dari dirinya, selanjutnya jikalau dia terus berwudhu’, lalu terurai pulalah ikatan satunya lagi dan seterusnya, jikalau ia bersolat, maka terurailah ikatan seluruhnya, sehingga berpagi-pagi ia telah menjadi bersemangat serta berhati gembira. Tetapi jikalau tidak sebagaimana yang tersebut di atas, maka ia berpagi-pagi menjadi orang yang berhati buruk serta pemalas.” (Muttafaqun ‘alaih).

Bagaimana mudah untuk bangun solat malam?
Petua dari Imam Al-Ghazali:

1. Makan malam yang sedikit sekadar alas perut supaya tidak lapar. Jika kita makan malam yang banyak ianya akan menyebabkan kita cepat mengantuk dan susah bangun dari tidur, sudah tentu kita akan terlebih tidur pula.
2. Jangan tinggalkan tidur qailulah di siang hari.
3. Mengetahui dan menginsafi benar-benar keutamaan solat malam dengan mentadabburi selalu ayat-ayat Qur’an dan hadis-hadis serta kisah-kisah salafussoleh berkenaan dengan bangun malam.
4. Meningkatkan rasa cinta kepada Allah, rasa cinta yang sebenar-benarnya. Istiqamah dalam beribadah di waktu malam itu merupakan anugerah yang Allah berikan kepada kekasih-kekasih-Nya. Bersihkanlah diri dan hati daripada unsur-unsur syirik baik yang nyata atau yang tersembunyi, dan peliharalah ibadah sebelumnya, sesungguhnya seseorang yang berat beban dosanya dari amalan yang dilakukan sebelum tidurnya itu pasti memberatkannya untuk bangkit berkhalwah dengan Allah yang Maha Suci di malam hari.

Daripada Abu Umamah r.a berkata : Aku mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda: Bacalah Al Quran sesungguhnya ia akan datang di hari kiamat sebagai syafa'at kepada pembacanya. ( Riwayat Muslim )

Membaca quran juga merupakan perkara penting dan antara amalan mulia dilakukan pada waktu malam khususnya. Disaat manusia semua memejamkan mata seronok dbuai mimpi indah. Kita bangun membaca kalam Allah yang suci. 

Daripada Abu Umamah r.a berkata : Aku mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda: Bacalah Al Quran sesungguhnya ia akan datang di hari kiamat sebagai syafa'at kepada pembacanya. ( Riwayat Muslim )

Meskipun jika kita tergolong dalam golongan yang kurang pandai mengaji, kita juga perlu ingat tentang hadith nabi yang mengatakan mereka ini juga ada ganjarannya.


  Daripada Aisyah r.a. telah berkata: Bersabda Rasulullah S.A.W. : Orang yang membaca Al Quran dan susah untuk menyebut ayatnya ia mendapat dua pahala.
( Riwayat Bukhari & Muslim )

Daripada Omar Bin Al Khattab r.a. Bahawa Nabi Muhammad S.A.W. bersabda : Sesungguhnya Allah mengangkat martabat beberapa golongan dan merendahkan martabat yang lain dengan sebab Al Quran.
( Riwayat Muslim )

Wahai rakan sekalian. ayuh kita kembalikan semula suasana malam panjang yang sebenar. Hiasilah malam kita dengan mengingati Allah. Allah tidak menjadikan kita semata- mata untuk kita hidup dan merasakan keduniaan ini. Malah carila sesuatu yang lebih bermakna daripadanya. Moga Allah membantu kita untuk sentiasa mengingatiNYA, untuk sentiasa berzikir kepadaNYA, dan untuk sentiasa melakukan amal ibadah kepadaNYA.





0 comments:

Post a Comment


up